Soal masa depan UMNO bukan saja diperkatakan dari segi hidup matinya dalam PRU 13 ini tetapi juga bagaimanakah nasib UMNO setelah ia kalah dan kehilangan kuasa.
Dengan pelbagai jangkaan yang antaranya bahawa UMNO dan BN hanya mampu meraih kemenangan antara 90 hingga 105 kerusi Parlimen saja dalam PRU 13 ini, hari demi hari soal rupa dan wajah UMNO tanpa kuasa semakin kerap diperkatakan.
Ada golongan yang berpendapat kekalahan dan kehilangan kuasa adalah baik untuk masa depan parti itu.
Dengan kehilangan kuasa, ramai pemimpinnya, terutama yang sudah berusia akan mengundur diri bagi menghabiskan sisa-sisa hari tua bersama anak cucu serta keluarga lantaran UMNO yang sudah kehilangan kuasa itu tidak mampu lagi menyajikan apa-apa gula untuk mereka hisap.
Dengan pengunduran mereka, dan sebahagiannya menjadi beban besar kepada parti selama ini, golongan muda yang penuh idealisme perjuangan akan mengambil alih tampuk perjuangan parti.
Dengan keyakinan bahawa jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, beliau hanya mampu bertahan paling lama dua penggal sahaja kerana faktor usia, persaingan antara Pakatan Rakyat dan BN selepas itu dilihat akan menjadi terbuka dan seimbang semula.
Golongan muda inilah yang dipercayai akan mampu menebus semua kuasa yang hilang melalui keyakinan dan idealisme perjuangan mereka.
Ini kerana tiada lagi pemimpin yang sehebat Anwar dalam Pakatan Rakyat yang mampu mengambil alih baton dan meneruskan larian dengan selesa.
Selepas ketiadaan Anwar, persaingan antara Pakatan Rakyat dan BN untuk saling menerajui pentadbiran negara akan menjadi seimbang dan ini juga memungkinkan wujudnya sistem dua parti.
Pakatan Rakyat dan BN akan saling bergilir-gilir mentadbir negara bergantung kepada keupayaan memberi tawaran serta khidmat yang lebih baik kepada rakyat.
Namun ramai pula yang berpendapat bahawa selepas kalah pilihanraya dan kehilangan kuasa, UMNO akan mati dan berkubur tidak lama selepas itu.
Pihak yang mengandaikan demikian berpendapat, oleh kerana UMNO selama ini hidup atas kuasa wang ringgit dan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara sudah lama dilupakan dan digantikan dengan perjuangan mengisi poket keluarga dan kroni, maka dengan ketiadaan kuasa beli itu, ia akan ditinggalkan oleh orang-orang Melayu sendiri.
Tanpa kuasa dan kekeringan wang, tiada lagi orang Melayu mahu mendekati UMNO.
Generasi muda yang kini sudah pun membenci dan menjauhi UMNO, semakin memandang sepi manakala generasi tua, oleh kerana tiada apa-apa lagi yang boleh diharapkan, waima lantikan sebagai ketua kampung atau JKKK sekalipun, pasti akan memilih untuk terus berundur dan menghabiskan hari-hari tua bersama keluarga.
Beberapa pemimpin dan bekas pemimpin UMNO turut mengakui hakikat itu. Dengan ketiadaan kuasa dan kemampuan menawarkan gula, UMNO yang kini dilihat hanya tinggal jasad dan tiada lagi roh perjuangan, mereka juga amat yakin bahawa UMNO akhirnya akan ditinggalkan, kemudian dilupakan dan mungkin berkubur akhirnya.
Mereka mengakui bahawa UMNO yang sejak tahun-tahun kebelakangan ini lebih menerapkan perjuangan berasaskan wang ringgit sama ada dalam pelaksanaan program mahu pun pemilihan pemimpin di pelbagai peringkat, malah mereka yang menyertai dan berjuang dalam UMNO pun atas keghairahan untuk mengaut kekayaan dan "mengambil mana yang sempat", penuh yakin bahawa UMNO tidak mungkin mampu hidup dan diminati jika kuasa sudah tiada lagi.
Keadaan paling mudah untuk membayangkan hakikat itu ialah dengan melihat perbezaan keadaan dan kehidupan bekas-bekas Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet, semasa mereka masih mempunyai kuasa dengan setelah kuasa tiada lagi dalam genggaman.
