Khamis, 24 Mac 2011

Fitnah Video Lucah : Najib jumpa Datuk T?


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berjumpa dengan ketiga-tiga individu  yang mendalangi video seks fitnah sebelum mereka tampil mengakui bertanggungjawab atas rakaman itu semalam, kata Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat Nik Nadzmi Nik Ahmad.

Pertemuan antara Najib, Pengerusi Risda Rahim Thamby Chik,  ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Shuaib Lazim  dikatakan berlangsung  di Bangunan Parlimen petang semalam.

Ia  menguatkan hujah bahawa penyiaran video fitnah untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan konspirasi politik tertinggi Umno, kata Nik Nadzmi.

“PKR  dimaklumkan bahawa Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Biro Politik UMNO di pejabatnya di Parlimen petang semalam, maka Perdana Menteri memang berada di Parlimen ketika ketiga-tiga dalang ini dilihat di Parlimen semalam,” kata beliau.

“Perkara ini menimbulkan tanda tanya yang serius mengenai setakat manakah pembabitan pimpinan kerajaan dalam pembikinan dan penayangan video seks ini, yang melanggar beberapa peruntukan undang-undang secara jelas,” tambah beliau.

Seperkara lagi yang menguatkan wujudnya konspirasi berkenaan adalah ketangkasan pertubuhan bukan kerajaan upahan Umno seperti Pekida mengadakan tunjuk perasaan menuntut penubuhan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat rakaman itu.

Tuntutan itu dibuat walaupun  Rahim dan juak-juaknya belum pun menuntut penubuhan badan itu. Mereka hanya berbuat demikian selang beberapa jam setelah PKR membongkar identiti mereka sebagai dalang di sebalik rakaman lucah fitnah itu.      

Nik Nadzmi  menegaskan keengganan kerajaan bertindakan tegas dan segera ke atas semua dalang yang terbabit,  hanya menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa sekali lagi ada penglibatan pimpinan kerajaan yang serius  di dalam konspirasi ini, seperti mana yang berlaku pada  tahun 1998.

“Demi membersihkan namanya dan UMNO, Perdana Menteri perlu membuat kenyataan segera mengenai hasil perbincangannya dengan ketiga-tiga dalang video seks yang memalukan Malaysia ini,’ kata Nik Nadzmi.

Dalam pada itu pengakuan Datuk Eskay  bahawa dia turut dirakam dalam video seks fitnah  hanya menguatkan hujah bahawa ahli perniagaan itu sendiri terbabit dalam rakaman berkenaan dan bukannya “menjumpai” video itu di sebuah hotel, kata  NIk Nazmi.

“Ini mengesahkan teori bahawa lelaki yang pada awalnya dilihat sedang mengaturkan sesuatu di dalam bilik dan disyaki bertanggungjawab memasang alat perakam adalah Dato’ Eskay sendiri,” kata beliau .

“Ia juga selari dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk  Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungei Petani) semalam bahawa si pelaku tahu perbuatan seks akan dirakamkan kerana pada awalnya dia dirakam bersama-sama seorang lelaki lain yang disyaki sedang menyiapkan peralatan rakaman,” kata Nik Nadzmi.

Datuk Johari yang menyaksikan video itu Isnin lalu memberitahu wartawan, beliau yakin 100 peratus orang yang dirakam mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina bukan Datuk Seri Anwar.

Selain faktor paras bentuk badan (termasuk perut) yang tidak menyerupai Anwar, Johari juga merujuk kepada “pelakon” video yang mirip muka Anwar memasuki bilik berkenaan ketika ketika peralatan rakaman video itu di pasang oleh seorang lelaki lain.

Semalam, Eskay mengakui beliau sendiri muncul dalam rakaman itu untuk menguatkan dakwaannya bahawa video itu tidak diolah dalam apa bentuk jua.

Namun pengakuan Datuk Eskay itu menimbulkan keraguan besar kepada jalan cerita asalnya  iaitu beliau kononnya disuruh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil jamnya yang tertinggal, lalu terjumpa peralatan rakaman semasa mencari jam tersebut, tambah beliau .

“Jelas bahawa itu pembohongan kerana dia sendiri mengaku bahawa dia adalah lelaki terbabit yang disyaki bertanggungjawab memasang alat rakaman di permulaan rakaman video tersebut. Dakwaannya kononnya dia terjumpa video itu adalah penipuan semata-mata dan tidak masuk akal,” kata Nik Nadzmi.
Related Posts with Thumbnails