Sejak dipilih  wakil rakyat pada  1996, Wong Ho Leng mengisytiharkan perang terhadap  kemiskinan dan  penggangguran - dua isu utama yang membelit warga  Sarawak.
Calon pilihan Pakatan  Rakyat ini menjadikan  kemelut kemiskinan rakyat kepentingannya, melalui  siri-siri gesaan dan  desakan terhadap kerajaan negeri dan pusat. 40  tahun telah berlalu,  rakyat Sarawak masih melarat.
Program  ekonomi dibawah Ketua Menteri Taib  Mahmud gagal membuahkan hasil.  Katanya, pada 2009, pendapatan Sarawak  mencecah hampir RM3.726 bilion  ringgit, tetapi 70 peratus daripada  penduduk rumah panjang masih tidak  mempunyai akses kepada air bersih,  jalanraya dan tenaga elektrik.
"Jika  kamu melawat Rassau, Bungan atau  Panasu, kamu boleh nampak rumah-rumah  panjang dan bumbung-bumbung mereka  yang hampir roboh. Penduduk amat  sudi menceritakan kepada kamu  janji-janji yang menteri-menteri sebut  dahulu. Mereka dijanjikan air,  dijanjikan elektrik, dan hari ini,  penduduk menjana elektrik sendiri,  dan kutip air langit dari hujan,"  kata calon Pakatan Rakyat Wong Ho  Leng.
Kadar kemiskinan di Sarawak  kekal pada paras membimbangkan.  Jurang pendapatan amat parah, yang  menurut Wong diburukkan lagi dengan  barah rasuah. Dengan kadar pelaburan  yang semakin corot, Sibu kini  jatuh ketinggalan berbanding Kuching,  Miri dan Bintulu.
"Saya ingin tanya,  berapa ramai rakyat di  Sibu yang sekaya calon BN? Di bandar Sibu, ramai  yang tidak  berpuas-hati dengan kerajaan BN. Tengok sahaja di  kampung-kampung  Melayu. Kehidupan mereka sukar, kerja juga tidak banyak.  Belia Melayu,  Cina dan Dayak berhijrah keluar ke Johor Bahru dan  Singapura kerana  tidak ada kerja disini. Dan kalaupun dapat kerja,  gajinya murah," keluh  Wong.
Isu  rakyat Sibu  sebenarnya lebih parah dari isu kemiskinan. Prasarana yang  lemah  merencatkan pembangunan Sibu sebagai bandar strategik di Sungai  Rajang.
"Tengok sahaja prasarana di  Sibu. Keluar  sahaja dari lapangan terbang, yang menanti kita adalah  jalanraya yang  berbukit dan berlopak. Bila hujan turun, ada sahaja  kereta yang  tergelincir," kata Wong.
Sibu   juga sering dilanda banjir, terutamanya di Jalan Hua Kiew di DUN Bukit   Assek. Banjir menyebabkan ramai warga Sibu berhijrah ke bandar-bandar   lain kerana kerajaan negeri tidak lagi mampu mengatasi masalah itu.
"Sibu seperti berada di dasar kuali.   Jutaan ringgit disalur untuk tangani banjir, tetapi masih gagal.   Satu-satunya cara adalah mendalamkan dasar sungai, tetapi BN berlepas   tangan. Walhal DAP pernah menawarkan kerja pedalaman secara percuma,   tetapi BN lebih rela tengok rakyat Sibu dilanda banjir," kata Wong.




