Rabu, 9 Februari 2011

Kadar Faedah Dan Percukaian Perlu Dikaji Untuk Kurangkan Beban Rakyat







SHAH ALAM 9 Feb.: Kadar faedah dan percukaian di negara ini harus dikaji semula jika mahu mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat. 

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mengemukakan dasar alternatif menyelesaikan masalah hutang isi rumah pada Konvensyen Ekonomi Pakatan Rakyat bulan depan. 

Menurut Mahfuz, beliau bersetuju bahawa perlu ada dasar yang jelas dalam mengurangkan beban hutang rakyat yang terlalu tinggi. 

" Kita tidak boleh mengurangkan hutang tetapi dasar yang hendak dibawa itu nanti ialah dasar untuk mengurangkan, contohnya, kadar faedah dan cukai yang terlalu tinggi yang dikenakan ke atas rakyat dalam pembelian-pembelian rumah, kereta milik peribadi dan sebagainya, ini yang menyebabkan kita terpaksa menanggung hutang yang terlalu tinggi," jelas Mahfuz ketika dihubungi Tv Selangor. 

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam satu sidang media berkata, hutang isu rumah di negara ini mencecah RM577 bilion. 

Malah katanya, perangkaan menunjukkan jumlah itu berada pada kedudukan 74 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada November 2010. 

Menurut Azmin, pada konvensyen itu nanti,Pakatan Rakyat akan merumuskan pendekatan ekonomi yang sesuai untuk meningkatkan pendapatan rakyat sekaligus menurunkan kadar hutang keluarga. 

Mengulas hal sama, Mahfuz berkata, antara langkah yang boleh dilakukan ialah dengan mengurangkan kadar cukai seperti cukai import kenderaan. 

" Apabila cukai dikurangkan, saya percaya kita hanya berhutang dengan jumlah yang kecil. Jadi ini yang harus disemak semula iaitu dasar percukaian yang ada dalam negara sama ada cukai eksport eksport ini, cukai eksais perlu dikurangkan khususnya kepada kenderaan dan juga perumahan-perumahan," jelas Mahfuz. 

" Ini menyebabkan kos hidup kita meningkat. Seperti kenderaan misalnya, ia kini menjadi satu keperluan. Yang keduanya kerajaan pula gagal menyediakan sistem pengangkutan awam yang baik, murah dan sebagainya," tambahnya lagi.

Malah ujarnya, kerajaan tidak perlu tertumpu dengan dasar rumah mampu milik namun tidak berjaya mengurangkan kadar faedah pinjaman perumahan yang melambung tinggi. 

Menurut statistik Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah yang dicatat berjumlah RM577 bilion. Ia merangkumi beban pinjaman kereta (RM118 bilion), pinjaman perumahan (RM225 bilion) dan pinjaman peribadi (RM22 bilion) selain anggaran hutang kad kredit (RM200 bilion).
Related Posts with Thumbnails