Khamis, 24 Mac 2011

PAS diminta jadi orang tengah pujuk Anwar tidak aktif berpolitik

TMI | Di sebalik pendedahan rakaman video seks kononnya melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR), PAS mendakwa parti itu pernah didampingi beberapa orang mendakwa mewakili Umno-BN baru-baru ini meminta mereka memujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak lagi aktif dalam perikatan tersebut.

Beberapa pemimpin kaan PAS diminta agar menyampaikan mesej tersebut dan menjadi “orang tengah” bagi membolehkan misi memastikan Anwar tidak lagi aktif berpolitik menjadi kenyataan.

Permintaan mereka mudah sahaja, mereka dakwa mereka mewakili Umno, BN dan mereka hanya tidak mahu Datuk Seri Anwar aktif dalam Pakatan Rakyat, bermakna tidak mahu dia berada dalam politik arus perdana.

Menurut sumber itu, permintaan tersebut dibuat kira-kira sebulan lalu dengan mendakwa “akan ada satu kejutan” dalam waktu terdekat berkaitan dengan imej Ketua Pembangkang berkenaan.

Anwar sejak dibebaskan daripada penjara pada 2004 dilihat sebagai pengikat dan penghubung kepada PAS dan DAP bersama PKR mewujudkan kerjasama menjelang pilihan raya umum 2008, yang akhirnya membawa kepada pembentukan PR.

Kerjasama itu membawa kepada penafian majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan jatuhnya empat lagi kerajaan negeri sebagai tambahan kepada Kelantan. Negeri-negeri itu ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh pilihan raya negeri Sarawak manakala pilihan raya umum nasional dijangka diadakan tahun ini.
Related Posts with Thumbnails