Kuda Ranggi | Tiga orang tokoh memberi pendapat yang dengan sendirinya menyanggah kenyataan Prof Zainal Kling bahawa Malaya ataupun Malaysia tidak permah dijajah sebagai koloni British.
Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa dari sudut teknikal, Malaya tidak dijajah tetapi pada hakikatnya kita dijajah. Prof Chandra Muzaffar dan Prof Mohamed Ghouse Nasuruddin turut mempertikai kenyataan kononnya Malaya tidak dijajahi.
Tun berkata beliau melalui kehidupan semasa diperintah British, kemudian Jepun, kemudian Siam dan berbalik kepada Pentadbiran Tentera British [BMA] dan akhirnya pihak awam British sebelum di bawah pentadbiran Malaya yang merdeka.
Tun Mahathir menegaskan yang beliau melihat dan mengalami perjalanan sejarah dan beliau dapati orang yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang pada hakikatnya tidak relevan atau berkaitan, sebenarnya tidak berasas.
Saya ingin memetik tulisan Tun Mahathir dalam bukunya 'Doctor in the House' yang dengan sendirinya menunjukkan bahawa Malaya dijajahi British.
'' When the British colonised Malaya, the demography of the Malay Peninsula changed rapidly. In the Straits Settlements, the Chinese community dominated and, by the first quarter of the twentieth century, Singapore had become a de facto Chinese state.''
Saya ulangi kenyataan Tun Mahathir ''When the British colonised Malaya'' yang bermaksud apabila British menjajahi Malaya. Bukankah ini satu kenyataan bahawa Malaya dijajah oleh pihak Inggeris?
Dalam bahagian lain, Tun Mahathir menulis:
'' For a long time, the Malays of the Peninsula had hospitably acceded to the arrival and the claims of immigrant non-Malays. Now, after some 450 years of colonisation, the Malays stood their ground, but not selfishly.''
Ya, Tanah Melayu dijajah oleh kuasa asing selama 450 tahun, sama ada secara langsung atau secara halus seperti kononnya bersifat penasihat kepada Sultan atau pelindung [protectorate].
Saya ingin mengimbau kembali sedikit sejarah berkaitan penaklukan dan penjajahan ke atas Tanah Melayu termasuk disebalik pelantikan apa yang disebut sebagai 'British Resident' atau 'Residen' di beberapa buah negeri Melayu.
Sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat ke dunia sebelah timur, negeri-negeri Melayu telah pun ditakluki oleh kuasa-kuasa Timur itu sendiri seperti Kerajaan Palembang, iaitu Sri Wijaya, Kerajaan Aceh dan Kerajaan Jawa iaitu Majapahit.
Beberapa bahagian sebelah utara tanah Melayu ditakluki pula oleh kerajaan Siam, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511 dan pada 1641 ia berpindah pula ke tangan Belanda sebelum diserah kepada Inggeris pada 1825. Pada 1786 Francis Light 'rampas' Pulau Pinang daripada Kedah manakala Stamford Raffles ambil Singapura pada 1819.
British mengambil alih pentadbiran atau pemerintahan negeri-negeri Melayu melalui tipu muslihat dan janji-janji palsu. Umpamanya, Light berjanji kepada Sultan Kedah bahawa pihak Inggeris akan membantu jika diserang oleh Siam, tetapi apabila Siam menyerang Kedah, Inggeris tidak bantu. Apabila Sultan Kedah menyedari penipuan itu dan cuba menyerang kedudukan Inggeris di Pulau Pinang, dengan mudah dipatahkan oleh tentera Inggeris dan padahnya, Seberang Perai pula terpaksa diserah kepada Inggeris.
Kepada mereka yang mempercayai bahawa Inggeris hanya bertindak selaku penasihat Raja Melayu dan negeri berkenaan dilindungi British atau 'British Protectorate' dan bukan dijajahi, mereka silap dan tidak faham akan kedudukan sebenar.
Mula-mula kerajaan British masuk campur dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu ialah di negeri Perak pada tahun 1874, iaitu sejurus selepas peperangan yang berlaku di negeri berkenaan.
Kerajaan Britain dengan sengaja dan penuh muslihat ingin menjaga atau memelihara negeri Perak sedangkan niat sebenar adalah sebaliknya.
Inggeris membuat surat perjanjian yang dikenali sebagai 'The Treaty of Pangkor'' yang didalamnya, iaitu perkara ke-16 menyebut bahawa Sultan Perak mengaku menerima seorang pegawai British yang akan digelar 'Resident' yang nasihatnya mesti diminta dan diikuti di dalam semua perkara selain daripada hal ehwal yang bersangkut dengan agama dan adat resam orang-orang Melayu.
Cuba kita hayati ayat tersebut...mesti diminta dan dikuti....apakah maksudnya jika bukan kedudukan raja selaku pak turut dan yang berkuasa dan memerintah adalah Residen British. Jika British bukan penjajah, kenapa perlu diadakan syarat tersebut yang memberi kuasa penuh, kecuali yang berkaitan Islam dan adat resam Melayu, kepada Inggeris?
Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan British Protectorate dan hujah ini juga diketengahkan oleh mereka yang mendakwa bahawa Malaya atau Tanah Melayu tidak dijajahi oleh Inggeris.
Kita tidak harus lupa bahawa pihak Inggeris juga yang membuang negeri Sultan Abdullah [Sultan Perak] ke Seychelles. Jika Inggeris bukan penjajah dan yang berkuasa, mana mungkin mereka membuang negeri seorang Raja Melayu?
Selepas berjaya 'berkuasa' di Perak, Inggeris memperluaskan penguasaan atau penjajahan ke Selangor pada tahun 1875 iaitu dimana 'Residen membantu Sultan Selangor memerintah negeri' dan pada tahun 1895 mereka menguasai Negeri Sembilan kononnya atas permintaan kerajaan negeri untuk mendapatkan seorang Residen British bagi mentadbir kerajaan negeri.
Pada tahun 1887, Pahang pula membuat perjanjian dengan Kerajaan British dan setahun kemudian, 1888, seorang pegawai British 'membantu' Sultan Pahang mentadbir negeri.
Dalam tahun 1895, empat buah negeri Melayu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang berada di bawah naungan kerajaan British dan dikenali sebagai 'Negeri-negeri Melayu Bersekutu' atau 'The Federated Malay States'.
Apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah dimana pegawai-pegawai Inggeris berkuasa dalam hampir semua bidang dan kepentingan ekonomi. Mereka adalah pentadbir di peringkat negeri, mereka juga pegawai daerah, pegawai pertanian, pegawai perikanan, pegawai pelajaran, ketua polis dan pegawai yang bertangungjawab ke atas urusan perlombongan bijih timah dan bijih besi. Pendek kata Inggeris menguasai hampir segala-galanya.
