Rabu, 6 Oktober 2010

Datuk Siti Nurhaliza Guna Kaedah Tabung Uji Untuk Dapatkan Anak


SITI tidak mampu untuk menolak permintaan stesen televisyen yang mahu menerbitkan program raya untuknya.


SEJAK mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006, sudah tidak terhitung jumlah soalan mengenai cahaya mata yang diajukan kepadanya.

Setiap kali disoal mengani anak, jawapan Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah berubah.

"Masih belum ada rezeki. Insya-Allah, kalau diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata, saya akan mengumumkan kepada semua pihak. Tiada apa yang perlu hendak saya rahsiakan."

Itulah antara jawapan yang sering diberikan Siti kepada sesetengah pihak yang tidak pernah henti bertanyakan soalan itu kepadanya.

Terfikir juga, adakah mereka tidak mengerti atau sengaja buat-buat tidak faham dengan jawapan Siti itu.

Sebagai seorang bintang ternama negara, Siti tidak mungkin akan merahsiakan dan pasti akan memberitahu kepada semua pihak seandainya dia diberikan rezeki untuk menimang zuriatnya sendiri.

Lewat ini, berita kononnya Siti kini sedang hamil kembali menjadi bualan gara-gara dia membatalkan sebuah konsert di Pulau Pinang yang sepatutnya berlangsung pada 25 September lalu.

Ia dikuatkan lagi dengan surat sokongan daripada doktor pakar sakit puan dari Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur yang menyatakan Siti perlu berehat dan tidak dibenarkan menjalani aktiviti berat.

Terbaru, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dikatakan telah bertemu dengan seorang doktor pakar bagi mendapatkan nasihat ketika berbulan madu sebelum bulan Ramadan lalu.

Bukan itu sahaja, penyanyi popular itu juga dikatakan telah diberikan dengan ubat kesuburan bagi membantu mempercepatkan lagi proses kehamilannya

Semuanya adalah usaha Siti dan Khalid yang tidak pernah lelah untuk terus mencuba menimang cahaya mata mereka sendiri.

Bertemu dengan tuan punya badan sewaktu majlis rumah terbuka anjuran SimplySiti di Restoran Saloma Bistro di ibu negara, baru-baru ini, Siti hanya tersenyum apabila diminta untuk mengesahkan berita tersebut.

Dengan nada berhemah, Siti menafikan bahawa dirinya telah mendapatkan rawatan tersebut seperti mana yang dilaporkan.

"Sewaktu bercuti ke sana, saya dan suami sempat berkunjung ke sebuah pusat akupunktur untuk mendapatkan rawatan alternatif.

"Saya rasa tidak salah untuk kita mencuba rawatan lain selain daripada bertemu dengan doktor pakar. Seperti mana yang kita tahu juga, akupunktur ini memang baik untuk kesihatan dan kita dapat tahu masalah yang dihadapi.

"Apatah lagi, kebaikan ubat dan akar kayu yang sering kali digunakan dalam rawatan itu juga dapat membantu melancarkan sistem dalam badan. Itu yang sebenarnya berlaku ketika di London dan bukannya mendapat rawatan kesuburan itu," luah penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Cindai ini tanpa selindung.

Sudah menjadi seorang isteri selama empat tahun, untuk memegang portfolio sebagai ibu memang cukup diinginkan Siti.

Sebagai hamba Allah, dia cukup sedar dan akur dengan Qada dan Qadar apabila membicarakan tentang soal cahaya mata.

Terfikir juga tidak pernahkah Siti berasa bosan untuk menjawab soalan tentang anak daripada pihak yang seolah-olah tidak faham bahasa yang berterusan bertanyakan soal itu walaupun sudah dijawab berkali-kali oleh Siti.

"Saya cukup sedar dan akur dengan kedudukan saya sebagai seorang artis dan apa sahaja tentang diri kita, masyarakat mahu ambil tahu.

"Namun, saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana ini jalan yang saya pilih dan saya harus menghadapinya dengan tabah serta tenang.

"Jadi, saya tidak boleh berasa marah mahupun geram apabila soal anak sering kali diajukan kepada saya. Apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang tahu gelodak di dalam hati saya.

"Insya-Allah, sampai waktu dan ketikanya, saya pasti akan mengumumkannya sebab ia adalah perkara yang baik. Teruskan berdoa untuk saya," pinta juara Bintang HMI 1995 ini dengan maksud yang cukup mendalam.

Siti juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) dalam usahanya untuk mendapatkan zuriatnya.

Namun, semuanya bergantung kepada keadaan dan masa apabila difikirkannya perlu untuk mencubanya.

Related Posts with Thumbnails