Jumaat, 9 Oktober 2009

Lajim Cadang Anggota UMNO Kurang Tiga Tahun Keanggotaan Tidak Dibenar Bertanding

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Lajim Ukin mencadangkan supaya anggota yang baru menyertai parti itu tidak menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi dalam parti selagi keanggotaannya belum mencukupi tiga tahun.

Beliau berkata selain bertujuan melindungi kemuliaan taraf jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota (MT), langkah itu bertujuan memberikan kefahaman kepada anggota baru mengenai perjuangan parti.

"Kita memikirkan tentang keutuhan parti supaya tidak tercemar dan harus difahami oleh anggota parti. Tujuannya bukan untuk menghalang (seseorang anggota) daripada bertanding tapi asalkan dia mengikut syarat yang ada yang ditetapkan parti.

"Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) tak nak ada lagi sekatan. Benarkan sahaja orang bertanding, tidak ada kuota, tidak ada syarat. Tetapi kita memikirkan kalau itulah yang akan berlaku, maka esok saya masuk Umno, saya boleh lawan apa juga jawatan. Janganlah hari ini masuk, esok terus bertanding," katanya ketika ditemu bual Bernama di sini pada Jumaat.

Selain itu, Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, Sabah berkata pada pandangannya, untuk bertanding sebarang jawatan tertinggi contohnya Presiden dan Timbalan Presiden, seseorang itu mestilah menjadi anggota MT selama dua penggal untuk jawatan Presiden dan satu penggal untuk jawatan Timbalan Presiden.

"Implikasi yang akan terjadi dalam kelonggaran ini ialah pertama, orang bukan serius bertanding tetapi hanya memerlukan (jawatan) sahaja atau pun sengaja nak ikut bertanding. Jadi, kita tak nak itu (berlaku). Sekurang-kurangnya anggota itu perlulah menjadi anggota (Umno) selama tiga tahun," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan pindaan perlembagaan Umno dan kenyataan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya diadakan satu syarat baru bagi memastikan jawatan tertinggi dalam Umno berada di tahap yang dihormati selepas ketiadaan sistem pencalonan atau kuota.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun berpendapat cadangan itu bukan bertujuan menyekat mana-mana anggota parti daripada bertanding.

"Kita setuju supaya Presiden dan Timbalan Presiden (dipertandingkan)... tetapi bagi sedikit syarat supaya tidak sewenang-wenangnya orang Umno yang telah menjadi anggota bertanding jawatan Presiden. Untuk bertanding itu dia ada hak tetapi kelayakan untuk bertanding Presiden dan Timbalan Presiden itu mungkin belum sampai.

"Orang yang baru kena belajar cara kepimpinan, kena belajar tentang perjuangan sebenar, belajar bagaimana kita sama-sama boleh menyumbang kepada arah kekuatan parti.

"Bukan masuk parti terus pegang jawatan. Kita tidak akan dapat anggota yang berkualiti dan komited dalam perjuangan dan bukan (tujuan) kita (untuk) halang dia jadi calon," katanya.

Ditanya sama ada cadangan pindaan itu, yang turut menambah jumlah perwakilan seramai 2,500 ke Perhimpunan Agung Umno mampu menghapuskan politik wang dan menjadikan proses pemilihan lebih telus dan demokratik, Lajim berkata jika pindaan baru itu dihayati oleh segenap anggota parti, maka ia dapat menghapuskan politik wang.

"Sistem (yang ada) sekarang ini baik, tapi anggota-anggota parti yang tak ikut sistem ini, tak laksanakan sistem ini dan tak menghayati peraturan Umno. Sepatutnya tak ada masalah kalau ahli parti tidak menerima rasuah, tak minta rasuah, tak beri rasuah dan ia tidak akan berlaku.

"Sistem baru yang akan diperkenalkan ini boleh menyebabkan berlaku rasuah jika anggota Umno tidak sedar dan insaf bahawa perbuatan rasuah adalah salah. Harapan kita supaya orang yang ada wang, yang ada dana ini, jangan buat supaya kita boleh memilih pemimpin yang berwibawa, berkualiti dan bijak," katanya yang juga Anggota Parlimen Beaufort.

Penetapan "Hari Pemilihan Umno" dan menghapuskan sistem kuota adalah antara cadangan yang terkandung dalam draf cadangan konsep pemilihan dan pindaan Perlembagaan Umno.

Perhimpunan Agung Umno 2009 akan diadakan dari 13 Okt hingga 16 Okt ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

-- BERNAMA
Related Posts with Thumbnails