Ia adalah satu bentuk penjajahan yang berselindung disebalik ungkapan British Protectorate di negeri-negeri Melayu Bersekutu yang kemudian diperluaskan ke seluruh Tanah Melayu sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.
Bagi negeri-negeri Melayu yang tidak bersekutu, Kerajaan British membuat perjanjian dengan Johor pada 1885 dimana Johor menyerahkan kepada kerajan British segala urusan politik luar negeri. Namun begitu, Gabnor Negeri-Negeri Selat adalah penaung bagi negeri Johor.
Johor akhirnya menerima penasihat British pada tahun 1914 walaupun Sultan Johor sudahpun mempunyai penasihat-penasihat British sebelum itu.
Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis berada dibawah perintah Siam atau tunduk di bawah perintah Siam, iaitu sebelum kedatangan Inggeris ke negeri masing-masing.
Pada tahun 1909, kerajaan British dan kerajaan Siam menandatangani perjanjian dimana Siam menyerah kepada Britain semua hak milik bagi memerintah dan menaung ke atas negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Ini bermakna keempat-empat negeri berkenaan adalah negeri takluk British, iaitu berpindah tangan daripada Siam kepada British.
Beberapa perjanjian berasingan kemudian dibuat antara negeri-negeri berkenaan dengan kerajaan Great Britain.
Perjanjian dengan Terengganu pada 1910 membolehkan Terengganu mempunyai seorang Penasihat British atau British Adviser yang mana nasihatnya hendaklah dipinta dan dituruti di dalam semua perkara yang lain daripada yang menyentuh agama Islam.
Perjanjian yang serupa dibuat dengan Kelantan juga pada 1910.
Apa yang berlaku selepas semua perjanjian dibuat menunjukkan bahawa pihak British telah memungkiri janji dan bertindak bukan selaku penasihat tetapi pemerintah dan penjajah.
Benarlah apa yang dikata oleh Tun Mahathir, secara teknikal Malaya tidak dijajah, ya secara teknikal tetapi pada realitinya kita dijajah dan benarlah apa yang dikata oleh Prof Cahndra iaitu Malaya dijajah secara de-facto atau dalam perkataan yang mudah difahami pada hakikatnya kita dijajah dan benarlah apa yang dikata oleh Prof Ghouse bahawa pihak British menguasai segala-galanya dan oleh itu menjajahi Malaya.
Malaysia sebenarnya ketandusan tokoh-tokoh akademik bergelar profesor yang dihormati dan dikenali di peringkat antarabangsa yang pendapat mereka disanjung tinggi. Walaupun Malaysia kini mempunyai sebegitu banyak IPTA dan IPTS, tetapi bilangan profesor yang dikenali di peringkat antarabangsa boleh dikira dengan sepuluh jari.
Zaman kegemilangan profesor-profesor seperti Ungku Abdul Aziz, Wang Gang-wu, Syed Hussein Al-Attas dan adiknya Syed Mohamad Naquib Al-Attas, Ahmad Ibrahim, Chin Fung Kee, CP Ramachandran, Hamzah Sendut dan Augustine Ong sudah berlalu. Kebanyakan yang ada sekarang tidak dikenali diperingkat antarabangsa bahkan ramai rakyat Malaysia yang tidak pun mengenali mereka walupun pada namanya sahaja.
Ada beberapa orang profesor yang popular selaku pengulas politik dan isu-isu semasa melalui stesen-stesen tv arus perdana, itupun ulasan dan komen mereka tidak memberi kesan atau meninggalkan sesuatu yang dapat dijadikan bahan rujukan. Itu sahaja tahap kepakaran segelintir manusia yang bergelar profesor yang sering menjadi 'pakar rujuk' stesen-stesen tv arus perdana.
Mungkin inilah sebabnya ada yang mendakwa bahawa Malaya tidak pernah dijajah.....
Rabu, 14 September 2011
UMNO Rapat Dengan Inggeris, Sebab Tu Depa Cop Mat Indera Komunis
"Saya kenal siapa Mat Indera, saya lama berkawan dengannya semasa saya berada di Johor".
"Mat Indera bukan komunis, dia perjuang kemerdekaan, dia terlibat dengan Parti Kebangsaaan Melayu Malaya".
Demikian ditegaskan oleh Abdul Majid Saleh, yang lebih dikenali Pak Imam Majid, seorang pejuang kemerdekaan yang berani menentang penjajahan Inggeris sehingga beliau dipenjarakan pleh Inggeris selama tujuh tahun.
Menceritakan kisah perjuangannya ketika dikunjungi oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak Dr Muhaimin Sulam bersama Unit Media PAS di kediaman rumahnya semalam, beliau memberitahu beliau bersama Ismail Kali menubuhkan PKMM di Perak, iaitu di Sungai Lesung, Tapah. Beliau telah bergerak ke serata negeri untuk melebarkan pengaruh PKMM.
Kemudian beliau telah berpindah ke negeri Johor dan terlibat secara aktif mengembangkan PKMM di Johor. PKMM telah berkembang ke seluruh daerah di Johor.
Semasa beliau aktif menggerakkan PKMM di Johor itulah beliau kenal dengan Mat Indera.
"Mat Indera itu lulusan agama, dia mengajar agama, saya selalu bertemu dengannya," ujar Imam Majid.
Sehubungan itu beliau menafikan sekeras keras dakwaan pihak Umno dan media pro Umno yang mengaitkan Mat Inera dengan komunis dan menyifatkan ianya satu pembohongan dan fitnah besar yang kepada pejuang kemerdekaan itu.
Menurutnya, penjuang menentang penjajah dan berjuang untuk membebaskan negara ini dari cengkaman dipelopori pejuang pejuang terdahulu termasuk pejuang pejuang dari PKMM, saperti Dr Burhanudin Al Helmi, Ustaz Abu Bakar Baqir dan ramai lagi ahli ahli dan pejuang PKMM.
"Umno buat apa ketika itu, Umno tidak buat apa apa, Umno sebenarnya penakut," ujarnya.
Menurutnya lagi, malah Umno pula yang menentang PKMM, Umno rapat dengan Inggeris, kerana itu Umno bukan musuh Inggeris, sebaliknya PKMM adalah musuh Inggeris.
"Saya ingat dalam penangkapan ahli ahli dan pejuang kemerdekaan tidak kurang 86,000 telah ditangkap oleh Inggeris dan `disumbat' dalam penjara dan kem-kem tahanan.
Beliau sendiri dimasukkan ke kem-kem tahanan dari satu tempat ke satu tempat di Johor, Singapura, Melaka dan Perak.
