TASEK GELUGOR, 31 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Raja-Raja Melayu bertindak membersihkan nama negara apabila dua orang pemimpin negara ini dikaitkan dengan kezaliman terhadap rakyat asing.
"Perdana Menteri sampai hari ini tidak pernah dilihat bersih ekoran pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu dan ketika Perdana Menteri dilihat begitu gagal membersihkan namanya, tiba-tiba sejak beberapa hari lalu berulang lagi kehebohan tentang seorang menteri kabinet dituduh merogol warga Indonesia yang menjadi orang gajinya.
"Pelbagai peristiwa selepas pembunuhan Altantuya menyebabkan Perdana Menteri semakin dilihat tidak bersih ekoran pembunuhan wanita Mongolia itu manakala dokumen yang mengaitkan menteri berkenaan dengan perbuatan merogol orang gajinya semakin tersebar.
"Kesemua itu membusukkan nama negara dan menyebabkan negara ini dipandang hina," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ceramahnya di Karnival Jubli Perak PAS Tasek Gelugor.
Mahfuz yakin Raja-Raja Melayu tidak sanggup membiarkan nama baik negara terus buruk dan warga negara ini dipandang hina akibat perkara tersebut.
"Sokongan Raja-Raja Melayu amat diperlukan untuk membolehkan rakyat menuntut supaya diadakan suruhanjaya siasatan terhadap perkara itu bagi membersihkan nama baik negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Ketika para pelabur telah pun diingatkan oleh Bank 0f America Merrill Lynch supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, beliau bimbang keadaan ekonomi negara akan bertambah buruk jika Raja-Raja Melayu tidak bertindak tegas dengan segera untuk membersihkan nama baik negara ini.
Sebelum itu, dalam ucapannya di karnival itu, Mahfuz mengecam keras tindakan Umno yang semakin jelas memperalatkan Raja-Raja Melayu bagi memastikan ia terus berkuasa.
Beliau menyeru Raja-Raja Melayu supaya tidak membiarkan diri mereka diperalat dan menjadi "balang oksigen" yang menyambung nafas Umno yang penuh dengan sejarah kerakusan mengkhianati orang-orang Melayu.
Sebelum ini, Mahfuz mengingatkan bahawa pihaknya akan berkempen secara ofensif dan habis-habisan ke seluruh negara untuk mendedahkan pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu.