Wawancara Bersama Huseein Ahmad S/U Kerja Exco Selangor
Setiausaha Kerja kepada Exco Selangor, Hussien Ahmad dukacita kerana SPRM dipergunakan oleh pihak tertentu untuk membuat pertuduhan fitnah terhadapnya.Beliau berkata penahanannya oleh SPRM berpunca daripada fitnah anasir-anasir yang tidak berpuas hati kerana gagal mendapatkan kontrak pasir.
Pegawai kanan kepada EXCO Yaakob Sapari itu dibebaskan tanpa syarat setelah ditahan reman selama lima hari minggu lalu.
“Pasir adalah sumber alam yang di bawah YB Yaakob, tapi sebenarnya YB Yaakob sebagai Exco Sumber Alam, tapi pasir ini adalah bawah jagaan anak syarikat kerajaan Selangor yang bernama Kumpulan Semesta Sdn Bhd jadi ini yang berlaku apabila setiap permohonan terpaksa dihantar kepada pihak KSSB, tapi malangnya melihat mereka ini tidak faham prosedur yang sedia ada dan saya terlibat dengan konflik untuk menjatuhkan saya kerana tak dapat kontrak pasir”, katanya yang ditemui baru-baru ini.
Hussein ditemubual dalam program Apa Khabar Selangor terbitan TV Selangor di Shah Alam.
Hussien turut disoal siasat SPRM atas lawatannya ke Hangzhou, China pada Oktober lalu di bawah program lawatan kerja usahawan yang ditanggung kerajaan negeri.
“Kita pergi ke Hangzhou sebagai usahawan, tapi dalam ramai-ramai itu, rupanya terselit 2-3 orang yang kita tak dapat terima keinginan dia itu, yang dia mahu bukannya usahawan, tetapi pasir, tapi kita tak tahu, tuduhan yang kita terima dia kata semasa dalam perjalanan itu pergi Hangzhou, tuduhan dia telah memberi saya 10 ribu yuen untuk saya meluluskan permit pasir dan juga gambar China, apa yang saya tahu, saya tak pernah meluluskan permit pasir, kerana saya tak pernah meluluskan permit pasir dan saya tak boleh meluluskan permit pasir begitu juga YB Yaakob Sapari”, jelasnya lagi.
Beliau tidak menolak kemungkinan tuduhan terhadapnya didalangi oleh golongan terdesak dalam Umno-Barisan Nasional yang mahu menggulingkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)