Bagaimana dengan isu pemberian hak milik tanah kepada para peneroka.
WAN  RAHIMI WAN DAUD: Saya melihat isu pemberian tanah amat penting. Jika  kita kaji Akta GSA, hubungan pemilikan tanah adalah kuasa mutlak  Kerajaan Negeri. Ia tiada kaitan dengan Felda.  Maknanya Kerajaan Negeri  boleh berikan hakmilik kepada peneroka, walau pun masih terdapat hutang  kepada Felda. Hubungan peneroka dengan Felda berkenaan hutang, adalah  hubungan kontrak. Hubungan peneroka dengan Kerajaan Negeri adalah  berkenaan milikan tanah. Ia adalah 2 hubungan yang berbeza dan tidak  berkaitan.
Saya katakan adalah amat perlu untuk Kerajaan  Negeri memberikan hak milik kepada semua peneroka yang layak,  serta-merta. Ini kerana apabila peneroka telah menerima hak milik, maka  Akta GSA tidak lagi terpakai ke atas peneroka.  Tiada siapa lagi yang  boleh mengugut untuk menghalau peneroka dari kawasan rancangan. Bahkan,  kalau Akta GSA sudah tidak lagi terpakai ke atas peneroka, perjanjian  antara peneroka dan Felda juga akan berakhir.
Dengan itu,  Felda tidak berhak lagi mewajibkan peneroka menjual buah sawit mereka ke  kilang Felda. Hakikatnya, Perjanjian Peneroka dan Felda, serta Akta GSA  hanya berkenaan dengan proses penyertaan peneroka seawal memasuki  rancangan sehingga Hakmilik diberikan. Mereka ini dikategorikan sebagai  "pendudukan dalam jangkaan hakmilik (in expectation of title)". 
Di bawah Akta GSA ini, apa kuasa  Felda?
Sebenarnya, dibawah Akta GSA,  Felda tidak mempunyai apa-apa kuasa pun. Semua kuasa di bawah Akta  tersebut adalah pada Kerajaan Negeri. Bahkan untuk Felda melantik  Pengurus Rancangan dan menggubal undang-undang kecil yang mengikat  peneroka, maka ia perlu merujuk dan mendapat persetujuan Kerajaan Negeri  – Land Collector – Pentadbir Tanah.
Oleh itu, jika peneroka  tertindas, kita tidak boleh menyalahkan Felda sepenuhnya, tetapi kita  perlu mempersoalkan Kerajaan Negeri yang memerintah, kenapa Kerajaan  Negeri berpeluk tubuh dan enggan menggunakan kuasanya dibawah Akta GSA  untuk campurtangan dan membela peneroka? 
Tapi ramai peneroka yang diusir  sewenang-wenangnya dari tanah rancangan oleh Felda atas pelbagai alasan.  
Hakikatnya, Felda tidak mempunyai  kuasa mengusir peneroka. Perbuatan Felda mengusir peneroka, adalah salah  dan tidak sah serta bercanggah dengan Akta GSA, yang memperuntukkan  bahawa kuasa mengusir HANYA terletak pada Land Collector – Pentadbir  Tanah.  Itu pun jika peneroka melanggar peruntukan Akta GSA sahaja.  Sebab itulah pentingnya peneroka dikurniakan Hakmilik kerana selepas  Hakmilik dikeluarkan, tiada siapa lagi boleh mengusir peneroka termasuk  Kerajaan Negeri sendiri.
Amat malang sekali di negara kita,  semua Kerajaan Negeri seolah-olah tidak mempedulikan kuasa yang  diperuntukkan dalam Akta GSA untuk membela peneroka. Semuanya dilepaskan  ke bahu Felda. Kerajaan Negeri boleh berbuat sesuatu berkenaan dengan  greding sawit, undang-undang tanam semula dan lain-lain berkenaan tanah  Rancangan. 
Isu generasi, bagaimana mereka (waris) boleh mendapatkan hak mereka  daripada kedua ibu bapa mereka (peneroka asal)?
Saya  rasa isunya di sini, ialah terdapatnya sekatan dalam Akta GSA  untuk  turun milik tanah selepas kematian peneroka asal. Tidak semua anak  dibenarkan untuk didaftarkan sebagai pemilik atas tanah tersebut.  Isu  ini tidak ada jalan lain, pergi ke Parlimen dan pinda Akta GSA, itu  sahaja. Jadi terpulanglah kepada semua pemimpin politik untuk menangani  masalah ini. 
Felda dulu tolong, kini along... daripada pengalaman pihak  saudara mengendalikan kes, apakah persepsi ini benar? 
Kalau  kita baca Handsard Parlimen - ucapan pembentangan Akta GSA oleh Tun  Razak pada 27 April 1960, 50 tahun dulu, kita akan lihat dengan jelas  amanah Tun Razak untuk "beri tanah kepada yang tidak bertanah", membantu  masyarakat luar bandar, dan mengayakan rakyat yang miskin.  Nampaknya  amanah Tun Razak telah dikuburkan oleh semua pembesar dan pemimpin Felda  sekarang, termasuk oleh anak kesayangan Tun Razak sendiri!