"Mana ada orang Umno yang ditangkap oleh British, Umno itu pengecut" ujarnya.
Mengenai hubungannya dengan Dr Burhanuddin Al Helmi, beliau memberitahu Dr Burhanuddin adalah rakan rapatnya semasa berada di Singapura. Beliau begitu kagum dengan Dr. Burhanudin yang dianggapnya seorang pemimpin yang hebat dan menguasai banyak bahasa.
Pak Imam Majid semakin yang semakin uzur masih mampu mengingat kisah perjuangan beliau bersama rakan rakan menentang Inggeris.
Labels:
Kenyataan Blog
Isnin, 12 September 2011
PENJAJAHAN BRITISH TELAH MERUBAH WAJAH ISLAM DI MALAYSIA
Pendahuluan
Islam telah lama sampai ke Malaysia. Ini merujuk kepada beberapa faktor sejarah sama ada bentuk lapuran, catatan atau prasasti yang ditemui. Pengislaman di Malaysia telah berlaku sejak kurun ke 9 masihi dan selewat-lewatnya kurun ke 12 atau 13 masihi dan bukannya kurun ke 15 seperti yang didakwa oleh sejarawan Barat. Iaitu ia bermula dari Melaka dengan pengislaman Parameswara. Dengan kedatangan Islam ke Malaysia ini banyak perubahan yang telah dibuat dari segi corak kehidupan, pemerintahan dan juga ekonomi. Bukan itu sahaja Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu telah menjadi tumpuan penduduk seluruh Nusantara kerana kegiatan agama yang ada di negara itu.
Tetapi keamanan yang dirasai ini telah diganggu gugat oleh kedatangan British. British mula menjajah Tanah Melayu sejak kejatuhan Melaka lagi iaitu 1511. Dimana pada mulanya Portugis menjajah Melaka kemudian diambil alih oleh Belanda pada 1641. Dan yang terkemudian adalah British. British mula-mula datang ke Tanah Melayu dan telah mengambil Pulau Pinang daripada tangan Sultan Kedah pada 1786, menduduki Melaka untuk sementara waktu 1795 - 1818. Melalui langkah-langkah ini British telah berjaya menguasai dan menjajah tanahair kita sepenuhnya. Dengan penjajahan British ini telah banyak perubahan berlaku terutama dari segi pentadbiran, pendidikan dan cara hidup masyarakat Islam. Walaupun penjajahan ini banyak mengubah wajah Islam di Malaysia tetapi tidak sepenuhnya kerana ketebalan keimanan sesetengah golongan masih kuat.
ISLAM SELEPAS PENJAJAHAN
Penjajahan Barat telah membawa berbagai kesan terhadap umat Islam. Terutamanya berkenaan kehilangan kuasa politik dan pemerintahan daripada pimpinan orang-orang Islam sendiri kepada pimpinan kuasa Barat yang beragama Kristian.1 Penguasaan penjajah ini adakalanya secara langsung ( direct rule ) ataupun tidak langsung ( indirect rule ) apabila mereka memerintah melalui penguasa-penguasa tradisional yang hanya dijadikan sebagai boneka sahaja. Sebelum kedatangan British, agama Islam tidak dipisahkan dari sistem politik Melayu. Dalam Undang-undang Melayu Lama atau Hukum Kanun masih terdapat hukum-hukum Islam yang masih digunakan seperti hukum potong tangan untuk kesalahan mencuri dan hukuman sebat atau rotan untuk mereka yang berzina. Hakikat ini diakui sendiri oleh Hakim-hakim Lord Action dan Thomas dalam kes Ramah lawan Laton ( 1927 )2 yang mana dikatakan bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang asal negeri ini bukan undang-undang asing.
Bagaimanapun dengan kedatangan British, mulalah diperkenalkan dengan sistem pentadbiran sekular, bahawa antara agama dengan politik terdapat jarak yang tidak mungkin diketemukan. Pemisahan ini lebih bererti dalam Perjanjian Pangkor 1874 yang menegaskan semua urusan pentadbiran diserahkan kepada Residen British kecuali soal-soal agama ( disempitkan maknanya ) dan adat istiadat Melayu. Seterusnya kepada pembentukkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. British telah mula menentukan corak pemerintahan, pentadbiran dan keputusan dasar yang penting berhubung dengan sesebuah negeri Melayu bahkan dapat menantukan kedudukan seseorang raja yang dilantik memerintah negeri.3 Ini telah menunjukkan bagaimana British telah berjaya mengubah wajah Islam di Malaysia dalam pentadbiran dengan perkenalkan pentadbiran serta undang-undang sekular. Dimana lebih pentingkan keduniaan tidak berkaitan dengan agama4 dan ia juga telah mengenepikan sebahagian besar undang-undang Islam.5 Kita dapat lihat dalam kes, dimana Residen-residen yang memberi nasihat-nasihat di Majlis-majlis Negeri telah campurtangan kerja-kerja para kadi. Kerana bagi mereka urusan nikah dan cerai libatkan hal keselamatan dalam negeri. Sebab itu British telah tentukan perlantikan, pendapatan, pengantungan dan pemecataan kadi-kadi. Tindak tanduk kadi juga telah diawasi dan kadang-kadang penyelesaian masalah dipindahkan kepada Majistret-majistret.6 Ini menunjukkan pentadbiran undang-unddang Islam yang tadinya bebas tidak bererti lagi. Walaupun begitu hakikatnya undang-undang British yang diperkenalkan tidaklah diambil sepenuhnya kerana undang-undang Islam masih kukuh dijiwa rakyat Malaysia.
Selain penjajahan dalam pentadbiran, British juga telah mengubah wajah Islam di Malaysia dalam bidang pendidikan. Dimana hasrat sebenar penjajah British ke Malaysia adalah untuk mengubah corak pegangan hidup masyarakat Melayu dan juga pemikiran mereka agar menyanjungi kehebatan Barat. Satu sistem pendidikan telah diadakan, keseluruhan aspek dan sistem nilai serta kebudayaan penduduk tempatan dibentuk dan diindoktrinasikan dengan pengaruh kebudayaan, sikap dan pandangan Barat. 7 Pada peringkat awal sistem pendidikan British yang berbentuk formal diperkenalkan di negeri-negeri lain sebagai cawangannya.
