Jumaat, 21 Mei 2010

DAP: ANTARA PELUANG DAN ANCAMAN

Pada tahun 2001, atas kebijaksanaan politik Ustaz Fadzil Noor, UMNO/BN cukup takut dengan warna hijau, sehingga ketika itu dikenali sebagai "Fenomena Hijau"
(keratan Akhbar OPERASI keluaran April 20o1)


[1]

Sudah dijangka, dalam artikle lepas, pasti mendapat respon dari sebilangan pengkomen; tidak kira mereka yang beraliran UMNO, juga mereka yang merasakan mereka berfikrah UG.

Mereka yang berfikrah UG menyerang, dan aku tidak mempunyai niat untuk menyerang balas, sebaliknya mengucap terima kasih atas serangan itu. ini menggambarkan suburnya budaya wacana dalam dunia maya, dan semestinya ini mampu menyubur pemikiran kreatif di kalangan pendokong-pendokong gerakan Islam, yang mahu Islam terlaksana dengan jayanya untuk masa mendatang – Insya Allah.

Jika ingin dibahas segala kupasan mereka, aku boleh membalasnya dengan hujjah. Bahkan, pada penilaianku, cara mereka mengemukakan hujjah tidak berasaskan kepada fakta. Ini kerana, kertas kerja yang menjadi asas pemikiran UG itu sememangnya wujud ditanganku sehingga kini, namun ia tidak berjaya disebabkan mendapat tentangan dari sebilangan besar pimpinan PAS itu sendiri.

Inilah kehebatan PAS jika mahu dibandingkan dengan UMNO. Menunjukkan, pimpinan PAS bukan golongan ”yesman”, sepertimana pimpinan UMNO. Apa yang diucapkan oleh presiden parti mereka, maka itu betul belaka, yang mengakibat UMNO semakin hari ditolak oleh rakyat, ekoran kebejatan dan kerosakan dalamannya itu.

Lupakan isu yang telah lepas; yang memberi sejarah hitam bagi PAS sejak sejarah 8 Mac 2008 yang lepas. Sebaliknya artikle kali ini, ingin mengupas sambungan perbincangan tentang hubungan kita dengan DAP.

[2]

Isu sikap kita terhadap DAP perlu difikirkan secara dakwah. Aku tidak menafikan, ada pihak menganggap bahawa DAP merupakan ancaman, tetapi adalah satu kesilapan jika kita menafikan hubungan PAS dengan DAP kini merupakan satu peluang dakwah yang cukup besar.

usah difokuskan kepada pemimpin DAP, tetapi yang wajib kita fokuskan adalah kepada rakyat dari non Muslim yang menyokong DAP. Pada rakyat non Muslim, DAP adalah sebuah parti yang membawa wadah mereka. Justeru, peluang merebut sokongan mereka adalah satu keperluan.

Kita tidak perlu terlalu memfokuskan pemimpin DAP agar memeluk Islam, tetapi jika mereka memeluk Islam, maka itu adalah satu kesyukuran terhadap ilahi. Tetapi, yang paling penting kita fokus adalah rakyat yang menyokong DAP.

Rakyat yang menyokong DAP; yang ramai terdiri dari kalangan non Muslim merupakan sasaran dakwah kita yang paling penting. Kita perlu berusaha menyeru mereka kepada Islam. Jika mereka tidak memeluk islam pun, sekurang-kurangnya mereka mengatakan Islam adalah agama yang adil dan indah pun sudah cukup memberi kredit dalam usaha perlaksanaan islam di Malaysia; sudah pasti ia adalah cita-cita PAS sejak sekian lama.

Ekoran itu, aku tidak pernah sedih jika wujud beberapa tindakan buruk yang dilakukan oleh PKR dan DAP, tetapi yang paling aku bimbang apabila kesilapan dari sudut persepsi rakyat dilakukan oleh pimpinan PAS. apabila pimpinan PKR dan DAP melakukan sesuatu keburukan, sudah pasti rakyat akan menilai siapa mereka. Tetapi, jika pimpinan PAS melakukan sesuatu perkara yang memberi persepsi yang buruk, pasti ia dapat memberi imej buruk kepada PAS dan perjuangan Islam itu sendiri.

Kejayaan PAS dalam membina persepsi baik adalah kejayaan dalam usaha menubuhkan kerajaan Islam; kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar Islam yang berasaskan kepada keadilan ilahi.

[3]

Jika kita merenung jauh kepada kejayaan Nabi SAW membawa Islam dalam sejarah Sulh Al-Hudaibiyyah, kita akan mendapati betapa bijaknya Nabi SAW dalam berpolitik.

Dalam sirah, kita dapati Nabi SAW banyak ’mengalah’ ketika melakukan perjanjian Al-Hudaibiyyah, tetapi ternyata ’mengalah awal’ bukan bermakna kalah, sebaliknya ia merupakan kemenangan yang nyata selepas dari itu.

