Khamis, 31 Disember 2009

Dugaan 2009: Institusi teruji, teka teki belum terurai

MalaysianInsider
Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Dis 31 — Kesan tsunami politik tidak berakhir pada tahun 2008. Dilihat seimbas lalu tahun 2009 turut merasai tempiasnya dengan siri dugaan dan ujian yang mencabar kredibiliti pelbagai institusi.

Satu demi satu dugaan dilalui. Satu demi satu ujian turut dirasai.

Hampir setiap bulan negara menyaksikan peristiwa yang telah menguji sama ada ia membabitkan institusi diraja, kerajaan, pertahanan, keselamatan dan awam pada umumnya.

Malah ujian dan dugaan ini juga memberi pengajaran dan pengalaman bermakna kepada negara untuk menghadapi perjalanan masa depan. Tidak keterlaluan ia juga menyentuh soal kredibiliti dan integriti organisasi dan agensi terbabit.

Di sepanjang 364 hari yang lalu sebahagian cabaran dan ujian telah memperlihatkan penyelesaian. Pun begitu banyak yang masih menunggu jawapan, secara tidak langsung akan membawa tempiasnya ke tahun 2010.

INSTITUSI DIRAJA

Istana Perak menjadi perhatian di sebalik pergolakan politik negeri itu yang menjadikan tiga ADUN Pakatan Rakyat, dua dari PKR (Behrang dan Changkat Jering) dan seorang dari DAP (Jelapang) bertindak sebagai wakil rakyat Bebas dan menyokong BN. Peristiwa yang bermula akhir bulan Jan dengan tindakan ADUN Bota Datuk Nasarudin Hashim keluar dari BN untuk memasuki PKR dan kemudian menyertai semula BN.

Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh dikenakan tuduhan di bawah Akta Hasutan atas dakwaan menghina Sultan Perak. Ahli Parlimen Bukit Gelugor ini didakwa kerana mengancam untuk mendakwa Sultan Azlan Shah yang dikatakan bertindak di luar bidang kuasanya serta membenarkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru dengan menitahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

BN kembali memerintah Perak pada awal Feb dengan pelantikan Zamry sebagai Menteri Besar selepas tiga wakil Pakatan Rakyat mengisytiharkan mereka keluar parti dan menjadi anggota Bebas menyokong BN. Kemelut politik itu turut diheret ke mahkamah. Siri kes difailkan di mahkamah.

Bertolak dari itu, awal Mei lalu enam orang dihadapkan di mahkamah atas tuduhan menghina Sultan Perak dengan menghantar komen jelik dalam blog. Ini kes pertama dalam sejarah perundangan negara melibatkan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Pergolakan politik negeri itu juga menyaksikan DUN mencipta sejarah dengan diadakan persidangan bawah pokok berhampiran bangunan SUK Negeri.

Pada 13 Dis, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baru memerintahkan bekas model Manohara Odelio Pinot supaya kembali taat dan membayar semula hutang berjumlah RM1,112,250 kepada suaminya Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra. Manohara yang berasal dari Indonesia telah melarikan diri ke negara asalnya.

Beberapa minggu selepas keputusan itu, Tengku Fakhry mencabar kesahan tindakan kekandanya Tengku Muhammad Faris Petra melucutkannya dari Majlis Perajaan Kelantan September lalu.

Di sebalik krisis menyentuh istana, Negri Sembilan menyaksikan pertabalan Yang Dipertuan Besar Negri Sembilan ke-11 Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 26 Okt. Istiadat pertabalan berlangsung di Bandar Diraja Seri Menanti dari 22 hingga 28 Okt.

IMEJ PERTAHANAN TERCABAR DAN TERCALAR

Pada 3 Sept Malaysia dengan megah menyambut kepulangan kapal selam pertama negara iaitu KD Tunku Abdul Rahman bersama 35 anak kapal perintis yang berlayar dari Perancis ke pangkalannya di Teluk Sepanggar di Sabah.

Tiga bulan kemudian negara tenggelam dalam kejutan apabila terdedahnya laporan kehilangan dua enjin jet pejuang F5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kejadian ini berlaku dua tahun lalu tetapi baru diumumkan. Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri

KD Seri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM di Lumut pada 8 Okt.

