Khamis, 10 November 2011

ISU KUIS: AUTA DAN LAYANAN MINDA KELAS KE 3

KONTREKTOR KRONI KHIR TOYO




Saya bukanlah manusia yang popular di KUIS, jauh sekali dikenali & disanjungi sesiapa. Namun setiap kali membaca luahan rakan-rakan media cetak & media alternatif, saya sangat-sangat berharap akan ada perubahan atas apa yang diluahkan oleh pelajar-pelajar, selepas saya sendiri hampir berputus asa apabila sejak 3 tahun belajar di sini, sering menghadapi masalah yang sama, ‘jawapan’ yang sama, bahkan mungkin saya boleh istilahkan sebagai ‘jawapan’ yang lebih berbentuk ‘auta’.

Pertama kali saya mohon maaf kalau seandainya surat saya ini akan mengguris perasaan orang-orang yang saya hormati di KUIS. Bukan niat saya untuk memperlekeh kewibawaan kalian, namun keperitan hidup sepanjang proses menuntut ilmu di sini, telah menggerakkan hati & jiwa saya untuk menulis sesuatu di sini, walaupun sebenarnya saya langsung tidak pernah menulis walau sepucuk surat pun dalam mana-mana media atau majalah. Ianya hanyalah semata-mata untuk mengharapkan perubahan yang saya & rakan-rakan di sekeliling saya impikan.

Ketika seluruh pelajar KUIS diwajibkan untuk duduk di hostel, saya pernah bertanyakan kepada seorang pegawai pentadbir, sebab apa arahan itu dikuatkuasakan? Jawapan awal yang diberikan sangat menyejukkan hati saya sebagai seorang pelajar yang berlatarbelakangkan pengajian Islam, iaitu supaya mudah untuk seluruh pelajar KUIS ini ditarbiyah & dibentuk sahsiahnya. Itulah jawapan awal yang diberikan pada saya & saya menerimanya dengan penuh lapang dada walaupun ketika itu ada teman-teman lain yang bercakap-cakap belakang khususnya mereka yang boleh saya kategorikan sebagai agak ‘sosial’.

Namun entah bagaimana, sebelum peperiksaan pada semester yang lepas, saya tergerak hati untuk bertanya kepada pegawai pentadbir yang lain, untuk kali yang kedua, benarkah sebab untuk pelajar-pelajar duduk dalam (hostel) ialah untuk maslahat tarbiyah? Pegawai yang ini kelihatannya mengerutkan dahi ketika mendengar soalan saya, lantas berkata secara sinis, sebab untuk mentarbiyah itu hanya ‘sebab sekunder’ sahaja. Sebab utama katanya ialah, apabila seluruh pelajar duduk di hostel, pihak kolej akan dapat menggunakan yuran yang dibayar seluruh pelajar hostel, untuk membayar balik ‘yuran tetap’ kepada konsultan yang telah bertanggungjawab membina hostel tersebut di peringkat awalnya, sebagaimana yang telah termaktub dalam perjanjian sewaktu negeri Selangor ditadbir oleh mantan Menteri Besar, Khir Toyo lagi.

Ternyata jawapan kali kedua yang disertakan dengan fakta ini, sungguh meruntun hati saya & merasakan diri ini begitu lemah & ‘bendul’ sehingga mudah diperbodohkan dengan jawapan yang tidak jujur. Saya sangat tidak menyangka sebab untuk mentarbiyah itu hanyalah alasan & ‘auta’ untuk menutup keterdesakkan pentadbir menyedut duit pelajar-pelajar semata-mata untuk memudahkan kerja pentadbiran kolej membayar balik ‘yuran tetap’ kepada konsultan yang terlibat. Andai benar cakap-cakap di kalangan warga KUIS bahawa kroni Khir Toyo terlibat dalam perjanjian pembinaan hostel yang sangat menyusahkan & tidak adil itu, mengapa harus disusahkan pelajar-pelajar yang sememangnya tidak berkemampuan? Mengapa mesti digunakan istilah ‘tarbiyah’ untuk menutup perkara pokok & masalah sebenar?

Lebih menyedihkan apabila pihak yang sepatutnya bertanggungjawab untuk berkomunikasi dengan pelajar-pelajar atas segala permasalahan yang berlaku menggunakan layanan ‘minda kelas ke-3’ kepada pelajar-pelajar. Dengan bahasa sindiran yang digunakan, ayat-ayat sinis, dialog kasar, kerap tiada apabila pelajar-pelajar ingin berjumpa, suka menabur janji yang tidak bernoktah dan banyak lagi layanan-layanan yang seolah-olah menganggap kami ini penyibuk & pengganggu, saya tidak tahu berapa lama lagi saya & teman-teman akan bertahan dengan keadaan ini. Sudahlah peraturan untuk sentiasa memakai tie, yang sudah seperti ‘aqidah’ dalam mentaliti pentadbir KUIS yang langsung tidak boleh dilanggar itu, sedia menyusahkan pelajar-pelajar lelaki. Ditambah pula layanan barbarian oleh sesetengah kakitangan pentadbir yang sangat-sangat menjengkelkan.

Tuan, saya bukan merungut membabi-buta. Tuan dengarlah rintihan pelajar-pelajar. Tuan dengarlah suara mereka. Saya rasa kami bukanlah anak kecil yang merengek-rengek tidak tentu hala. Tapi kami benar-benar tertekan dengan keadaan ini. Paling penting, saya tidak mendapat upah sesen pun dengan luahan ini, apatah lagi menjadi ejen mana-mana pihak yang berkepentingan untuk memburuk-burukkan KUIS. Tolonglah tuan. KUIS sangat-sangat berpotensi untuk menjadi IPTS Islam contoh di Malaysia. Mempunyai pengajar & pensyarah yang berwibawa, saya sangat optimis dengan masa depan pusat pengajian Islam ini. Namun, dengan berleluasanya budaya ‘auta’ & layanan ‘minda kelas ke-3’ ini, saya hampir tidak nampak samada impian tersebut akan tercapai ataupun tidak.


Yang benar,
Nur Sakinah Hanani,
Penuntut Prihatin.
Related Posts with Thumbnails