Penubuhan sekolah-sekolah ini dibawah budi bicara, daya usaha dan pengawasan badan pengembangan agama Kristian.8 Oleh itu sambutan rakyat tempatan sangat dingin. Ini kerana pada peringkat awal pendidikan bagi masyarakat tempatan masih di institusi masjid, rumah dan surau yang terkenal sebagai Sekolah Quran atau Sekolah Agama9 dan mereka sanggup lagi untuk melanjutkan pendidikan tentang agama ke peringkat lebih tinggi di hantar ke Patani, Makkah dan Mesir. Selain itu ibu bapa masyarakat tempatan juga takut untuk menghantar anak ke Sekolah British sebab dikhuatiri anak-anak mereka nantti akan masuk Kristian. Denngan kegagalan awal ini, British telah mencuba taktik yang baru iaitu dengan mencampuri serta mengambil alih pentadbiran Sekolah Quran untuk diletakkan dibawah pengawalan mereka.
Sejak 1854, Sekolah Quran pentadbirannya telah diambiil alih dengan dibiayai pengajian dan diberi bantuan penuh. Kurikulumnya diubah, pentadbiran dan perjalanan sekolah berubah corak. Masa persekolahan dibahagikan dua, pagi untuk pelajaran akademik iaitu Sekolah Melayu dan petang untuk pelajaran agama iaitu Sekolah Quran. Ini telah menunjukkan satu doktrin yang cuba memisahkan antara ilmu agama dan akademik. Manakala pula Sekolah Quran sangat diabaikan berbanding Sekolah Melayu yang banyak pembaharuan serta bantuan diberikan. Dengan memisahkan kedua-dua jenis sekolah ini boleh melahirkan individu-individu atau masyarakat yang tempang atau tidak seimbang.10
Kemudian penjajah British makin kuat dan mereka menguasai pendidikan serta pelajaran. Strategis melalui sektor pendidikan ini menjalarlah idea-idea, pandangan-pandangan hidup Barat itu ke dalam jiwa dan pemikiran rakyat umum tanpa disedari sehingga terjadilah revolusi kebudayaan. Akibatnya dongkollah aqidah agama dan padamlah semangat keagamaan, bertukarlah semangat kelombaan yang merupakan pendorong terbesar kemajuan, dari jiwa agama berkuranglah kemauan memperdalamkan pengetahuan agama.11 Begitu juga dengan konsep kekeluargaan yang mana penjajah British telah mengubah kedudukan suami di dalam keluarga iaitu isteri lebh dipentingkan berbanding suami. Sedangkan di dalam Islam suami mempunyai kedudukan tinggi sebagai ketua keluarga dan dia boleh membuat sebarang keputusan tanpa menganiayai isteri dan ahli keluarganya. Tapi British telah mengubah dengan isteri turut sama boleh berkuasa dalam keluarga itu dan ada kalanya isteri-isteri yang telah meninggikan suara apabila berkata dengan suaminya. Sedangkan ajaran Islam tidak membenarkan ini.
Perubahan yang paling nyata telah dilakukan oleh British di Malaysia adalah corak pergaulan. Yang mana ia telah mengamalkan corak pergaulan bebas diantara masyarakat ataupun jantina, sedangkan dalam Islam hal pergaulan amat sensitif. Ini kerana ada jurang atau tembok pemisah pergaulan antara lelaki atau perempuan yang bukan muhrim. Tetapi ini telah diketepikan setelah Malaysia dijajaah oleh British.
Dengan teknologi moden yang dibawa masa penjajahan British menyebabkan anggota masyarakat, termasuk Pak Lebai dan Pak Haji begitu mudah terseret untuk jadi penonton pertunjukkan fesyen di Paris dan Pertandingan Ratu Cantik di New York melalui televesyen. Penumpahan dan pengaliran maklumat yang bersumberkan ideologi luar, yang didasari oleh kebudayaan asing dan ditentukan oleh kepentingan nasional negara penyedia berita dan cerita juga boleh mengakibatkan penjajahan fikiran yang boleh merosakkan aqidah dan kehidupan Islamiyah.12
Apabila penganut Islam sendiri menolak sistem hidup Islam dan menganggapnya sebagai satu cara hidup kurun ke 7, maka penolakkan itu merangkumi semua aspek samada nilai-nilai unik ataupun universalnya. Ini termasuklah keadilan sosial menerusi sistem zakat. Ertinya pembangunan ekonomi yang tidak berteraskan tauhid telah membawa kepada devolusi kedudukan akhlak - moral Islam sehingga ia hanya berkembang dalam lingkungan, pegangan dan pembabitan perbadi sahaja.13 Dalam bidang ekonomi, penjajahan British juga ttelah berjaya mengubah pegangan Islam yang pernah digunakan. Antaranya di dalam sukatan dan juga aktiviti perniagaan serta jual beli yang diperkenalkan. Jikalau dahulu Islam mengharamkan riba' atau bunga ataupun faedah semasa menjalankan aktiviti perdagangan tapi setelah penjajahan aktiviti inni adalah penting untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda. Aktiviti ini kekal hingga sekarang.
KESIMPULAN
Islam dapat hidup di Malaysia dan tentang segala percubaan yang hendak melemahkannya. Walaupun demilian usaha-usaha musuh Islam itu telah berjaya juga melemahkan keimanan dan roh keislaman dalam hati sebilangan besar dari generasi yang mendapat pendidikan pada zaman penjajahan British.
BIBLIOGRAFI
1. Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam Masa Kini : Sejarah dan Aliran, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987.
2. Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah dan Pemikiran Islam, Penerbitan Pena Sdn Bhd, Selangor, 1981.
3. Abdullah Ishak, Islam Di Nusantara, Al - Rahmaniah, Malaysia, 1990.
4. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kuala Lumpur, 1975.
5. Khoo Kay Kim, Tamadun Islam Di Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, 1980.
6. Muhamad Abu Bakar, Delima Dakwah : Pengislaman Dalam Era Pensejagatan, Pemikir (bil 10), 1997.
7. Muhamad Abu Bakar, Selepas Kebangkitan Semula Islam ? Pengislaman dan Pensejagatan Masa Kini Satu Overview, Ilmu Masyarakat XVl.
8. Zubeir Ahmad, Apa Derita Dunia Bila Islam Mundur, Media Da'wah, Jakarta Pusat, 1983.
9. Kamus Dewan (edisi 3), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994.
Labels:
Kenyataan Blog
SURAT TERBUKA PENDEDAHAN KONSPIRASI TERHADAP DSAI OLEH BEKAS PEGAWAI KANAN POLIS
Kepada,
YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, IG,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
12hb.September 2011,
Assalamualaikum wbt.
KENYATAAN TERTUDUH-BENARKAH ANWAR DIANIAYAI.
Beberapa pihak telah memberikan pendapat berkaitan tindakan Dato Seri Anwar Ibrahim (Anwar) membuat kenyataan pembelaan diri dalam perbicaraan kes Sodomy II dari kandang tertuduh pada 22.08.2011 yang lalu. Setiap seorang termasuk saya,adalah berhak keatas pendapat masing-masing.