RAJA PETRA BOLOS, SATU TAMPARAN

Pada November lalu, penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin Rabu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada tuduhan menerbitkan kata-kata hasutan di laman web kerana polis masih gagal mengesan beliau. Pendakwa Raya memberitahu mahkamah pihak polis masih gagal mengesan penulis blog itu. Akhir bulan Dis polis mengesahkan Raja Petra yang menjadi buruan polis sejak hampir lapan bulan lalu, kini berada di London.

KEMATIAN TAHANAN DAN SAKSI

A. Kugan yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati ketika ditahan dalam lokap di Balai Polis Taipan, Subang Jaya, Selangor pada 20 Jan. Awal Oktober, anggota polis V. Navindran didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kematian Kugan.

Satu lagi kematian mengejutkan banyak pihak ialah setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock pada 16 Julai di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM yang berpejabat di plaza itu. Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Teoh ditangguhkan sekali lagi ke 7 Jan depan.

Ia dilihat sebagai tamparan dan ujian selepas SPRM memulakan peranannya sebagai sebuah agensi bertarah suruhanjaya bermula 1 Jan lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan memutuskan untuk bersara awal, berkuat kuasa 31 Dis. Perkhidmatannya sepatutnya tamat pada 25 Mei depan. Beliau menafikan persaraan awal beliau disebabkan oleh tekanan dan desakan orang luar atau parti politik.

SOAL AGAMA

Pada 28 Ogos, sekumpulan kira-kira 50 orang mengarak kepala lembu dan meletakkannya di pintu pagar SUK Selangor berhubung isu pemindahan sebuah kuil Hindu ke kawasan perumahan mereka di Shah Alam. Pelbagai pihak membantah tindakan mereka kerana mencetuskan sentiviti kaum. Ekoran bantahan itu seramai 12 peserta demontrasi telah didakwa di bawah Akta Hasutan dan tuduhan mengadakan perhimpunan haram.

Awal Julai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan tiga rang undang-undang bagi menangani isu-isu berkaitan tukar agama tidak dapat dibahaskan di Parlimen sesi Jun-Julai lalu sebagaimana telah dirancang kerana kerajaan memenuhi permintaan Majlis Raja-raja Melayu yang mahukan lebih banyak masa untuk menghalusi pindaan berkaitan. Pindaan membabitkan Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Pengumuman pindaan dibuat pada 22 April lalu oleh Kabinet yang berpendapat bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menghadapi tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah. Beliau dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Penerbit Majalah Mingguan Katolik The Herald mencabar larangan Menteri Dalam Negeri mengenai penggunaan istilah Allah dalam penerbitannya. Keputusan dijangka 31 Dis.

DEMONSTRASI ANTI-ISA

Pada 1 Ogos, kira-kira 10,000 penyokong Gerakan Mansuh ISA mengadakan demonstrasi membantah ISA di ibu negara. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan akan mengkaji semula ISA. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan ISA dan pindaan akan dibentangkan tahun depan.

GAMBAR BOGEL

Exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong, wakil rakyat penggal pertama, mendapat perhatian ramai sejak gambar separa bogelnya disiarkan oleh media pada 15 Feb lepas. Berikutan kontroversi itu, Elizabeth telah menawarkan diri untuk melepaskan jawatannya dalam kerajaan negeri dan sebagai Adun Bukit Lanjan. Bagaimanapun selepas cuti lebih sebulan beliau kembali sebagai Exco dan kekal Adun. Polis menolak andaian rakaman gambar separuh bogelnya sebagai satu perangkap bagi menjatuhkan ahli politik itu. Sebaliknya siasatan polis setakat ini mendapati insiden itu dipercayai dirakamkan oleh individu yang dikenali mangsa sendiri.

HUKUMAN SEBAT

Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang. Kartika yang reda dengan hukuman yang dikenakan mahu ia dilaksanakan secepat mungkin walaupun ada pihak yang membantah hukuman sedemikian. Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu. Pada 24 Ogos penangguhan hukuman sebat dikeluarkan bagi menghormati bulan Ramadan dan ia belum dilaksanakan.

PPSMI DIMANSUHKAN

Pemansuhan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matametik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang diperkenalkan pada 2003 ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad, diputuskan oleh Kabinet pada 8 Julai. Kedua-dua subjek ini akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil mulai 2012.

Serentak itu, diumumkan strategi ntuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Pada 7 Mac, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mengetuai ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung PPSMI.

