Khamis, 21 Mac 2013

Mageran Kelantan 1977: Pemuda & NGO UMNO Punca Rusuhan



(Antara keratan akhbar ketika Mageran diisytiharkan di Kelantan 1977)

Selepas insiden 13 Mei 1969 yang di mulakan oleh Harun Idris yang mengetuai pemuda tahan lasak, maka parti PAS terasa terpanggil untuk bersatu dengan niat yang murni menyertai Kerajaan Campuran PAS  Perikatan di Kelantan pada tahun 1973. Ketika itu, Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Razak Hussein mentadbir negara.

(Sebagaimana yang di lapurkan oleh dokumen-dokumen yang di klasifikasi sebagai tidak lagi sulit oleh kerajaan British di London)

Manakala pada tahun 1974, PAS menyertai Barisan Nasional untuk bergabung dalam kabinet Kerajaan Persekutuan yang di tadbir Umno.

Namun niat baik PAS untuk bersatu telah dimanipulasi Umno untuk menimbulkan pepecahan sesama pemimpin PAS hingga menyebabkan PAS di buang daripada Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Hussein Onn Perdana Menteri Ketiga, pada penghujung tahun 1977.

Ini tidak menghairankan kerana Umno telah belajar daripada pihak British mengenai dasar pecah dan perintah dimana Harun Idris yang terlibat mengetuai pemuda tahan lasak dalam insiden 13 Mei 1969 telah memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno pada tahun 1971.

Beliau terus membantu kabinet Perdana Menteri kedua dan ketiga sehingga  beliau mendapat jawatan Menteri Besar Selangor sebelum Harun dipenjarakan di zaman Tun Hussein Onn.

Ini ekoran dakwaan rasuah pertandingan tinju dunia Muhammad Ali dan Joe Bugner yang berlangsung  di Kuala Lumpur.

Kabinet Perdana Menteri Kedua dan Ketiga juga mengandungi Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipecat Tunku Abdul Rahman sebelum tercetusnya peristiwa 13hb Mei 1969.

Beliau kembali semula ke Umno atas arahan dan kemahuan Allahyarham Tun Razak Hussein Perdana Menteri Kedua dengan bantuan Harun Idris.

Dasar pecah dan perintah British didapati di amalkan Umno ketika PAS berada di dalam Barisan Nasional di mana perpecahan sengaja di timbulkan Umno.

Ia dilakukan dengan mencipta permusuhan antara sesama pemimpin PAS iaitu Datuk Muhammad Nasir Menteri Besar Kelantan yang disokong Umno dan Datuk Asri  pemimpin PAS yang dimusuhi Umno secara halus tetapi berada dalam kabinet Barisan Nasional.

Akhirnya Datuk Muhammad Nasir menubuhkan parti baru iaitu Parti Berjasa parti serpihan PAS yang di sokong Umno sekalipun Datuk Asri sebagai pemimpin PAS menghendaki calon lain sebagai Menteri Besar Kelantan.

Kumpulan yang menyokong  Datuk Muhammad Nasir  mengadakan demontrasi  pada 24 September 1977 di Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan  membantah kumpulan yang menyokong Datuk Asri .

Namun,  Datuk Muhammad Nasir  digulingkan dari jawatan MB melalui usul undi tidak percaya kira-kira 20 orang ADUN  PAS.

Akibatnya, pada 19 Oktober 1977 satu lagi demontrasi  diadakan dimana  rakyat Kelantan berarak dari Padang Merdeka ke Pejabat Setiausaha Negeri Kelantan (SUK). Hasilnya perintah berkurung  diisytiharkan  jam 3.15 petang  untuk selama 24 jam.

Kerajaan Persekutuan enggan bekerjasama dengan membelakangkan majoriti ADUN Kelantan kerana segala rundingan yang dibuat cuma dengan Menteri Besar yang  telah jelas langsung tidak mendapat sokongan majoriti ADUN.