2. Membuat kenyataan dari kandang tertuduh( Kenyataan Tertuduh) adalah salah satu dari tiga opsyen yang dibenarkan olih undang-undang kepada seorang Tertuduh. Olih yang demikian, tidak timbul sama ada Anwar telah melakukan suatu kesalahan dari sudut undang-undang atau sebaliknya. Beliau pasti telah diberi nasihat berkaitan konsekuen atau faedahnya memilih opsyen tersebut.
3. Pada pendapat saya, perkara yang sepatutnya dititikberatkan ialah samada ada keseluruhan kandungan Kenyataan Tertuduh itu adalah benar atau terdapat diantaranya, penegasan yang direka atau palsu. Kedapatan Anwar turut membuat dakwaan salahlaku jenayah yang spesifik, terhadap beberapa individu yang dinamakan dengan jelas. Apa pun opsyen yang dipilih, beliau telah mengemukakan kenyataan tersebut dihadapan seorang Hakim dalam suatu prosiding terbuka. Anwar tetap tertakluk kepada pendakwaan jenayah, sekiranya beliau dibuktikan telah membuat kenyataan yang direka atau palsu.
4. Dalam mengulas isu ini,saya memilih untuk menumpukan perhatian kepada beberapa perenggan Kenyataan Tertuduh seperti berikut:-
4.1. Dakwaan spesifik terhadap Tan Sri Abdul Gani Patail(Gani Patail),Tan Sri Musa Hassan (Musa Hassan) dan Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden (Yusof) dalam peristiwa tahun 1998. Khususnya berkaitan mereka atau memberi keterangan palsu serta dakwaan “cover-up” dalam penyiasatan melibatkan Anwar. Termasuk tetapi tidak terhad kepada insiden mata-lebam.
4.2. Dakwaan berkaitan keterangan Forensik dan DNA.
4.3. Dakwaan keterlibatan dan salahguna kuasa mantan Perdana Menteri dalam penyiasatan melibatkan Anwar.
5. Saya mendapati hampir keseluruhan Kenyataan Tertuduh itu adalah merupakan “kenyataan ulangan untuk menyegarkan ingatan”.Dakwaan-dakwaan yang Anwar lontarkan terhadap mantan Perdana Menteri Y.A.Bhg. Tun Mahathir Mohamed, Gani Patail, Musa Hassan dan beberapa yang lain, termasuk terhadap Jabatan Peguam Negara dan Polis, bukanlah perkara baru.Beliau pernah membuat kenyataan secara rasmi pada 3.3.1999 ketika prosiding Suruhanjaya Di-Raja siasatan insiden mata-lebam diadakan.Bagaimanapun dakwaan-dakwaan berkenaan tidak dicabar olih mana-mana pihak, walaupun daripada Gani Patail atau Musa Hassan sendiri.
5.1. Selanjutnya,dakwaan salahlaku jenayah secara lebih spesifik terhadap Gani Patail,Musa Hassan dan Yusof telah beliau kemukakan kepada Mahkamah dalam beberapa afidavit yang telah difailkan sejak 2008 ketika perbicaraan masih diperingkat Mahkamah Sesyen lagi.
5.2. Selain afidavit, Anwar juga telah membuat beberapa laporan Polis terhadap Gani Patail,Musa Hassan serta beberapa Timbalan Pendakwa Raya.Laporan-laporan berkenaan kesemuanya berkisar kepada dakwaan mereka keterangan atau membuat afidavit palsu.
6. Olih hal yang demikian, isu beliau membuat Kenyataan Tertuduh sedemikian, sebagai helah untuk mengelakkan diri daripada disoal balas olih Pasukan Pendakwaan, pada pendapat saya tidak tepat untuk dipersoalkan.
6.1. Malahan,Pasukan Pendakwaan atau sesiapa juga yang telah didakwa dalam afidavit atau laporan Polis berkenaan, bolih membuat aduan terhadap Anwar jika terbukti beliau telah mengikrarkan afidavit atau membuat laporan Polis palsu.Bagaimanapun sejak 1998 lagi, Gani Patail dan Musa Hassan tidak mengambil tindakan sedemikian.
7. Peraturan Mahkamah Tinggi berkaitan penegasan dalam sesuatu afidavit adalah jelas. Banyak case laws yang bolih dijadikan teladan. Antaranya dalam kes Sunrise Sdn.Bhd. vs First People (M) Sdn.Bhd & Anor [1996] 3 MLJ 533.Hakikatnya telah diterima olih Mahkamah bahawa, mana-mana penegasan mustahak dalam afidavit yang tidak dijawab atau dicabar hendaklah dianggap sebagai telah diakui kenyataan yang benar.
7.1. Contoh semasa yang terbaik ialah; dalam kes bunuh Altantuya Shaariibuu, bilamana Hakim telah membebaskan seorang tertuduh Abdul Razak Baginda tanpa dipanggil membela diri, semata-mata bersandarkan afidavit Razak yang tidak dicabar olih Pendakwa Raya.
GANI PATAIL DAN MUSA HASSAN
8. Berbalik kepada dakwaan-dakwaan spesifik terhadap beberapa individu dalam Kenyataan Tertuduh tersebut, kesimpulan saya adalah seperti berikut;
8.1. Dakwaan bahawa Gani Patail pada 26.10.1998 telah mengarahkan seorang Dr. Abdul Rahman Yusof (Dr. Rahman) untuk menyediakan satu laporan Forensik palsu berkaitan kecederaan yang Anwar alami dalam insiden mata lebam itu adalah betul.Pemalsuan ini telah disusuli dengan 2 lagi pemalsuan olih Dr. Rahman yang dikatakan telah diarahkan sendiri olih Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara ketika itu, dalam bulan Disember 1998.
8.2. Dakwaan bahawa Musa Hassan telah bersubahat dengan memberi kemudahan kepada Gani Patail dan Dr.Rahman menyempurnakan pemalsuan-pemalsuan tersebut diatas juga adalah betul.8.3. Fakta bahawa 2 (dua) daripada 3 (tiga) laporan forensic palsu tersebut telah dikemukakan dalam prosiding Suruhanjaya Di-Raja insiden mata-lebam yang bersidang diantara 22.2.1999 hingga 4.3.1999, juga adalah betul.
9. Apapun keadaannya, keujudan 3 laporan forensik olih Dr.Rahman itu sendiri, merupakan keterangan yang kukuh bagi membuktikan berlakunya perbuatan mereka keterangan palsu terhadap Anwar.Saya menekankan bahawa keterangan ini adalah lebih konklusif daripada keterangan DNA.
