Sabtu, 6 Mac 2010

Pentadbiran Khir Toyo Banyak Rugikan Rakyat Selangor

Oleh Rusnizam Mahat

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau terpaksa mengambil alih pengurusan tidak bertanggungjawab yang diwariskan bekas Menteri Besar Barisan Nasional Datuk Seri Dr Khir Toyo yang menyaksikan banyak keputusan yang merugikan kerajaan negeri dan rakyat.

Kata Khalid, Dr Khir Toyo meletakkan keputusan berisiko tinggi terhadap beberapa projek kerajaan negeri semasa mentadbir Selangor dengan memberi cadangan projek kepada kontraktor tertentu yang akhirnya gagal dilaksanakan.

"Jika saya menjadi beliau, saya akan menggunakan peluang ini untuk belajar mengenai pengurusan, di Universiti Malaya ada sekolah pentadbiran awam. Disebabkan pengalaman saya menyelesaikan banyak keputusan silap yang dia buat, saya fikir dia tidak mempunyai cukup kecekapan untuk mentadbir negeri.

"Banyak keputusan yang diambil beliau tidak menepati ujian korporat dan ujian kebolehsanaan," katanya pada sidang media di pejabat beliau semalam.

Tambah Menteri Besar akibatnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terpaksa mengambil alih semua projek yang gagal dan perlu membetulkan semula pengurusan dana awam yang kucar kacir di bawah pentadbiran Dr Khir Toyo.

"Risiko kegagalan projek yang beliau cadangkan adalah tinggi. Selain itu sudah tentu beliau datang dari budaya Umno dan saya fikir beliau dipupuk dari tabiat buruk dalam parti itu," katanya

Khalid memberi dua contoh projek yang gagal dikawalselia dengan telus dan baik oleh Dr Khir Toyo antaranya pembangunan projek tebatan banjir (Canal City) di mana kerajaan Selangor terpaksa membelanjakan hampir RM5 juta dan kehilangan 2,000 hektar tanah dengan kerugian berjumlah kira-kira RM30 juta.

Contoh kedu kata Khalid ialah isu penempatan semula penduduk setinggan di Bukit Botak di mana kontraktor terbabit, Delpuri Corporation Sdn Bhd (DCSB) gagal menyiapkan sepenuhnya projek berkenaan menyebabkan kerajaan negeri BN meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mengambil alih projek berkenaan.

"Macam mana PKNS tak rugi, agensi itu diminta membina perumahan pada kos RM90,000 seunit dan menjual pada harga RM50,000," jelas Khalid lagi.


Related Posts with Thumbnails