Oleh Rusnizam Mahat
SHAH ALAM 10 Mac - Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) semakin kuat meniupkan dan menyemarakkan api perkauman di negara ini susulan beberapa kenyataan berbahaya dari pemimpinnya yang berupaya mencetuskan ketegangan kaum.
Semalam, Yang dipertua Perkasa negeri Pahang, Dr Zubir Harun memberi amaran bahawa masyarakat Cina akan menggunakan platform pilihan raya akan datang untuk mengambilalih pentadbiran di negara ini. Perkasa menegaskan keputusan yang dicatat pada pilihanraya lalu menunjukkan kedudukan orang melayu semakin lemah manakala kaum Cina pula semakin kuat.
Dr Zubir, yang juga Pengarah Biro Ekonomi Perkasa, seperti yang dilaporkan Malaysian Insider juga mahukan Model Ekonomi Baru yang dikemukakan kerajaan menyerap semangat Dasar Ekonomi Baru. Beliau turut menyatakan kebimbangan sekiranya dasar itu dijadikan agenda kaum Cina.
"Perkasa percaya perpecahan di kalangan melayu telah melemahkan Umno menyebabkan bukan melayu lebih vokal dalam tuntutan mereka. Mereka berkata kaum Cina turut ditindas kerajaan untuk memberi tuntutan mereka dengan mengugut mengundi Pakatan Rakyat,"beliau dilapor berkata.
"Orang Cina rasa pada pilihanraya akan datang adalah peluang untuk mereka mendapat kuasa di negara ini. Itu sebabnya NGO Cina, seperti Ziong Dong dan Dewan perniagaan Cina menggunakan peluang itu membuat tuntutan kepada kerajaan. Jika tuntutan mereka tidak dipenuhi, mereka akan mengundi Pakatan Rakyat yang bersedia memberikan apa sahaja kepada kaum Cina,"tambah beliau.
Pada masa yang sama, Pengerusi PERKASA, Ibrahim Ali dalam satu temubual dengan portal berita Malaysiakini menyatakan kononnya perjuangan Pertubuhan itu dilindungi perlembagaan.
Mengulas hal ini, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kenyataan yang dibuat pemimpin PERKASA tidak mencerminkan pendapat yang matang dan tidak berpijak di bumi sendiri, melainkan hanya menjadi boneka kepada Umno.
"Apa masalahnya dengan melayu yang tiba-tiba kata Cina nak mengambil alih negara ini?,"Soal Johari.
"Kalau Perkasa merasa orang melayu sahaja yang boleh hidup di negara ini, dan kaum-kaum lain tidak penting, bermakna mereka hidup dalam ilusi mereka sendiri. Samada suka atau tidak mereka perlu menerima hakikat negara ini dihuni oleh bukan sahaja Melayu, tetapi kaum-kaum lain termasuk peribumi di Sabah dan Sarawak. Realitinya samada suka atau tidak kita perlu belajar hidup dengan kaum-kaum lain"ujarnya.
Menurutnya, soal kerakyatan yang ditimbulkan Perkasa sudah menjadi satu catatan sejarah yang telah diputuskan pemimpin-pemimpin terdahulu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.
"Kita tak boleh patah balik. Sejarah telah menunjukkan pemimpin dahulu yang telah memberikan kewarganegaraan kepada mereka.Tetapi Untuk maju ke depan, kita perlu bersama secara kolektif dan mesti bekerjasama dengan kaum lain untuk membangunkan negara ini,"ujarnya.
"Apakah orang melayu yang tidak menggunakan peluang untuk belajar dan malas, maka kita nak menyalahkan orang Cina? Sebab itu orang Melayu mesti belajar dari kesilapan mereka. Dalam sesebuah negara, memang ada polisi untuk pertahankan sesuatu bangsa, tetapi affirmative action ini pada satu segi hanya akan melemahkan bangsa itu sendiri, tegas beliau.
Menurutnya lagi, Setelah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dan setelah tamatnya Dasar Ekonomi baru pada tahun 2000 BN masih gagal mempertahankan hak-hak dan mengangkat kedudukan orang Melayu.
"Kenapa kerajaan tidak mengambil segala peluang dan kuasa yang ada pada masa itu untuk memenuhi hasrat dan cita-cita DEB? Kegagalan DEB disebabkan pemerintah sendiri, bukan disebabkan kaum Cina atau kaum-kaum lain,"jelas beliau.
Sementara itu, Pakar budaya dan tokoh akademik, Profesor emiritus Datuk Dr Khoo Kay Khim berkata, kenyataan Perkasa bahawa orang Cina akan menggunakan pilihan raya akan datang untuk mengambil alih pentadbiran negara ini, sebagai sesuatu yang mustahil.
"Mustahil, sebab bilangan orang Cina di negara ini hanya 30 peratus, sebilangan besar mereka duduk di kawasan bandar. Kerusi yang ada di kawasan bandar yang dibolot oleh orang Cina tidak akan menyebabkan orang Cina memerintah negara ini,"katanya.
Beliau berkata, kenyataan itu hanya bertujuan untuk membangkitkan perasaan bimbang di kalangan orang Melayu dan menimbulkan kebencian antara kaum di Malaysia.
Katanya, kebimbangan orang melayu sebelum perang dunia kedua dan sebelum mencapai kemerdekaan mungkin berasas di sebabkan jumlah kaum Cina yang hampir menyamai kaum Melayu pada waktu itu. Namun, katanya keadaan itu sudah jauh berbeza pada masa kini.
"Apabila British menguatkuasakan Malayan union, orang Melayu bangkit menentang kerana hak yang sama mahu diberikan kepada orang Cina. Tetapi kini keadaannya berbeza kerana jumlah orang Cina lebih rendah berbanding Melayu,"katanya.
Tambah beliau, perkara itu juga sukar dilaksanakan kerana memerlukan 2/3 majoriti di parlimen Malaysia .
"Apatah lagi Yang Di Pertuan Agung diberi tugas untuk melindungi masyarakat Melayu dan menjaga kepentingan orang Melayu. Tentera, polis dan perkhidmatan kerajaan juga dikuasai Melayu. Jadi perkara itu adalah mustahil,"ujarnya.
Beliau juga tidak menafikan Perkasa hanya menjadi jurucakap kepada Umno dengan cuba menimbulkan kebimbangan kepada orang melayu mengenai politik kaum Cina, dengan menyatakan kononnya orang Cina bertambah kuat untuk melemahkan kedudukan melayu di negara ini.
"Ikut nada mereka itu jelas, jika dianalisis dari apa yang mereka sebutkan. Jika dikata orang Cina semakin kuat, lihat MCA adakah mereka bersatu?,"soalnya.