Jumaat, 28 Januari 2011

Desakan Khalid Letak Jawatan Bukti Umno-BN Semakin Hancur

Suara Keadilan |

faekah1Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Noh Omar yang mahukan YAB Dato' Menteri Besar meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor kononnya telah gagal mendapat 2/3 undi pada 24 Januari lalu, sememangnya sudah diduga.

Kenyataan yang dilakukan tanpa berpandukan kepada fakta dan undang-undang menampakkan kedangkalan ilmu seseorang. Malang sekali ia dikeluarkan oleh seorang yang masing-masing bergelar Timbalan Perdana Menteri dan menteri kanan Persekutuan.

Pelajar undang-undang pun maklum bahawa mengikut Perlembagaan, hanya satu sebab sahaja yang memberi alasan untuk memaksa seorang ketua kerajaan meletakkan jawatan. Ini disebut dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana apabila ketua kerajaan berkenaan hilang sokongan majoriti dalam Dewan.

Peruntukan yang sama diulang oleh semua undang-undang tubuh negeri di Malaysia. Jelas di Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Ia bukan sekadar majoriti mudah atau majoriti biasa walaupun ia bukan majoriti dua pertiga. Sokongan yang miliki Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah 34 daripada 55 ahli Dewan.

Kita tidak hairan apabila kedua-dua menteri tersebut sanggup merendahkan tahap pengetahuan kerana Umno mahu lari dari isu pokok yang sepatutnya menjadi asas perbincangan. Rakyat jelas melihat bagaimana Umno sanggup lari dari tanggung jawab mempertahankan kedaulatan negeri dan Raja.

Malu dengan tindakan biadab mereka tersebut lantas cuba memesongkan dan mengalihkan isu sebenar dengan meminta sesuatu yang sememangnya mereka tidak mempunyai hak. Pada mereka semuanya adalah politik kampungan, sedang kita begitu serius dalam agenda mempertahankan maruah negeri yang mendapat dokongan rakyat. Kita bersedia menyelesaikan kerenah Persekutuan sejak 1993 yang gagal dikesan oleh Umno Selangor sejak sekian lama.

Pindaan Perlembagaan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri gagal kerana Umno-BN enggan menyokong. Kami bersangka baik yang mereka komited dengan cita-cita mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja. Rupa-rupanya Umno-BN hanya menanam tebu di bibir. Mereka hipokrit; bertopengkan "rakyat didahulukan" dan "daulat tuanku" namun membenarkan kedaulatan negeri dirobek Persekutuan dan menyokong Raja hanya apabila ia sesuai dengan kepentingan mereka.

Meskipun kita gagal meminda Perlembagaan namun kita masih melihatnya sebagai satu hikmah. Rakyat dapat melihat dengan jelas kepura-puraan Umno selama ini. Apatah lagi perilaku Ketua Pembangkang Umno pada hari tersebut tidak ubah seperti badut sarkis yang membuat lawak di sepanjang sidang Dewan.

Bukan sahaja amat memalukan dengan kehadiran tetamu luar termasuk dari pihak istana, lebih menjolok mata lagi ia telah merendahkan martabat institusi Dewan, institusi tertinggi negeri Selangor. Umno akan selamanya terhalang dari segi moral untuk memperkatakan soal mempertahan maruah negeri dan rakyat Selangor apatah lagi kedaulatan Raja-raja Melayu.

Hakikatnya meskipun Pakatan Rakyat sedih kerana gagal mengembalikan hak negeri dan Sultan namun Umno jauh lebih mengecewakan apabila wakil-wakil rakyat mereka telah menunjukkan mutu pemikiran dan hujah yang sangat rendah. Apatah lagi bukan sahaja rakyat Selangor yang melihatnya tetapi seluruh dunia kerana sidang mesyuarat tersebut disiar secara langsung ke seluruh dunia. Walau apapun, Pakatan Rakyat di Selangor tetap bersyukur dengan ketetapan Yang Maha Esa.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADAMENTERI BESAR SELANGOR

Related Posts with Thumbnails