Rabu, 27 Oktober 2010

Pusat Hiburan Malam: Umno-BN Mahu Bawa Budaya Kuning Rosakkan Akhlak Rakyat


KUALA LUMPUR 27 Okt - Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) tidak berasas memandangkan industri hiburan di negara ini adalah berkala sederhana dan memerlukan banyak perbelanjaan.

Menurut beliau, tidak pernah ada di dalam statistik negara yang menunjukkan industri itu boleh menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Pada satu masa dahulu, sektor pelancongan dikatakan boleh memberikan sumbangan sekitar 10 hingga 12 peratus sahaja kepada KDNK tetapi berdasarkan kepada perkembangan semasa industri pelancongan ia memerlukan lebih banyak perbelanjaan daripada menghasilkan pendapatan.

"Ini merupakan industri yang disebut sebagai penjana utama negara," jelas beliau di Dewan rakyat semalam.

Namun demikian, apabila dibandingkan dengan negara jiran, Thailand di mana sektor pelancongannya terkesan akibat kekacauan dan demonstrasi dan rusuhan berpanjangan selama lebih setahun, Malaysia kata Azan gagal memanfaatkan peluang tersebut untuk menarik pelancong datang ke Malaysia.

"Satu tahun kalendar telah membuktikan kita gagal mengalih perhatian pelancong dari berkunjung ke Thailand ke negara kita," kata beliau ketika ditemui Suara Keadilan di lobi Parlimen petang semalam.

Justeru, menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan akan memerlukan lebih perbelanjaan di samping risiko rakyat tempatan menjadi korban apabila menceburi bidang hiburan mengikut ETP.

"Berdasarkan bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saya tidak nampak langsung ada signifikannya sumbangan pendapatan daripada kelab malam, spa dan sebagainya.

"Cuma yang ada merupakan cukai dan lesen yang dikutip daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Industri ini juga dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti negatif dan jenayah seperti pelacuran, persundalan dan menyebabkan mutu akhlak di kalangan bahagian penguatkuasa yang terlibat dengan bayaran bulanan dan kutipan bayaran perlindungan.

"Industri ini kalau disebut sebagai salah satu program untuk menjanakan pendapatan di bawah ETP, apa yang saya boleh buat simpulkan bahawa kerajaan sudah tidak ada sumber pendapatan yang selain dari industri tersebut," kata Azan lagi.

Di bawah cadangan ETP, program tersebut akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan.

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

-Suarakeadilan
Related Posts with Thumbnails