Selasa, 4 Oktober 2011

Kampung Baru: Raja Nong Tarik balik Rang Undang-Undang Pembangunan





KENYATAAN MEDIA SEKRETARIAT PEMBANGUNAN KAMPONG BHARU (SPKB)

PENARIKAN RUU PPKB 2010 DAN PEMBENTANGAN RUU PPKB 2011
SATU SILAP MATA KERAJAAN


Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu (SPKB) mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu kerana atas keteguhan dan kejituan semangat mereka maka pada hari ini (3/10/2011) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) telah menarikbalik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010 (RUU PPKB 2010 – DR 45/2010). Sekalung penghargaan dan Al-Fatihah juga selayaknya dihadiahkan kepada Allahyarhamuha YB Dr. Lo’lo’ Hj Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang tidak pernah jemu membawa suara dan hasrat pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu.

SPKB mengalu-alukan penarikan RUU PPKB 2010 – DR 45/2010 ini tetapi berpendapat tindakan KWPKB ini hanyalah tindakan untuk mengaburi mata pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu semata-mata. Tindakan penarikan balik RUU PPKB 2010 tidak mempunyai apa-apa makna kerana dalam masa yang sama KWPKB telah membentangkan pula suatu Rang Undang-Undang baru iaitu Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 – DR25/2011. Tindakan KWPKB ini hanyalah suatu permainan silap mata sahaja. Mulanya menarikbalik tetapi kemudiannya membentangkan yang baru.

Asas pendirian SPKB ini ialah RUU PPKB 2011 yang baru dibentangkan untuk Bacaan Kali Pertama di Dewan Rakyat hari ini hanyalah penambahbaikan sebahagian daripada RUU PPKB 2010 sebelum ini. Ini hanyalah tindakan kosmetik yang cuba melalaikan dan melenakan para pemilik dan pewaris tanah. Pokok persoalan asas RUU PPKB samada yang lama atau yang baru ialah jaminan hak para pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu.

Rata-rata pemilik dan pewaris tanah mahukan jaminan bahawa setiap perancangan pembangunan yang hendak dilakukan di Kampong Bharu di atas tanah hakmilik mereka dibuat dengan mengambilkira hak dan kepentingan serta faedah mereka, bukannya kepentingan mana-mana pihak lain yang tiada apa-apa kepentingan langsung.

Persoalan RUU PPKB 2010 dan RUU PPKB 2011 ini ialah persoalan teknikal yang mungkin akan mengelirukan para pemilik dan pewaris tanah. Ini persoalan undang-undang yang perlu dijelaskan sejelas-jelasnya kepada semua pemilik dan pewaris tanah sebelum persetujuan mereka diperolehi.

SPKB ingin merekodkan di sini bahawa RUU PPKB 2010 yang ditarikbalik tiada apa-apa perbezaan ketara di dalam RUU PPKB 2011. Kuasanya masih berada MUTLAK di tangan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Peruntukkan fasal 17 RUU PPKB 2011 masih sama seperti RUU PPKB 2010. Fasal 17 RUU PPKB 2010 dan RUU PPKB 2011 memperuntukkan seperti berikut :-

Perbadanan hendaklah bertanggungjawab kepada Menteri, dan Menteri boleh, dari semasa ke semasa, memberikan arahan yang tidak bercanggah dengan peruntukkan Akta ini dan Perbadanan hendaklah melaksanakan segala arahan yang diberi itu.

Peruntukan ini dengan jelas memberikan kuasa penuh kepada MENTERI sedangkan sepatutnya jika benar para pemilik dan pewaris tanah hendak dilibatkan, maka Perbadanan tersebut hendaklah tertakluk dan bertanggungjawab kepada para pemilik dan pewaris tanah. Siapa Menteri yang hendak memandai-mandai menentukan untung nasib pemilik dan pewaris tanah? Tanah yang hendak dibangunkan itu adalah tanah orang-orang Kampong Bharu bukan tanah milik Kerajaan.

RUU PPKB 2011 telah memotong peruntukkan Fasal 15(2)(h) di dalam RUU PPKB 2010 yang menyatakan bahawa tanah Kampong Bharu boleh diambil menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Pemotongan peruntukkan tersebut dibuat dengan harapan agar para pemilik dan pewaris tanah merasa terjamin bahawa tanah mereka tidak akan diambil secara paksa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Ini dibuat semata-mata mengambilhati dan untuk tidak membangkitkan kemarahan pemilik dan pewaris tanah.

Perlu diambil perhatian bahawa walaupun RUU PPKB 2011 tidak memperuntukkan tentang Akta Pengambilan Tanah 1960, ini tidak bermaksud bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak boleh digunakan. Kekosongan dan kelompangan tentang penggunaan Akta tersebut tetap membolehkan tanah Kampong Bharu diambil menggunakan Akta tersebut.