Ia sama seperti yang kita lihat dalam filem tamil dan hindi, sehingga ada orang melayu tua-tua dulu sering berkata, ”hero tamil memang kalah dulu”.

Pada tahun kedua selepas berlaku Sulh Al-Hudaibiyyah, baru Nabi SAW dan para sahabat dibenarkan oleh Quraish untuk melakukan ibadat di Kaabah. Dalam tahun kedua itulah, berlakulah sejarah Umrah Al-Qada’ [umrah Al-Qada’ ini dikenali juga dengan nama Umrah Qadiyyah, Umrah Qishash dan Umrah Sulh], tetapi keizinan menunaikan ibadat itu hanya selama 3 hari sahaja.

Namun begitu, dalam jangka terlalu pendek, Nabi SAW berjaya membina imej yang cukup baik di mata-mata rakyat makkah terhadap umat Islam yang ditarbiah oleh Nabi SAW.

Bermula dari kesetiaan terhadap perjanjian, yang bersuaian dengan sabda Nabi SAW;

الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ

Maksudnya;
”orang Islam itu disisi syarat-syarat [perjanjian] mereka
[1]

Juga, banyak tindakan yang membawa imej baik dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat, seperti mengerjakan solat dan menghilangkan sama sekali sikap meninggi diri, mana yang kuat akan membimbang yang lemah, mana yang kaya akan membantu yang miskin.

Rasulullah SAW sendiri dilihat seperti seorang bapa, yang mencintai dan dicintai. Baginda SAW dilihat sebagai seorang yang agak senang diajak ketawa dan bergurau, tanpa menafikan kebenaran ajaran Islam.

Keadaan ini berlanjutan, menjadi tontonan rakyat Makkah yang belum lagi beragama Islam. Mereka melihat keindahan suasana tersebut; seperti tidak ada minuman keras, tidak melakukan amalan maksiat, tidak mudah tergoda dengan makanan dan minuman dan mereka cukup tidak mudah terpedaya dengan pengaruh duniawi.

Lebih memberi kesan kepada jiwa rakyat Makkah yang tidak beragama islam lagi, apabila para sahabat yang hadir ke Makkah untuk menunaikan Umrah Al-Qada’ itu, dilihat cukup lunak dalam memberi pertolongan kepada orang-orang miskin dan para hamba yang tinggal di Makkah. Waima mereka tidak beragama Islam, tetapi bantuan dari para sahabat hulurkan kepada mereka, seperti sanggup himpun duit untuk membayar hutang bagi mereka yang berhutang dan sebagainya, cukup memberi kesan kepada jiwa rakyat Makkah secara menyeluruh.

Dengan imej baik inilah, menyebabkan nabi SAW dan para sahabat diterima oleh rakyat Makkah. Waima tindakan Nabi SAW itu dibenci oleh pimpinan Quraish yang kufur, tetapi kejayaan Nabi SAW menarik pengaruh dikalangan rakyat Makkah tidak boleh dinafikan lagi.

Ekoran itu, Nabi SAW berjaya mencipta satu gelombang rakyat yang cukup hebat; sehingga tidak dapat dinafikan lagi oleh pimpinan Makkah, iaitu apabila majoriti rakyat makkah sendiri telah menerima Nabi SAW dalam sejarah Fath Makkah [pembukaan kota Makkah].

[4]

Alangkah hebat cara Nabi SAW mencipta gelombang sehingga dakwah Nabi SAW diterima oleh rakyat Makkah. Keadaan ini perlu dipelajari oleh setiap gerakan Islam di malaysia, malahan di mana-mana.

Sebagai sebuah parti Islam, pimpinan PAS perlu mempunyai kebijaksanaan dan cepat dalam mendapat peluang dalam mencipta imej yang baik di mata-mata rakyat, terutama ketika berada dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Ketokohan Ustaz Fadzil Noor dan Dr Burhanuddin Al-Helmi adalah dua tokoh yang wajar dijadikan contoh. Kedua-dua tokoh ini, amat hebat dalam mencari peluang dalam mendapat pengaruh politik, sehingga mereka berjaya mencipta satu gelombang rakyat di Malaysia.

Kita masih tidak lupa dengan sejarah ”fenomena hijau”, hasil daripada kebijaksanaan politik ustaz Fadzil Noor dalam mencipta gelombang rakyat menyokong PAS pada tahun 2001 yang lalu.

Inilah perkara yang perlu kita pelajari dan tekuni, agar PAS akan mendepani Umat seterusnya berjaya melaksanakan Islam sebagai sebuah ’agama yang memerintah, bukan agama yang diperintah’ di Malaysia, yang merupakan cita-cita PAS sejak sekian lama.

Yakinilah, Islam pasti akan menang. Takbir..

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com
Related Posts with Thumbnails