KUALA LUMPUR, 1 Jun: Kerajaan dicabar memberikan satu formula bagi  membuktikan dakwaan mereka bahawa kenaikan tarif elektrik tidak akan  membebankan 4.4 juta pengguna domestik.
Ahli jawatankuasa PAS  Pusat, Anuar Tahir berkata, dakwaan kerajaan itu sangat tidak masuk akal  kerana kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa hari ini saling  berkait dengan kenaikan harga barang lain.
Menurutnya, kerajaan  sudah beberapa kali menaikkan harga petrol RON97, harga gula dan  disusuli kenaikan tarif elektrik tapi pendapatan rakyat tidak bertambah,  akta gaji minima masih belum dilaksanakan.
"Kerajaan perlu sedar  pendapatan rakyat tidak bertambah. Bukan tarif elektrik sahaja yang  naik. Sebelum ini harga minyak naik, harga gula naik ditambah pula  kenaikan tarif elektrik.
"Mustahil tidak membebankan rakyat. Saya  nak tahu formula apa yang dipakai untuk mengatakan bahawa kenaikan  tarif elektrik kali ini tidak menjejaskan isi rumah sedangkan  kenaikannya saling berkait dengan harga barang lain," kata beliau ketika  dihubungi Harakahdaily hari ini.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan  tarif elektrik baru dengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau  2.23 sen/kilowatt-jam (kWj).
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan  Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dilaporkan berkata, kenaikan itu  tidak akan menjejaskan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada  kadar 300 kWj sebulan atau kurang.
Anuar bagaimanapun menolak  kenyataan itu kerana katanya kebanyakan isi rumah sangat bergantung  kepada penggunaan elektrik menyebabbkan sukar untuk mereka mengurangkan  perbelanjaan bagi bil elektrik.
"Kita sekarang ini bukan zaman  pakai lampu minyak tanah tapi zaman semua benda pakai elektrik. Di dapur  terutamanya banyak pakai perkakas elektrik.
"Sudah  pasti susah  semua orang nak berjimat. Takkanlah sebahagian pakai elektrik sebahagian  pakai minyak tanah, pakai dapur arang, dapur arang, langkah itu tak  praktikal zaman ini," katanya.
Menyentuh mengenai kenyataan  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pengeluar tenaga bebas  (IPP) tidak mendapat manfaat daripada kenaikan dalam tarif elektrik ini,  beliau menyifatkan ianya sebagai penafian semata-mata untuk menjaga  kepentingan syarikat korporat.
"Kerajaan memang selalu menafikan apa yang mereka buat tapi biasanya  yang dinafi itu yang mereka buat.
"Mereka lebih menjaga kepentingan golongan kapitalis, syarikat-syarikat besar dariapda menjaga kebajikan rakyat," katanya.
Rakyat seperti Burung Kakak Tua
Sementara  itu, beliau berkata kerajaan seolah-olah menutup kesalahan mereka  menggunakan media massa dengan memberikan pelbagai tips penjimatan  keapda rakyat.
"Saya perhatikan pihak kerajaan melalui media  mereka sangat apologetik memberikan bermacam-macam tips untuk  mengurangkan penggunanan untuk menjimatkan elaktrik.
"Ini  menunjukkan bahawa tak dapat dielakkan lagi bahawa kenaikan tarif  elektrik ini pasti akan meninggalkan kesan tersendiri kepada   perbelanjaan isi rumah," katanya.
Menurutnya, rakyat melalui  media juga disuruh menjadi seperti burung kakak tua dengan sentiasa  mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan kerajaan walaupun ternyata  membebankan mereka.
"Apa yang kerajaan buat semua rakyat kena sokong. Tidak boleh berkata tidak.
"Rakyat  disuruh jadi seperti burung kakak tua yang mengikut apa yang tuannya  suruh kata. Disuruh kata selamat pagi, kata selamat pagi. Disuruh kata  pergi berambus, kata pergi berambus," katanya.
Amat malang katanya apabila Malaysia yang mengaku sebagai nagara demokrasi masih membentuk rakyat menjadi pengikut sahaja.
"Saya  dukacita apabila negara demokrasi tapi rakyat dibentuk supaya hidup  dalam negara fasis, mesti ikut kata pemerintah. Macam negara komunis  rakyat mana boleh lawan cakap pemerintah," katanya.