YUSOF
10. Dakwaan bahawa Yusof mengetahui keujudan ketiga-tiga laporan palsu tersebut dan penggunaanya dalam prosiding Suruhanjaya diatas, dalam sifat beliau sebagai wakil Peguam Negara sepanjang prosiding berkenaan, adalah berasas dan dipercayai betul.
10.1. Yusof sewajarnya mengistiharkan kepada Mahkamah, sama ada posisi beliau sebagai Ketua Pasukan Pendakwaan kes Sodomi II berada dalam konflik dengan posisi beliau sebagai wakil Peguam Negara dalam prosiding Suruhanjaya mata-lebam. Situasi ini timbul, memandangkan isu Gani Patail dan Musa Hassan memalsukan keterangan dan menggunakannya dalam prosiding Suruhanjaya itu telah dibangkitkan sejak 1.7.2008.Ini disusuli pula dengan dakwaan menerusi afidavit-afidavit dalam pembicaraan Sodomi II. Yusof sendiri turut ditohmahkan sebagai telah menyembunyikan keterangan salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan.
10.2. Hakikatnya tidak dapat dinafikan bahawa Yusof adalah seorang saksi yang mustahak kepada dakwaan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan Musa Hassan yang telah dilaporkan olih Anwar pada 1.7.2008 itu, manakala pada masa yang sama juga, Yusof adalah Ketua Pasukan Pendakwaan dalam perbicaraan Sodomy II terhadap Anwar.
10.3. Yusof hanya perlu untuk mengesahkan sama ada benar atau tidak ujud 3 laporan forensic yang disediakan olih Dr. Rahman diatas arahan Gani Patail dan Peguam Negara dalam penyiasatan insiden mata-lebam itu. Yang lainnya adalah untuk Mahkamah memutuskan.
KETERANGAN FORENSIK DAN DNA
11. Dakwaan menerusi afidavit menyatakan Musa Hassan dan SAC Datuk Mohamad Rodwan Yusof (Rodwan) cuba mengambil tanpa kebenaran (“mencuri”) sample darah Anwar, daripada simpanan / kawalan seorang Dr.Zahari Noor pada 15.10.1998 untuk kegunaan ujian DNA adalah dipercayai betul. Dr.Zahari sendiri telah memberikan keterangan kearah demikian pada 30.12.1998 ketika perbicaraan Anwar dalam kes salahguna kuasa dihadapan Hakim Dato Augustine Paul (mendiang).
11.1. Setidak-tidaknya, Musa Hassan masih terhutang kepada rakyat jelata, untuk menjelaskan apakah keterangan yang beliau ada ketika memberi taklimat kepada Tun Mahathir ,sehinggakan mantan Perdana Menteri itu begitu yakin untuk mempercayai Anwar terlibat dengan aktibiti seks luar nikah dan homosexsual. Manakala beberapa bulan selepas itu pula, Musa Hassan terdesak untuk mengumpulkan keterangan lanjut berkaitan DNA, sehingga terpaksa mencuri sample darah tersebut.Walhal pada ketika itu, Anwar telahpun dituduh di-Mahkamah dan sedang menunggu tarikh perbicaraan. Sepatutnya proses pengumpulan keterangan asas telah selesai.
11.2. Musa Hassan juga patut jelaskan samada tindakan “mencuri” sample darah sebelum perbicaraan kes dimulakan itu, adalah dalam pengetahuan dan direstui olih Tun Mahathir atau sebaliknya. Ataupun tindakan itu adalah diatas inisiatif beliau sendiri semata-mata untuk menjustifikasikan taklimat meyakinkan yang beliau beri kepada Tun Mahathir beberapa bulan sebelum itu.
11.2.1.Fakta bahawa Musa Hassan telah menemui Dr. Zahari berkaitan sample darah Anwar untuk tujuan DNA pada 15.10.1998 itu sahaja, sudah memadai untuk membuat kesimpulan bahawa Musa Hassan TIDAK mempunyai keterangan yang lengkap ketika mentaklimatkan Tun Mahathir berkaitan Anwar beberapa lama sebelum itu.
11.2.2.Sila rujuk laporan lengkap dalam “surat tertutup” saya bertarikh 27.12.2010 dialamatkan kepada Tan Sri KPN, Solicitor General dan YAB Perdana Menteri berkaitan pemalsuan DNA ini.
DAKWAAN KETERLIBATAN TUN MAHATHIR
12. Menerusi Kenyataan Tertuduh dan afidavit-afidavit yang Anwar telah failkan sebelumnya,beliau telah mendakwa pada tahun 1998 Tun Mahathir telah menyalahgunakan kuasa beliau dalam memberi tekanan keatas Jabatan Kehakiman, Peguam Negara dan Polis sehingga mendapatkan beliau (Anwar) disabitkan dengan kesalahan yang beliau tidak pernah lakukan dan dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 15 tahun.
12.1. Saya menegaskan bahawa Anwar TIDAK mempunyai keterangan untuk mengaitkan Tun Mahathir dengan tindakan Gani Patail dan Musa Hassan dalam perbuatan merekacipta atau memberi keterangan palsu terhadap beliau (Anwar).
12.2. Sebaliknya, saya wajar menyatakan bahawa mengikut rekod rasmi dan apa yang tercatit diatas kertas dalam fail siasatan Polis, Tun Mahathir yang telah memberi nasihat dan amaran keras supaya tidak ada sebarang “cover-up” dilakukan dalam penyiasatan kes-kes melibatkan Anwar.
12.3. Nasihat dan amaran Tun Mahathir sedemikian itu telah saya rakamkan dalam diari penyiasatan kes mata-lebam pada 8.10.1998 setelah saya menemui beliau di-Jabatan Perdana Menteri yang dipanggil memberi taklimat kemajuan siasatan Polis dalam kes tersebut.
12.4. Nasihat dan arahan tersebut telah disampaikan kepada pucuk pimpinan tertinggi PDRM pada hari yang sama dan kepada Gani Patail dua hari kemudian.Laporan secara bertulis menerusi kertas siasatan kes, disampaikan kepada Gani Patail pada 15.10.1998 yang diakui penerimaannya secara rasmi.
13. Olih yang demikian,berdasarkan keterangan yang ada,saya menegaskan, segala penipuan dan pemalsuan keatas Anwar telah dilakukan olih Gani Patail dan Musa Hassan dengan kehendak mereka sendiri untuk faedah masing-masing,melainkan mereka berdua bolih membuktikan terdapat ada pihak ketiga yang terlibat.