Malah Menteri sendiri mengakui di dalam Dewan Rakyat bahawa Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan konsep pembangunan secara komprehensif ke atas Kampong Bharu, di mana antara mekanisme pembangunan yang akan dijalankan ialah menerusi kaedah penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah di bawah peruntukan Seksyen 204D Kanun Tanah Negara 1965 dan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Peruntukan Fasal 57 RUU PPKB 2010 dipotong di dalam RUU PPKB 2011 dan ini akan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian. Fasal 57 RUU PPKB 2010 ialah peruntukkan yang membatalkan Malay Agricultural Settlement Rules 1950 yang menubuhkan Kampong Bharu dan membubarkan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu atau sinonimnya Lembaga Pentadbiran MAS. Apabila peruntukkan fasal 57 ini dipotong maka Lembaga MAS masih wujud dan berfungsi seperti sediakala seperti kewujudannya sejak tahun 1900 dahulu. Jika Lembaga MAS masih wujud, kenapa perlu ada sebuah Perbadanan baru yang mempunyai fungsinya yang sama? Apa akan jadi dengan Lembaga MAS sekiranya Perbadanan diwujudkan melalui RUU PPKB 2011 ini?

Kenyataan KWPKB bahawa Perbadanan hanyalah sebagai penyelaras dan pemudahcara kepada pembangunan di Kampong Bharu hanyalah penipuan semata-mata. Perkara ini dibuktikan dengan Fasal 14 RUU PPKB 2011 berkaitan fungsi Perbadanan yang antaranya untuk melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubungan dengan pembangunan Kampong Bharu mengikut pelan struktur dan pelan tempatan yang disediakan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982. Apakah dasar di dalam pelan struktur tersebut?

Ianya telah diluluskan seperti yang terdapat di dalam Pelan Pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang mempunyai suatu jilid khusus tentang Kampong Bharu yang tidak pernah diterangkan kepada awam termasuk pemilik dan pewaris tanah. Dalam Pelan Pembangunan tersebut juga dinyatakan dengan jelas bahawa antara pihak yang akan terlibat dengan pembangunan Kampong Bharu ini ialah GABEM iaitu satu biro ekonomi dalam parti politik.

Soalnya, mengapakah badan ini dilibatkan sedangkan ia tidak langsung mempunyai kepentingan ke atas tanah Kampong Bharu? Apakah ada muslihat atau agenda pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan di atas nilai tinggi tanah Kampong Bharu ini?

Fungsi Perbadanan juga adalah untuk menyebarkan apa-apa maklumat mengenai potensi pelaburan dan pemasaran kepada pelabur samada pelabur asing atau tempatan dalam kawasan pembangunan Kampong Bharu. Perbadanan juga selain itu berfungsi untuk menguruskan dan mempromosikan penjualan hartanah di dalam kawasan pembangunan Kampong Bharu.

Adakah fungsi-fungsi yang diperuntukkan dengan nyata di dalam Fasal 14 RUU PPKB 2011 ini menunjukkan Perbadanan hanya sebagai pentadbir, penyelaras dan pemudahcara sahaja ataupun ia jelas menunjukkan bahawa Perbadanan sebenarnya merupakan satu “business entity” atau entiti perniagaan yang tidak dapat melindungi kepentingan pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu?

Kenyataan Menteri pada hari ini memaklumkan bahawa RUU PPKB 2011 yang dibentangkan akan memberikan suara yang lebih kepada pemilik tanah merupakan suatu kenyataan penyedap hati sahaja. Adakah hanya dengan memberikan keanggotaan di dalam Perbadanan kepada enam (6) orang wakil tuan tanah sudah memadai untuk Kerajaan menyatakan bahawa suara tuan tanah sudah didengar sedangkan kuasa penuh terhadap Perbadanan berada di tangan Menteri?

Sebelum ini pada Jun 2011, Menteri yang sama menyatakan bahawa undang-undang berkaitan Kampong Bharu hanya akan diteruskan setelah mendapat keputusan referendum pemilik dan pewaris tanah. SPKB mendesak dan mencabar KWPKB mendedahkan kepada umum hasil referendum tersebut. Adakah RUU PPKB 2011 ini dibentangkan hasil referendum tersebut? Jika benar, dedahkan hasil referendum tersebut. Jangan hanya menyebut angka sahaja tanpa bukti yang jelas dan kukuh.

SPKB sekali lagi menegaskan bahawa penarikan balik RUU PPKB 2010 ini hanyalah tindakan terdesak KWPKB untuk melenturkan kemarahan pemilik dan pewaris tanah. Ia juga tindakan mengelirukan pemilik dan pewaris tanah kerana walaupun ditarikbalik, ianya digantikan dengan suatu RUU yang baru yang hakikatnya masih sama iaitu hak pemilik dan pewaris tanah tidak dijamin sepenuhnya.

SPKB tetap dengan pendirian bahawa apa saja bentuk perancangan pembangunan tanah Kampong Bharu hendaklah mengambilkira suara dan hasrat pemilik dan pewaris tanah sendiri dan bukannya kepentingan mana-mana pihak lain yang mempunyai kepentingan tersendiri.

AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Pengerusi
Sekretariat Pembangunan Kampong Bharu
3 Oktober 2011
Related Posts with Thumbnails