Rabu, 29 Disember 2010

'MCA 1' ditender pada harga tertinggi RM300,100


KUALA LUMPUR 28 Dis. - Nombor pendaftaran kenderaan 'MCA 1' telah ditender pada harga RM300,100 iaitu harga tawaran tertinggi untuk nombor plat kenderaan di Malaysia setakat ini.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, bidaan bagi nombor pendaftaran itu mengatasi 'TAY 1' pada harga RM242,000 dan 'TAN 1' berjumlah RM200,900 sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, nombor pendaftaran 'MCA 2' pula ditender pada harga RM101,000 dan 'MCA 8' pada harga RM88,168.
"Nombor pendaftaran 'MCA 888' pula mendapat tender terbanyak iaitu 15 bidaan dengan yang tertinggi pada harga RM15,400," jelas kenyataan itu lagi.

Nombor pendaftaran kenderaan untuk Melaka itu sebelum ini menjadi kontroversi apabila pada 23 September lalu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPK), Datuk Solah Mat Hassan mengesahkan pernah menerima surat yang meminta supaya tender MCA 1 hingga MCA 9999 tidak dibuka untuk tawaran umum.

Surat itu yang dikatakan daripada Menteri Pengangkutan meminta nombor pendaftaran berkenaan hanya diberikan kepada ahli parti MCA, bagaimanapun Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha membatalkan arahan tersebut.

Nombor pendaftaran berkenaan dibuka kepada tender umum bermula 24 November sehingga 14 Disember lalu dengan 965 permohonan tender diterima oleh JPJ.

Menurut kenyataan itu, keputusan penuh tender nombor pendaftaran siri 'MCA' ada dipamerkan di pejabat JPJ Melaka dan ia juga boleh disemak melalui www.jpj. gov.my.

JPJ dianggarkan mengutip sebanyak RM1.5 juta hasil bidaan dan tempahan nombor pendaftaran siri 'MCA'.

"Ini merupakan kutipan tertinggi dan peningkatan sebanyak tiga kali ganda bagi JPJ Melaka dalam urus niaga tender dan tempahan nombor pendaftaran berbanding siri-siri sebelum ini yang purata kutipan adalah sebanyak RM500,000 untuk setiap siri," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, JPJ secara purata mengutip antara RM145 juta hingga RM150 juta setahun melalui urusniaga tender dan tempahan nombor pendaftaran kenderaan iaitu enam peratus daripada kutipan keseluruhan RM2.5 bilion setahun.
Related Posts with Thumbnails