Isu baru timbul apabila kerajaan mengumumkan dasar 10 mata pelajaran untuk SPM. Namun calon diberi kelonggaran bagi dua mata pelajaran tambahan. Bagaimanapun keputusan peperiksaan hanya akan mengambil kira 10 subjek teras. Ia masih mencetuskan rasa tidak puas hati.

PILIHAN RAYA KECIL: YANG DITERIMA DAN DITOLAK

Lapan pilihan raya kecil telah diadakan sepanjang tahun ini selepas pilihan raya kecil yang pertama iaitu kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Ogos 2008. Pakatan Rakyat memenangi kerusi mempertahankan Bukit Selambau, Bukit Gantang, Manek Urai, Penanti dan Permatang Pasir dan menambah kerusi Parlimen Kuala Terengganu. BN mengekalkan dua kerusi DUN iaitu Batang Ai, Sarawak dan Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Bekas Negeri Sembilan dan bekas Naib Presiden yang pernah dihukum Lembaga Disiplin atas kesalahan politik wang, Tan Sri Isa Samad membuat kemunculan semula selepas lebih tiga tahun “sunyi”. BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti atas alasan kerusi itu sengaja dikosongkan oleh PKR untuk menguji populariti.

Sepatutnya negara telah menyaksikan lebih banyak pilihan raya kecil. SPR telah memutuskan pilihan raya kecil tidak perlu diadakan bagi kerusi DUN iaitu Behrang dan Changkat Jering apabila ia mempertikaikan surat peletakan jawatan kedua-dua wakil rakyat dari PKR. Pada Sept lalu SPR juga memutuskan tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Kota Seputeh yang disandang oleh wakil Umno. Speaker kedua-dua DUN Perak dan Kedah mencabar keputusan SPR.

Dalam kes Kota Seputeh, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil. Mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker DUN Kedah yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Datuk Abu Hasan Sarif dari BN hadir dua kali berturut-turut pada sidangnya. Ia kini di peringkat rayuan.

Dua ADUN PKR iaitu Badrul Hisham Abdullah (Pelabuhan Klang) dan Mohd Radzhi Salleh (Lunas) memutuskan untuk meninggalkan PKR. PKR mendesak mereka mengosongkan kerusi masing-masing.

SKANDAL PKFZ

Jika tahun 1980-an negara dikejutkan dengan skandal BMF, kini negara mengharungi skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Kelan (PKFZ) yang membabitkan RM12.5 bilion. Peguam Negara menjanjikan bahawa lebih ramai akan diseret ke mahkamah selepas tahun baru. Empat orang termasuk bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang Datin Paduka O C Phang didakwa awal Disember.

CABARAN POLITIK, KRISIS KEPIMPINAN

Umno selaku komponen terbesar BN mengadakan dua kali perhimpunan tahunan. Yang pertama Mac lalu yang menyaksikan pemilihan pucuk kepimpinan termasuk peralihan kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak. Tujuh bulan kemudian diadakan perhimpunan agung dan perhimpunan agung khas untuk meluluskan pindaan perlembagaan termasuk pemansuhan sistem kuota bagi pencalonan dan cadangan menambah jumlah anggota perwakilan yang layak mengundi bagi jawatan tertinggi parti yang membolehkan lebih 400,000 anggota layak memilih pemimpin mereka berbanding hanya 2,500 sebelum ini.

Pemilihan Umno juga menyaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam digugurkan kelayakannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno. Pertama kali Umno menyaksikan pemilihan seorang wakil dari Sabah sebagai Naib Presiden iaitu Datuk Seri Shafie Apdal.

MCA, parti kedua terbesar dalam BN pula berhadapan dengan krisis. Presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat tewas usul undi tidak percaya kepimpinannya ekoran pergeseran dengan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Pergeseran ini berubah menjadi baik sekelip mata, tetapi membawa kepada tekanan baru dengan kumpulan bertelagah yang diketuai naih presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mendesak pemilihan semula parti diadakan. Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan untuk menyelesaikan krisis tersebut. Penyelesaiannya dijangka diketahui awal tahun depan. Walaupun Chua berjaya memenangi jawatan timbalan presiden MCA, tetapi skandal video seks berterusan menghantuinya.

MIC mengadakan pemilihan juga fokus bertumpu sama ada presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu akan meninggalkan kedudukannya. Satu lagi komponen BN, Parti Progresif Penduduk pula menyingkirkan wakilnya dalam Kabinet, Datuk T. Murugiah. Penyokong Murugiah pula mengadakan perhimpunan agung khas untuk memilihnya sebagai presiden baru.