MENGENAI SABITAN SALAH DAN HUKUMAN PENJARA 15 TAHUN
14. Sejak 1998 lagi, Anwar secara konsisten mengekalkan pengakuan tidak bersalah sambil mendakwa, bahawa pertuduhan-pertuduhan salahguna kuasa dan liwat yang dikenakan terhadapnya adalah pertuduhan palsu dan berniat jahat dan suatu konspirasi nekad, untuk memusnahkan kerjaya poliktiknya. Beliau turut mendakwa bahawa sabitan salah dan hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan keatas diri beliau adalah suatu penganiayaan pihak Pemerintah keatas diri dan keluarga beliau.
15. Berdasarkan kepada keterangan dokumentari dan peristiwa-peistiwa penipuan dan pemalsuan yang dilakukan keatas diri beliau, yang bolih dan mampu dibuktikan, maka saya menyatakan bahawa dakwaan Anwar sedemikian itu adalah berasas dan mempunyai meritnya yang tersendiri.
15.1. Perbuatan “mencuri” sample darah Anwar untuk tujuan DNA olih Musa Hassan dan Rodwan telah dilakukan pada 15.10.1998. Manakala pemalsuan keterangan Forensic olih Dr.Rahman pula dilakukan pada 26.10.1998. Kedua-dua peristiwa yang berlaku, adalah diatas arahan dan atau/penyeliaan Gani Patail yang disempurnakan sebagai persediaan untuk keterangan tersebut digunakan terhadap Anwar, sebelum perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap beliau dimulakan pada 2.11.1998.
15.2. Tanpa perlu mengulangi secara detail peristiwa diatas,saya menyatakan bahawa kedua-dua kejadian tersebut adalah antara beberapa keterangan kukuh untuk membuktikan keujudan niat jahat (mala fide) dan sikap bias Gani Patail dan Musa Hassan dalam penyiasatan dan pendakwaan kes ini.
15.3. Walaupun Hakim mendiang Dato Augustine Paul menolak (expunged) keterangan DNA akibat penjelasan yang menimbulkan kecurigaan daripada Ahli Kimia Encik Lim Kong Boon, tidak bermakna bahawa perbuatan “mencuri” sample darah bagi tujuan DNA dan mereka keterangan palsu dalam perkara ini, terbatal sama sekali. Malah ianya mengukuhkan lagi dakwaan-dakwaan bahawa sample darah yang dicuri dari kawalan Dr.Zahari itu telah ditanam (planted) diatas “tilam masyhor” yang diusung turun-naik Mahkamah ketika perbicaraan.
15.4. Perbuatan Musa Hassan memberi keterangan palsu (“perjury”) dalam perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar, tiba-tiba terbongkar, apabila keterangan beliau berikan sendiri sebagai saksi PW75 dalam perbicaraan Kes Pendakwa Raya vs Ramli Yusuff di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, dibandingkan dengan keterangan yang beliau berikan dalam kes salahguna kuasa terhadap Anwar tahun 1998. Seorang Ahli Parlimen telah membuat laporan Polis terhadap Musa Hassan kerana melakukan kesalahan “perjury” ini dalam bulan Mac 2010, tetapi penyiasatannya disenyapkan begitu sahaja.
Analogi
16 Jika Musa Hassan dan Rodwan tidak pernah menemui Dr.Zahari berkaitan sample darah Anwar seperti yang dinyatakan diatas, maka Dr. Zahari Noor tidak akan memberikan keterangan sedemikian dalam perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar dalam bulan Disember 1998. Rodwan juga tidak akan menyebut perkara DNA ini tanpa sebab dalam percakapan yang dirakamkan darinya pada 1.10.1998.
16.1. Jika Musa Hassan sememangnya seorang yang jujur, termasuk apabila memberi keterangan bersumpah,maka Hakim Supang Lian dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, tidak akan melabelkan beliau sebagai seorang saksi yang tidak bolih dipercayai, dan kesaksiannya juga ditolak. Walhal beliau adalah seorang Ketua Polis Negara dan memakai pakaian seragam lengkap ketika memberikan keterangan tersebut. Pendek kata Hakim Supang Lian tidak akan membuat komen sedemikian melainkan beliau mempunyai keterangan yang kukuh.
16.2. Jika Musa Hassan tidak ada memberi keterangan palsu ketika perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Anwar, dihadapan Hakim mendiang Dato Augustine Paul dalam tahun 1998, maka tidak akan ujud nota keterangan sedemikian yang bolih dibandingkan pula dengan nota keterangan beliau di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu sebelas tahun kemudian.
16.3. Jika Musa Hassan tidak pernah memberi kemudahan dan membantu Gani Patail dalam membuat dan mereka keterangan-keterangan palsu dalam penyiasatan insiden mata-lebam tahun 1998, maka saya sendiri tidak akan merakamkan dalam diari penyiasatan saya ketika itu, mengenai peranan dan penglibatan beliau dan Gani Patail dalam salahlaku jenayah ini.
Memoirs
17. Jika Musa Hassan telah berjaya meyakinkan Tun Mahathir untuk mempercayai Anwar terlibat dalam aktibiti homosexsual,lantas beliau dipecat dan dikenakan beberapa pertuduhan jenayah sehingga disabitkan kesalahan dan dipenjarakan, maka nota keterangan Musa Hassan berikan dalam perbicaraan salahguna kuasa terhadap Anwar itu sendiri, akhirnya telah membongkarkan segala pemalsuan dan penipuan lampau yang Musa Hassan telah lakukan.
17.1. Begitu juga apa yang berlaku keatas Gani Patail. Sungguhpun beliau berjaya meyakinkan Tun Mahathir dan Jemaah Menteri ketika itu,dengan memperkecilkan hasil penyiasatan Polis terhadap insiden mata-lebam, sehinggakan Jemaah Menteri percaya bahawa PDRM tidak telus dan professional dalam tugas mereka,lantas menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja penyiasatan pula. Maka keterangan-keterangan yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya itu sendiri,akhirnya telah mengesahkan segala pemalsuan dan penipuan yang Gani Patail telah lakukan.
17.2. Tanpa diduga 13 tahun kemudian,Tun Mahathir telah mengeluarkan memoirs beliau dalam “A Doctor in the House”, pada bulan Mac 2011. Secara sengaja atau kebetulan, memoirs Tun dalam membincangkan peristiwa mata-lebam dan dakwaan terhadap Anwar, sebaliknya telah mengukuhkan lagi keterangan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan Musa Hassan pula.