Plan untuk meluluskan Akta Darurat dan kerajaan MAGERAN di Kelantan seterusnya dibuat Barisan Nasional tanpa berunding dengan PAS yang masih berada di dalam Barisan Nasional.

Datuk Asri yang dimaklumkan kemudiannya mengenai cadangan meluluskan Akta Darurat membantah menyebabkan ianya dianggap melanggar etika Barisan Nasional dan terpaksa meletakkan jawatan.

Akta Darurat telah dibentangkan Perdana Menteri Ketiga dan diluluskan di Dewan Rakyat pada Oktober 1977 untuk mewujudkan undang undang darurat di Kelantan dan pada 8 November 1977 pentadbiran Mageran diistiharkan.

Pada 13 Disember 1977 PAS disingkir atas alasan enggan mematuhi etika Barisan Nasional mengenai undang-undang Darurat.

Selepas itu pada 12 Januari 1978, pentadbiran MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) telah ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan yang mengadakan pilihanraya umum untuk negeri Kelantan sahaja pada 11 Mac 1978 .

Tipu helah  darurat-mageran ini mengakibatkan PAS kalah dengan teruk dikedua dua peringkat iaitu negeri dan Parlimen.

Fokus artikel ringkas kali ini yang ditulis sempena PRU 13 ialah untuk kita sama-sama merenung siapakah yang menyebabkan kejadian yang di laporkan media perdana sebagai ‘huru-hara’ berkenaan.

Ia bertujuan agar dapat di jadikan pengajaran bagi menghadapi PRU 13 yang mesti diadakan selewat lewatnya sekitar 27 Jun 2013 biarpun khabar angin semasa bertiup sepoi sepoi bahasa yang Dewan Rakyat MUNGKIN  dibubarkan tidak lama selepas tarikh ini.

Ibrahim Ali (Datuk) di maklumkan oleh seorang persara polis yang masih ada hari ini, yang bertugas ketika insiden 1977 di Kelantan sebagai dalang yang merancang lakonan huru hara di beberapa lokasi di Kelantan.

Perbuatan membakar tayar dan memecahkan beberapa kedai Cina yang berlaku di sekitar Kelantan termasuk Bandar Kota Bharu di lakukan oleh kumpulan pemuda yang sama yang bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain.

Maka sebab itulah kebakaran tayar yang dikatakan huru-hara itu tidak berlaku serentak kerana penjenayahnya adalah kumpulan yang sama.

Persara polis berkenaan juga telah mengesahkan yang pihak keselamatan telah menerima arahan supaya tidak mengambil tindakan yang tegas terhadap para pencetus kebakaran tayar tersebut.

Ia bermaksud pihak keselamatan tidak dapat menjalankankan tugas mereka dengan effektif untuk menahan para penjenayah serta merta bila mereka melakukan pembakaran tayar yang bertujuan untuk mencetuskan rasa panik, keadaan kononnya adalah ‘huru hara’.

Manakala Ibrahim Ali  sendiri pula tidak berada di Kelantan ketika kejadian bakar tayar, dia seperti biasa dengan gaya ‘gedebe’ atau cakap besarnya cuma memantau dan memberi arahan daripada Kuala Lumpur.
Maklumat ini selain daripada di sahkan sendiri oleh persara polis berkenaan, ianya juga di akui sendiri oleh Ibrahim Ali dengan takkaburnya di satu ceramah  parti Semangat 46.

Kaset-kaset ceramah semangat 46 di jual meluas di Kuala Lumpur selepas insiden parti Umno di istiharkan tidak sah (lebih dikenali umum sebagai ‘parti haram’) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Allahyarham Tan Sri Harun Hashim.

Selepas pengharaman Umno, Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 selepas Tengku gagal dalam perebutan nama Umno dengan Dr Mahathir yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan untuk menubuhkan Umno Baru.

