MStar | JALAN Pasar di Kuala Lumpur. Apa yang menariknya? Kebanyakan premis menjual kelengkapan eletronik termasuk sistem audio bagi teater rumah dan aksesori kenderaan.
Bagi kedai elektronik, semua tingkap kaca di luar premis mempamerkan pelbagai jenis dan saiz kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan kawalan keselamatan.
Sebaik saja penulis melangkah masuk, terdapat beberapa rak kaca turut mempamerkan beberapa produk lain seperti paket gula-gula getah, tali leher dan pemetik api.
Apakah relevannya apabila kedai elektronik menjual barangan berkenaan yang sepatutnya lebih layak dijual di kedai runcit dan kedai pakaian.
Mungkin ada yang beranggapan ia dijadikan sebagai pendapatan sampingan peniaga. Silap. Sebenarnya, itulah antara pelaris di kedai-kedai ini.
Sama ada di luar kotak produk terbabit atau tanda promosi atau risalah senarai barangan, sudah tertera perkataan Spy Camera atau kamera intip.
Kini tiada rahsia lagi. Kamera intip begitu mudah didapati dalam pelbagai jenis dari lensa biasa sehingga ke bentuk yang mungkin tidak difikirkan kita.
Antara lain yang boleh didapati di sini adalah dalam bentuk pen, jam tangan, kalkulator, cermin mata, pemain MP3 dan kunci penggera kenderaan.
Ia mungkin kedengaran seperti yang kisah ejen perisik dalam filem-filem aksi dari namun kelengkapan itu sememangnya boleh diperoleh oleh sesiapa pun.
Hanya berbaju kemeja-T dan berseluar jeans tanpa perlu berlagak sebagai ahli korporat atau mempunyai poket tebal sekalipun, kunjungan anda tidak menimbulkan rasa curiga.
Para peniaga begitu ramah memperjelaskan tentang kamera intip, tujuan dan bagaimana untuk menggunakannya malah ada yang melakukan demonstrasi secara percuma.
Tidak perlu bimbang tentang soal harga kerana barangan itu dijual semurah RM38 dan secara puratanya adalah antara RM120 sehingga RM200 bergantung pada jenisnya.
Malah harganya boleh dirunding lagi bagi mendapatkan harga yang jauh lebih murah.
Paling kecil yang boleh didapati di sini adalah kamera intip berupa butang baju. Walaupun kecil, ia mampu merekodkan aktiviti dengan durasi sehingga dua jam.
Sedangkan satu rakaman aksi seks yang pelakonnya didakwa mirip seorang pemimpin parti pembangkang baru-baru ini pun hanya berdurasi 20 minit.
Dengan kamera sekecil itu bagi rakaman durasi selama dua jam, macam-macam boleh didedahkan dengan niat mahu mengeksploitasi individu atau organisasi.
Imejnya juga berwarna dilengkapi dengan ciri night vision untuk rakaman lebih jelas berbanding dengan kualiti visual CCTV yang pernah merakamkan aktiviti pelakon dan model terkenal Nasha Aziz di kediamannya di Jalan Ampang suatu ketika dahulu.
Mungkin pada dasarnya, kamera intip ini digunakan oleh perisik untuk tujuan pengintipan dan penyiasatan demi keperluan keselamatan dan perlindungan.
Kamera intip kini seolah-olah seperti alat permainan. Adakah maruah dan hak peribadi manusia juga kini sewenang-wenangnya dipermainkan?
Jangan fikir kamera intip hanya menjadikan selebriti atau orang kenamaan sebagai sasaran. Rakaman lensa tidak mengenal siapa pun pelakon atau di mana lokasi penggambarannya selagi ada niat jahat daripada si ‘pengarah’.
Anda bukan saja boleh menjadi pengarah. Dengan kamera intip, anda juga boleh menjadi mangsa.