Selasa, 11 Ogos 2009

Laporan Autopsi Dedah 22 Kesan Kecederaan Pada Badan Teoh

SHAH ALAM, 11 Ogos (Bernama) -- Mahkamah koroner pada Selasa diberitahu terdapat sebanyak 22 kecederaan dikesan pada mayat Teoh Beng Hock, setiausaha politik Exco Selangor yang ditemui mati selepas dikatakan terjatuh dari tingkat 14, bangunan Plaza Masalam di sini, Julai lalu.

Laporan autopsi dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, yang disediakan oleh pakar perunding kanan perubatan forensik Dr Khairul Azman Ibrahim, mendedahkan mangsa mengalami beberapa kecederaan termasuk bahagian luka yang besar di bahagian depan peha kanan, lutut kanan dan dagu kanan.

Selain itu mangsa juga mengalami kesan lebam berdarah dan luka di bahagian pipi kanan serta kesan luka calar di bahagian buku lali kaki kanan.

Bedah siasat pada mayat Teoh pula menunjukkan terdapat keretakan pada bahagian tengkoraknya, serta kesan lebam berdarah pada kulit kepala.

Sementara itu kebanyakan tulang rusuk mangsa di kedua-dua belah pula retak dan terdapat pendarahan pada kawasan buah pinggangnya.

Kesan darah ditemui pada pakaian mangsa turut direkodkan, iaitu stokin kelabu, bahagian kanan kot lengan panjang yang berwarna hitam, seluar dalam kelabu dan seluar panjang Teoh.

Turut ditemui pada mangsa ialah sebatang pen oren tertulis 'SPRM' di bahagian poket kiri baju kemeja lengan pendek berwarna kelabu yang dipakainya.

Laporan setebal lapan muka surat itu dibacakan dan dirujuk oleh Dr Khairul Azman ketika beliau memberikan keterangan sebagai saksi ke-10 dalam prosiding pagi tadi.

Helaian terakhir laporan itu menyebut punca kematian Teoh sebagai kematian akibat kecederaan berganda setelah jatuh dari tempat tinggi.

Dr Khairul Azman akan menyambung semula keterangannya esok.

-- BERNAMA
Related Posts with Thumbnails