Tidak lama selepas itu perkataan ‘Baru’ dibatalkan secara rasmi (Sila baca tulisan saya yang  di siar Berita Harian  4 Oktober 2003 Tan Sri Harun Hashim setaraf Lord Denning)

Ketika menyertai Semangat 46, kemarahan Ibrahim Ali terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad amat memuncak sekali sehingga Ibrahim mengatakan yang beliau ingin kencing di atas kubur Dr Mahathir sepertimana yang jelas  audionya di ceramah yang kaset kasetnya di jual di Kampung Baru.

Lebih kurang hampir 2 tahun yang lepas saya pernah menulis komen mengenai perkara ini di laman blog chedet milik Tun Dr Mahathir Mohamad yang  saya sangkakan tidak akan disiarkan di blog berkenaan kerana setiap komen akan diluluskan terlebih dahulu sebelum disiarkan.

Amat terkejut bila selepas beberapa hari komen yang tergantung menantikan kelulusan, tiba tiba saya dapati ianya disiarkan di blog Tun Dr Mahathir.

Ini bermaksud keinginan Ibrahim Ali untuk kencing di atas kubur Dr Mahathir adalah dalam pengetahuan Tun Dr Mahathir sendiri.

Mungkin Tun Dr Mahathir ada sebabnya tersendiri kenapa beliau tidak seolah olah ambil hati atas ceramah Ibrahim Ali ketika berada bersama Semangat 46 dulu.

Namun yang jelas Ibrahim Ali  kini sebaliknya telah kencing diatas mukanya sendiri dan mungkin Tun Dr M  cuma mampu tersengih puas bila melihat Ibrahim Ali kini kembali berkhidmat untuk beliau.

Yang menghairankan adalah, pengikut pengikut Ibrahim Ali seperti langsung tidak mempunyai daya intelektual untuk berfikir untuk setia tanpa banyak soal kepada orang seperti Ibrahim Ali ini.

Kini ada beberapa NGO yang melibatkan Ibrahim Ali berpejabat di Kota Bharu berhadapan dengan KB Mall dan bersebelahan dengan Bangunan Masterskill. Manakala rumah Ibrahim Ali pula ialah di Taman Melawati.

Penulis pernah di maklumkan beberapa tahun lepas Ibrahim Ali pernah di maki hamun secara terbuka oleh penduduk Taman Melawati ketika dia pergi untuk membeli makanan di situ, dia terus segera masuk ke dalam kenderaannya beredar dan para saksinya peniaga sekitar masih lagi ada hari ini untuk mengesahkan kejadian ini.

Ketika Restoran Rasa Utara yang amat digemari Perdana Menteri Ke Empat kita itu masih mempunyai satu cawangan di Wangsa Maju beberapa tahun yang lepas, Ibrahim Ali pernah memberi ceramah panjang dengan nada kuat kepada  seorang budak pelayan perempuan berusia belasan tahun yang bertugas di restoran berkenaan tentang kenapa Restoran Rasa Utara tidak mempunyai Air Batu Champur (ABC).

Ianya berlaku pada satu petang Ahad yang mana cuma ada 2 meja sahaja yang mempunyai pelanggan iaitu meja penulis sekeluarga dan meja Ibrahim Ali dengan seorang lelaki Melayu bersamanya.

Ibrahim Ali juga adalah orang yang sama bersuara lantang menyokong serta mengampu keputusan Presiden Umno ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 1998 untuk memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kaset rakaman 2 siri Mesyuarat MKT Umno selama 2 jam di jual meluas di seluruh negara dan juga audio penuhnya muncul di laman laman web reformasi bermula tahun 1998 seperti Mahazalim dan sebagainya.

Kini, pihak berkuasa patut mengambil perhatian dan bertindak dengan sewajarnya bila NGO yang dipimpin Ibrahim Ali  membuat beberapa kekacauan di serata tempat di seluruh negara yang mana kebanyakkan insiden berkenaan boleh di tonton dengan jelas di  laman laman youtube.