Ketika masih memegang jawatan, mereka inilah antara orang paling berkuasa dan dihormati tetapi lihatlah bagaimana kehidupan mereka setelah ketiadaan kuasa.
Tun Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun merupakan orang paling berkuasa dan ditakuti. Ketika berkuasa beliau bertindak tegas, digeruni dan menyingkirkan semua musuh politiknya seperti Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim serta disanjung tinggi oleh penyokong dan pengagumnya tetapi setelah meletakkan jawatan, beliau disanggah oleh sebahagian besar menteri-menteri yang pernah bekerja dengannya.
Mereka yang sebelum itu sekadar berani mengangguk walaupun Tun Mahathir belum habis berkata-kata, sudah berani menentangnya pula. Malah Tun Mahathir juga dimalukan apabila beliau ditentang dan digagalkan untuk menjadi salah seorang perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2006.
Walaupun kini Tun Mahathir terus bersuara dan kerap mendapat tempat berikutan sikap Najib yang banyak bergantung dan memberi muka kepadanya, hakikatnya Tun Mahathir tidak lagi dikerumuni dan dihormati seperti dulu.
Tun Abdullah juga begitu. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau disanjung, dikerumuni dan diburu sepanjang masa. Pujian terhadapnya juga bagaikan melangit. Tetapi setelah tiada kuasa, apa jadi kepada Pak Lah sekarang.
Beliau bagaikan bersendirian meneruskan kehidupan, malah kehadirannya di Parlimen pun tidak lagi dipedulikan. Menteri-menteri yang dulu sering mengelilingi dan menemaninya, tidak lagi kelihatan di sisi.
Kehidupan bekas-bekas menteri juga rata-ratanya begitu. Ketika berkuasa, berduyun-duyun mengelilingi dan cuba menghampiri. Mereka menjadi individu penting dalam negara dan kehebatan juga terserlah tetapi setelah tiada lagi kuasa, kebanyakannya menghabiskan masa sendirian.
Ada yang ke sana sini tanpa teman dan tidak dipedulikan oleh sesiapa seolah-oleh mereka tidak pernah berjasa apa-apa. Kadangkala mereka pergi ke masjid pun tiada yang mahu bersalam, malah ada bekas menteri yang sembahyang Jumaat di kaki lima masjid dan tidak ada sesiapa yang mempedulikannya.
Malahan ada pemimpin yang susut berkilo-kilo berat badannya apabila hilang jawatan menteri.
Yang meracau dan bercakap tanpa henti walau dengan orang yang baru dikenali pun ramai bilangannya. Hakikatnya semua mereka itu menjadi keseorangan dan tidak lagi dipedulikan setelah tiada lagi kuasa.
UMNO juga akan begitu akhirnya. Sebagaimana semua bekas Perdana Menteri dan bekas menteri ini menjalani kehidupan yang sepi, ditinggalkan dan tidak dipedulikan selepas ketiadaan kuasa, UMNO juga akan menerima nasib yang sama.
Sebaik sahaja hilang kuasa, orang-orang Melayu akan mula meninggalkannya. Golongan tua dan berusia mungkin memilih untuk bersara dan menjadikan kekerapan ke surau dan masjid pula sebagai keutamaan.
Bagi yang masih bertenaga dan mempunyai nafsu, mereka akan cuba mengintai-intai dahan serta wadah baru pula. Golongan muda memang sudah sedia menjauhkan diri dan dengan ketiadaan kuasa, golongan ini melihat UMNO tidak lebih umpama "kupang tembaga" saja.
Malah tidak memeranjatkan dengan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU 13 ini, ramai pemimpin UMNO yang pernah mendapat nikmat dari perjuangan UMNO pun akan menyeberang dan menghimpit Anwar pula, terutama mereka yang memang dikenali sebagai "orang-orang Anwar" yang mana mereka ini menduduki pelbagai hieraki dalam UMNO sekarang ini, daripada pencacai di peringkat bawahan hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi.
Dengan kemungkinan ini dan melihat bagaimana bekas-bekas pemimpin ini menjalani kehidupan penuh sepi selepas ketiadaan kuasa dan akhirnya ketika meninggal dunia pun hanya teman rapat dan kaum keluarga saja yang hadir, sukar untuk menolak hakikat bahawa UMNO pun akan menerima nasib yang sama.
Selepas hilang kuasa, perlahan-lahan UMNO akan ditinggalkan, tidak dipedulikan, mengecil serta kurus dan akhirnya mungkin mati begitu sahaja.