Isnin, 14 September 2009
Umpan goyang bikini
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan FIRDAUS SAHAT
KUALA LUMPUR: Sepuluh Ramadan terakhir sepatutnya dimanfaatkan dengan memperbanyakkan ibadat pada waktu malam. Namun segelintir anak muda juga sibuk berjaga malam tetapi bukan untuk beribadat, sebaliknya menyertai pesta liar. Kumpulan anak muda Melayu itu dikesan menghiburkan diri dalam ‘parti bikini’ di sebuah disko di ibu negara, malam kelmarin.
Wartawan Metro Ahad yang menyusup masuk ke parti itu untuk memastikan kesahihan maklumat diterima mengenai aktiviti liar dan lucah itu mendapati ia bukan sekadar gimik, tetapi benar-benar berlaku. Seumpama kelab di luar negara yang kerap menampilkan tarian wanita separuh bogel kepada pengunjung, begitu juga situasi di disko itu.
Dalam tempoh tertentu, seorang penari bergoyang di satu sudut menempatkan sebuah tiang dan seorang lagi meliuk lentok di kawasan DJ memutarkan lagu. Pesta tidak bermoral itu terang-terangan tidak menghormati Ramadan dan melanggar syarat pemberian lesen operasi pusat hiburan.
Penganjuran parti berkenaan dikesan selepas munculnya iklan bertajuk ‘Bikini In The City Party’ (parti bikini di kota) yang diuar-uarkan hanya satu malam di laman mencari kenalan popular di Internet, Facebook.
Iklan memaparkan poster wanita berbikini itu disiarkan beberapa hari sebelum pesta berkenaan diadakan. Berdasarkan maklumat di iklan itu, pengunjung wanita bukan saja tidak dikenakan bayaran, malah diberi minuman percuma jika hadir dengan memakai bikini. Ternyata iklan itu berjaya mengumpan ramai ‘kaki disko’ menyertainya apabila 202 orang mengesahkan penyertaan mereka melalui Internet.
Sebelum menghadiri parti itu, wartawan Metro Ahad membuat penyamaran dengan menghubungi penganjurnya untuk membuat tempahan awal. Dimaklumkan, parti bikini itu dibuka kepada sesiapa saja dan ia bukan pesta rahsia atau eksklusif kerana sesiapa bebas membuat tempahan.
Seperti dijadualkan dalam iklan itu, wartawan Metro Ahad menyusup masuk sekitar jam 11.30 malam kelmarin. Tiada bayaran masuk dikenakan dan pengunjung hanya perlu bayar jika menempah minuman. Pemantauan mendapati beberapa kumpulan anak muda Melayu leka berhibur sambil meminum arak. Di atas meja mereka penuh dengan botol dan jag arak.
Masing-masing menanti kemunculan wanita berbikini seperti dijanjikan. Wartawan Metro Ahad diberitahu pelayan disko itu, parti tetap berjalan seperti dijanjikan tetapi lewat sedikit.
“Layanlah lagu dulu. Rileks abang... sekejap lagi muncullah (wanita memakai bikini). Nanti dia orang akan naik atas meja dan menari,” kata pelayan wanita berbangsa Melayu itu.
Ruang disko mulai padat apabila semakin ramai pengunjung datang. DJ pula bertanya jika ada pengunjung wanita yang hadir memakai bikini, tetapi tiada. Kira-kira jam 11.45 malam di satu sudut, kelihatan beberapa wanita memakai bikini bersiap sedia untuk menghiburkan pengunjung.
Tepat jam 11.50 malam, dengan alunan lagu rancak dan pengumuman DJ, lima wanita terbabit naik ke atas meja dan mula mempamer tarian mengghairahkan mengikut alunan lagu sambil pengunjung tidak henti bersorak. Umpama pertunjukan fesyen, pengunjung bebas mengambil gambar atau video sama ada menggunakan telefon atau kamera.
Tidak lama kemudian lima wanita itu berpecah dengan dua daripada mereka menari di beberapa sudut disko terbabit. Seorang di kawasan DJ memutarkan lagu dan seorang lagi di kawasan khas yang menempatkan sebatang tiang. Limpahan cahaya menunjukkan dengan jelas liuk lentuk wanita berbikini itu menari ghairah dan sesekali membuat aksi terlampau. Untuk tempoh 20 minit, disko itu hangat dengan aksi wanita berbikini sebelum mereka beredar meninggalkan pengunjung yang mahu persembahan mereka diteruskan.
Bagaimanapun, DJ memberitahu akan ada lagi kejutan. Selepas memutar beberapa lagu, DJ terbabit naik ke atas meja dan meminta seorang lelaki secara sukarela naik ke atas meja diikuti tiga wanita, juga secara sukarela. Sekali lagi pengunjung dihiburkan dengan tarian mengghairahkan apabila wanita terbabit diminta menggoda lelaki itu.
DJ mengumumkan wanita bergaya paling berahi akan dipilih pengunjung sebagai pemenang menerusi sorakan paling kuat. Pemenang dipilih menerima RM150. Hiburan diteruskan kerana seperti dijadualkan pengunjung boleh bergembira sepuas-puasnya sehingga jam 3 pagi.
Wartawan Metro Ahad berkesempatan berbual dengan beberapa pengunjung dan ternyata mereka teruja dengan penampilan wanita berbikini itu. Seorang pengunjung yang memperkenalkan dirinya sebagai Man berkata, sukar untuk melihat pesta seperti dilangsungkan itu.
“Apabila mengetahui menerusi Facebook, saya segera mendaftar bersama beberapa rakan. Bukan senang nak tengok wanita berbikini menari ghairah di atas meja.
“Memang saya seronok. Sambil minum (arak), tengok aksi ghairah perempuan pakai bikini,” katanya separuh mabuk.
Bagi Zam yang mendakwa dirinya eksekutif, dia sememangnya gemar berhibur dan kerap menyertai beberapa parti.
“Bulan puasa pun saya berparti dan parti seperti ini memang saya tunggu sangat. Minum (arak), ‘goyang-goyang kepala’, tengok awek bikini... seronok beb.
“Tak tahulah bila disko ini nak tunjuk lagi perempuan pakai bikini sebab dalam iklan beritahu satu malam ini saja,” katanya.
Zam berkata, lebih ‘gempak’ jika ada pengunjung wanita yang datang memakai bikini seperti diuar-uarkan di dalam iklan.
“Tapi tak nampak pula pengunjung wanita datang pakai bikini. Kalau ada, memang gempak beb!” katanya.
-myMetro
Labels:
Kenyataan Akhbar