Jika keadaan politik yang tidak stabil di Kelantan yang diarahkan lakonannya oleh Ibrahim Ali berlaku  dari masa ke semasa antara 1977-1978, kini Ibrahim masih cuba mencetuskan kemarahan pelbagai pihak sekali lagi.

Sebagai contoh Ibrahim memberi ang pow dalam sampul putih yang membawa rasa tidak senang kaum Cina kerana ianya biasanya di beri pada waktu kematian bukannya ketika sambutan Gong Xi Fa Cai. Ia berlaku pada tahun 2012.

Pada awal tahun 2013 pula Ibrahim dilaporkan Wikipedia mahu membakar Kitab Injil berbahasa Melayu milik penganut Kristien.
Persoalannya di mana kedudukan Ibrahim Ali dalam agama Islam sendiri? Rakyat seluruh Negara kenal siapa Ibrahim Ali dan jika Ibrahim ingin terus memalukan diri sendiri secara kekal itu terserah tahap IQ nya sendiri tetapi bila ianya melibatkan ketenteraman awam dan maslahah (public interest) maka PDRM wajar serta merta bertindak.

Tiada apa pengecualian sepatutnya diberikan kepada perbuatan jenayah sekalipun PDRM Pulau Pinang telah merakamkan kenyataan Ibrahim Ali dalam isu bakar kitab Injil, apa pula tindakan susulan dan apa pula tindakan pejabat pendakwaraya.

Ibrahim Ali  pada tahun 2010 dengan bangganya memalukan Malaysia ke seluruh dunia bila muncul di Al Jazeera English dengan mengungkap , ‘shit’ sebanyak 3 kali tanpa apa-apa tindakan terhadapnya kerana menjatuhkan nama baik negara. Apa agaknya kelas ahli politik dari Malaysia yang mencarut dan disiarkan oleh stesen TV antarabangsa ke seluruh dunia?

Menoleh kembali kenangan insiden pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 serta penahanan beliau pada malam 20 September 1998 di kediamannya Jalan Setiamurni Damansara Height Kuala Lumpur, tentu semua masih teringat yang Ibrahim Ali muncul kembali dengan modus operandi 1977 Kelantan pada 10 Oktober 1998.

Dengan menggunakan adiknya Azmi Ali, mereka mengedarkan risalah yang sengaja dicetak logo PAS untuk rakyat Kelantan berkumpul kononnya berdemostrasi reformasi di Bandar Kota Bharu namun gagal bila cepat disedari oleh Datuk Husam Musa. Ketika itu Husam adalah Setiausaha Politik YAB  Menteri Besar Kelantan yang terus membuat laporan polis.

Pihak polis serta FRU dengan professionalnya berjaya mengawal keadaan daripada tercetus lebih lebih lagi dengan wujudnya kereta yang menyamar sebagai penyokong PAS yang pletnya di daftarkan atas nama Azmi Ali iaitu adik Ibrahim Ali yang cuba memberi provokasi kepada rakyat Kelantan untuk ke demonstrasi reformasi.

Kebijakan rakyat Kelantan tidak menghiraukan langsung cadangan demo reformasi provokasi Ibrahim Ali pada tahun 1998 boleh menggagalkan apa juga usaha menerusi modus operandi yang sama jika ingin di ulangi oleh Ibrahim Ali dan kuncu kuncunya sempena PRU 13.

Ini memandangkan keseluruhan rakyat Malaysia kini telah bijak menilai yang telah di buktikan menerusi pilihanraya 2008.

Sebagai penutup, amatlah perlu untuk satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan untuk mengenal pasti punca dan dalang lakonan huru hara di Kelantan hingga menyebabkan diistiharkan Mageran sehingga mengakibatkan rakyat Kelantan berpecah belah untuk menyokong pemimpin mana.

