LABIS — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan untuk tidak mengadakan sebarang mesyuarat khas bagi menentukan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dalam waktu terdekat.
Sebaliknya menurut Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pihaknya akan menunggu keputusan mahkamah memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi itu Badrul Hisham Abdullah telah memohon perintah mahkamah bagi menghalang badan pilihan raya itu daripada membuat keputusan mengenai statusnya.
Semalam Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 7 Februari ini untuk mendengar permohonan Badrul Hisham agar SPR dihalang daripada menentukan status kerusi DUN Pelabuhan Klang.
Malah semalam, Hakim Datuk Suraya Othman memutuskan untuk menolak permohonan Badrul Hisham untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang SPR mengadakan sebarang perbincangan mengenai status kerusi itu sementara menunggu permohonan injunksi itu didengar pada 7 Februari.
“Perkara ini sudah dibawa ke mahkamah, jadi kita tidak akan buat sebarang mesyuarat khas mengenai kerusi Pelabuhan Klang.
“Mahkamah juga sudah tetapkan 7 Februari untuk dengar kes ini, bila sudah bawa ke mahkamah kita kena ikut.
“Jadi SPR akan tunggu keputusan mahmakah dulu,” kata Abdul Aziz (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Badrul Hisham memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghalang SPR daripada membincangkan status kerusi DUN Pelabuhan Klang, yang kemungkinan membawa kepada pilihan raya kecil.
Kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim minggu lalu.
Pada Isnin lalu, Badrul Hisham memfailkan saman pemula untuk mendapatkan deklarasi bahawa beliau masih lagi Adun Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor.
Badrul Hisham juga memohon deklarasi bahawa tiada kekosongan untuk kerusi DUN Pelabuhan Klang.
Badrul Hisham menamakan Teng sebagai defendan pertama dan SPR sebagai defendan kedua.
Perintah-perintah deklarasi yang lain yang dipohon oleh plaintif termasuk pengisytiharan bahawa keputusan defendan pertama yang mengisytiharkan kerusi tersebut telah kosong adalah ultra vires Artikel LXIX Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan adalah batal dan tidak sah.
Teng, pada 19 Januari lepas, mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham kosong dengan alasan wakil rakyat itu gagal menghadiri sidang Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah, berdasarkan Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri dan tiada peruntukan untuk rayuan.
Badrul Hisham memenangi kerusi DUN itu sebagai calon PKR pada 2008 sebelum keluar parti pada 29 Oktober 2009 dan menjadi Adun Bebas kawasan Pelabuhan Klang. Beliau menyertai Umno Mei tahun lepas.
SPR mengadakan mesyuarat khas malam tadi bagi menetapkan pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau di Melaka.