Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Abdul Rahman bagaimanapun masih belum hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerana kes itu masih dalam proses rayuan.
"Seperti mana kita tahu ada kes yang mana Mahkamah Rayuan telah membebaskan (tertuduh)...jadi kita tak boleh andaikan apa yang akan berlaku nanti.
"Jadi setakat ini (Abdul Rahman) masih kekal sebagai Ahli Parlimen sampai pilihan raya, selepas itu kita lihatlah bagaimana," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Najib ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Ramah Mesra bersama profesional Kelantan sempena lawatan seharinya ke Kelantan hari ini.
Abdul Rahman merupakan Ketua Bahagian Umno Sabak Bernam.
Semalam, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 setelah memutuskan Abdul Rahman didapati bersalah atas lapan tuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan RM80,000 ketika menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, empat tahun lepas.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM50,000 atau penjara setahun jika Abdul Rahman gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Hakim bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan sehingga rayuan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. - Bernama