Ia akhirnya menyebabkan PAS kehilangan kuasa di Kelantan di dalam PRU yang diadakan tidak lama selepas Mageran ditarik balik.

YAB Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara saksi penting segala tipu daya Umno yang membawa kepada pemecatan PAS daripada Barisan Nasional seterusnya lakonan huru hara yang terancang dan pengistiharan  Mageran di Kelantan dimana ketika itu Tok Guru memegang jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS.

Penubuhan Suruhanjaya Di Raja mampu mengesan segala butir butir terperinci sebenar Mageran Kelantan 1977 untuk dijadikan teladan dan sempadan pada semua rakyat seluruh negara.

Di zaman internet ini di mana segala insiden dapat di muat naik terus ke laman laman web serta portal berita, rakyat akan dapat membuat kesimpulan sekiranya ada cubaan untuk mengulangi episod Mageran Kelantan 1977 dalam negara kita.

Untuk memastikan ianya tidak dapat ditutup dengan alasan alasan tidak logik amatlah perlu sebarang insiden di beri liputan meluas oleh media antarabangsa seperti Al Jazeera, BBC dan CNN.

Rakyat juga boleh menghantar berita bergambar/video terus kepada media antarabangsa berkenaan secara dalam talian untuk memastikan sebarang insiden kezaliman terbongkar serta merta tanpa dapat ditutup oleh sesiapa lagi.

InsyaAllah, semua rakyat dan pasukan keselamatan termasuk PDRM patut mengkaji dengan fikiran terbuka apa sebenarnya berlaku di Kelantan yang mengakibatkan pengistiharan Mageran dan apakah tindakan yang boleh dilakukan rakyat serta pasukan keselamatan sekiranya modus operandi berkenaan hendak cuba di ulangi sekali lagi oleh  mana mana  pihak yang tidak bertanggungjawap.

PDRM yang dianugerahkan gelaran Di Raja pada tahun 1958 patut berasa bangga dan bertanggungjawap menjalankan tugas 'without fear or favour’. Fear yang perlu cuma kepada Allah swt semata-mata.
Hubungan Kabinet Kerajaan Persekutuan dengan PDRM  tidak perlu disalah ertikan kerana hubungan itu cumalah hubungan logistik, pentadbiran serta bajet.

Jika terdapat daripada kalangan tertinggi Kabinet Persekutuan yang disyaki terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serius maka bersegeralah untuk menahan reman untuk siasatan.

Ia perlu dilakukan demi moto Polis Sedia Berkhidmat agar sentiasa di hormati rakyat seperti zaman dahulu di mana rakyat menjadikan polis sebagai tempat mengadu dalam segala hal seolah-olah polis mengambil alih pula jawatan penghulu hatta mungkin juga mengambil alih jawatan Jaksa Pendamai(JP) dimana amat jelas betapa hormatnya masyarakat pada PDRM dulu.

InsyaAllah dibawah pentadbiran Tan Sri IGP sekarang  PDRM telah  mula kembali dihormati rakyat.  PDRM  seterusnya dapat maju ke depan dengan bertugas dengan tegas, berani kerana benar sepertimana perintah Allah swt dan Nabi Muhammad s.a.w.
Insya Allah, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Majlis Raja Raja serta rakyat seluruh negara akan sentiasa menyokong segala tindakan tegas dan betul PDRM yang jika dilaksanakan, boleh menjadi contoh pada negara lain.

Jika Cawangan Khas boleh mengkategorikan salah sebuah pertubuhan Melayu sebagai kumpulan samseng Melayu sudah tiba masanya untuk Cawangan Khas melaporkan dan mengkategorikan dengan telus sebuah badan bukan kerajaan yang di ketuai Ibrahim Ali juga sebagai kumpulan samseng Melayu berdasarkan pelbagai bukti kukuh yang ada serta bahan audio visual yang telah tersiar ke seluruh dunia menerusi laman youtube.

harakahdaily/-
Related Posts with Thumbnails