17.2.1.Jika Tun Mahathir dalam memoirs sendiri telah berterus terang pernah tersalah anggap, bahawa kecederaan mata-lebam yang Anwar alami itu adalah dilakukannya sendiri (self-inflicted), hanya untuk kemudiannya sedar bahawa kecederaan tersebut akibat serangan mantan Ketua Polis Negara,maka Tun juga bolih tersalah anggap mengenai aktibiti homosexsual Anwar. Tun Mahathir tidak bolih mengenepikan kemungkinan beliau telah diperdayakan olih Musa Hassan dengan butir taklimat yang ditokok-tambah atau dimanipulasikan.
17.2.2.Menilai semula penglibatan Musa Hassan dalam peristiwa, yang ramai tidak menyangka beliau sanggup lakukan,iaitu, “mencuri” sample darah untuk tujuan DNA,bersubahat dengan Gani Patail dalam mereka 3 laporan Forensik palsu serta kemudiannya memberi keterangan palsu dalam perbicaraan melibatkan Anwar, yang kesemuanya berlaku selepas beliau memberikan taklimat kepada Tun, maka kemungkinan Tun Mahathir telah diperdayakan menjadi lebih credible.
17.2.3.Saya menyatakan Tun sememangnya serius apabila beliau pada 8.10.1998 mengarahkan menerusi saya supaya tidak ada sebarang “cover-up” dalam penyiasatan kes-kes terhadap Anwar. Bagaimanapun Tun tidak mempunyai kawalan terhadap tingkahlaku Gani Patail dan Musa Hassan.
17.2.4.Tun Mahathir sendiri mengaku telah mengarahkan KPN supaya berhati-hati apabila menangani Anwar. Malah Tun (memberitahu saya ketika menemui beliau) telah meminta supaya Anwar tidak digari apabila ditangkap, jika bolih. Namun, Anwar tetap juga dibelasah olih mantan KPN tersebut sebaik ditangkap ketika kedua belah tangannya masih bergari.Begitu juga keadaannya,walaupun Tun telah mengarahkan supaya tidak ada sebarang “cover-up” terhadap kes-kes melibatkan Anwar, dan arahan tersebut telah saya sampaikan kepada mereka yang berkenaan,secara lisan dan bertulis, namun Tun tidak berupaya untuk menghalang Gani Patail dan Musa Hassan daripada melakukan pemalsuan dan penipuan keatas Anwar dibelakang beliau.
17.2.5.Sekiranya Gani Patail sanggup melibatkan diri melesapkan dokumen yang mengaitkan beliau dengan salahlaku jenayah, sebelum laporan Suruhanjaya Di-Raja mata-lebam dipersembahkan kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong, maka apalah manipulasi keatas rakyat biasa kepada beliau.
17.2.6.Dengan berat hati saya menyatakan,bahawa terdapat beberapa kenyataan mustahak Tun dalam Chapter 53 “Doctor in the House”, khususnya menyentuh berkaitan siasatan kes mata-lebam dan tindak-tanduk Pendakwa Raya dalam perkara sama, adalah berbeza dengan fakta terkandung dalam fail siasatan rasmi yang dibuat pada 1998. Saya percaya pekara ini bolih berlaku akibat Tun telah diberikan maklumat atau taklimat yang telah dimanipulasikan dan mengelirukan.
Kesimpulan Perkara
18. Berdasarkan kepada hujah-hujah yang tersebut diatas yang disokong dengan dokumen-dokumen dan keterangan yang ada dalam milik dan pengetahuan saya sendiri, saya berpendapat bahawa sabitan salah keatas Anwar dalam pertuduhan salahguna kuasa keatas beliau,telah diperolehi olih pihak Pendakwaan melalui jalan penipuan dan pemalsuan yang telah dilakukan dengan niat bersama olih Gani Patail dan Musa Hassan untuk faedah bersama mereka.
18.1. Tidak salah untuk menyatakan hukuman penjara yang Anwar telah lalui adalah penganiayaan terhadap beliau olih mereka berdua.
PENUTUP
19. Selain daripada diri saya sendiri, saya mendapat maklum terdapat sekurang-kurangnya dua lagi pihak yang pernah menemui Perdana Menteri, YAB Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak (PM Najib), bertujuan menyarankan supaya sesuatu tindakan diambil terhadap Gani Patail dan Musa Hassan. Ini memandangkan salahlaku jenayah yang telah mereka lakukan, adalah sangat ketara dan telah membebankan Negara, selain daripada memusnahkan kepercayaan Rakyat terhadap Institusi-Institusi Kerajaan.Saya mempunyai alasan untuk menyatakan, PM Najib turut sedar bahawa keterangan terhadap Gani Patail dan Musa Hassan adalah jelas dan kukuh. Malahan, tidak ada jalan keluar bagi mereka berdua.Namun begitu, PM Najib nampaknya masih belum bersedia untuk melaksanakan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri diatas sesuatu pertimbangan yang hanya beliau ketahui. Mungkin beliau sedang menunggu masa yang sesuai. Saya yakin PM Najib tidak akan timbulkan soal ketiadaan atau kekurangan keterangan terhadap mereka berdua.
20. Sebagai seorang yang terlibat secara langsung menangani isu-isu berkaitan Anwar sejak 1998, serta mempunyai pengalaman bersemuka dan berinteraksi dengan kesemua “pemain-pemain utama” perkara dalam persoalan ini,terutamanya Tun Mahathir sendiri, Gani Patail, Musa Hassan, Anwar Ibrahim, selain daripada Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Suruhanjaya Di-Raja siasatan mata-lebam dan juga PM Najib, maka saya mampu menegaskan, bahawa segala pendedahan fakta yang saya buat dalam surat keluaran ini dan juga dalam beberapa banyak Surat Terbuka saya sebelum ini, tidak pernah lari sedikitpun daripada landasan kebenaran.
21. Saya menyimpan hak saya untuk menyambung ulasan mengenai isu ini pada masa yang sesuai, memandangkan perbicaraan kes Sodomi II akan disambung semula pada 19 September 2011, walaupun saya sedar akan risikonya.
Sekian, untuk makluman dan tindakan YDH Tan Sri dimana berkaitan mengikut peraturan Undang-Undang sedia ada.
Salam sejahtera.
Yang benar,
Mat Zain Ibrahim
Labels:
Kenyataan Blog
Hot: Pelakon Awan Dania Projek X?
Gambar di bawah dipetik daripada laman blog selebriti tempatan. Memang agak susah kita mengira bagaimana gambar 'superprivacy' ini begitu tersebar diluas di internet. Memandangkan ianya mengambil kira soal maruah dan pribadi diri. Siapa gambar dibawah ini? dia adalah pelakon Awan Dania 2, singaktan namanya QWH (korang teka lah sendiri ok, hehe).














Labels:
Kenyataan Blog
Langgan:
Catatan (Atom)