PAS tidak ketinggalan daripada masalah dalaman. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta diadakan muktamar agung khas bagi memilih barisan kepimpinan baru ekoran isu pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno-BN. Sebaliknya mengadakan seminar politik khas manakala dua pemimpin kanannya dari Selangor iaitu Pesuruhjaya PAS Datuk Dr Hasan Ali dan bekas timbalannya Khalid Samad kini disiasat oleh jawatankuasa disiplin.

PKR juga mengadakan pindaan perlembagaan bagi membolehkan akar umbi memilih barisan kepimpinan parti.

Pada 19 Dis Pakatan Rakyat mengadakan konvensyen pertama selepas dibentuk 20 bulan yang lalu. Gandingan DAP-PKR-PAS berusaha mencari titik pertemuan termasuk dalam soal toleransi agama yang sensitif.

AGENDA KEPIMPINAN NAJIB

Najib memperkenalkan gagasan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara pelbagai kaum.

Tarikh 16 Sept ditetapkan sebagai Hari Malaysia dan cuti umum mulai tahun depan bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia.

Najib mahu memperkenalan model ekonomi baru yang sepatutnya diumumkan tahun ini tetapi ditangguhkan sehingga Februari depan.

Najib masih dianggap sebagai “dalang” di sebalik rampasan kuasa di Perak. Imej beliau juga terus tercemar dengan pendedahan rakaman temu bual baru detektif persendirian P. Balasubramaniam pada November lalu.

Bagi memperoleh keyakinan rakyat Najib telah membebaskan 13 tahanan ISA termasuk pemimpin Hindraf.

Menetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) bagi jentera pentadbirannya selain menggariskan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), antaranya bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah. Idea-idea bagi enam NKRA berdasarkan perbincangan makmal dipamerkan kepada umum manakala yang berkaitan 1 Malaysia ditangguhkan sehingga awal tahun depan.
LETAK JAWATAN DAN DILANTIK

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib telah melepaskan jawatannya. Sulaiman, 41, anak lelaki sulung kepada Abdul Taib telah dilantik ke jawatan timbalan menteri pada 19 Mac 2008 atas alasan masalah kesihatan.

Beliau meletakkan jawatan beberapa bulan selepas bekas pengarah urusan MAS Datuk Seri Idris Jala yang dilantik sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri untuk turut menerajui pelaksanaan KPI.
KONTROVERSI BAJET 2010

Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2010 yang dibahaskan di Dewan Rakyat selama kira-kira sebulan hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja pada 14 Dis. Ini bukan sahaja bajet pertama bagi Najib selaku perdana menteri, malah kali pertama ia diluluskan dengan sokongan tipis. Jika gagal diluluskan ia bakal membawa implikasi buruk.

Kerajaan mengumumkan pakej rangsangan kedua bernilai RM60 bilion pada bulan Mac sebagai tambahan kepada pakej pertama bernilai RM7 bilion yang diperkenalkan pada November 2008 bagi mengimbangi kesan kelembapan ekonomi dunia.

TRAGEDI

Tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar telah mengorbankan tiga murid perempuan dalam Sungai Kampar pada bulan Okt dan keluarga mangsa menyaman kerajaan dan beberapa pihak lain untuk RM105 juta.

Pada 26 Dis, 10 maut dalam nahas bas ekspres dua tingkat yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Plaza Tol Ipoh Selatan. Pemandunya dihadapkan di mahkamah pada 29 Dis berhubung kesalahan memandu dengan cuai.
PANDEMIK

Malaysia mengambil langkah terperinci berikutan penularan pandemik influenza A (H1N1) melanda seluruh dunia. Angka kematian tempatan ialah 77 orang.

KESELAMATAN BANGUNAN

28 Mei, empat orang pekerja warga Indonesia maut apabila bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14, Petaling Jaya runtuh.

11 Ogos, enam lelaki, empat rakyat tempatan dan dua Bangladesh maut setelah terhidu gas, dipercayai ammonia yang bocor dari sistem penyejuk di sebuah kolah menyimpan ikan di perkampungan nelayan di Kampung Bagan Pasir, Tanjung Karang, Selangor.
Related Posts with Thumbnails