Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menulis: MAHATHIR merupakan pencetus kepada salah guna yang terdapat dalam modul Biro Tata Negara (BTN) dalam menyebarkan agenda Barisan Nasional ketika era pemerintahannya satu ketika dahulu. Propaganda mengutuk dan menghina pemimpin-pemimpin pembangkang telah disuapkan ke minda peserta agar tertanam perasaan benci terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang yang ada.
"Mahathir sendiri yang telah mewujudkan modul ini, kerana itulah dia tidak bersetuju modul ini dirombak dan mahu ia dikekalkan. Dia adalah pecetus kepada semua ini," jelas Johari Abdul.
Beliau menjelaskan modul yang terdapat dalam BTN telah digunakan oleh Dr Mahathir pada ketika itu sepenuhnya untuk memburukkan pemimpin-pemimpin pembangkang terutamanya melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, program yang dijalankan telah mengumpulkan semua pemimpin pembangkang dan melebelkan mereka sebagai pengkianat dan orang yang bakal memusnahkan Negara. Fitnah dan cacian sengaja dilemparkan bagi menanam kebencian rakyat terhadap pemimpin pembangkang yang ada.
“Jika dikira sejak tahun 1998 hingga 2 september 2005, sudah berapa banyak fitnah dan cacian yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar? Sedangkan pada ketika itu Anwar masih belum ditentukan kesalahannya. Jadi saya memang tidak terkejut sama sekali dengan kenyataan Dr Mahathir yang mahu modul BTN dikekalkan. Ini kerana dia sudah lama menggunakan modul BTN ini untuk menanam kebencian rakyat kepada Datuk Seri Anwar dan pemimpin-pemimpin lain,” jelas Johari lagi. Sumber: EraPakatan