Khamis, 6 Oktober 2011

ISU KPF - SIASAT SEGERA ISA SAMAD


7 Dzulka'edah 1432 H | 5 October 2011

PAS mendesak Jabatan Pembangunan Koperasi menyiasat Tan Sri Isa Samad di atas tindakan melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Permodalan Felda Berhad (KPF) tanpa melalui mesyuarat agong sebagaimana peruntukan undang-undang koperasi.


Perlantikan ini bertentangan dengan Akta, Peraturan dan Undang-undang Kecil Koperasi kerana perlantikan itu sepatutnya dibuat dalam mesyuarat agung dan bukannya dalam mesyuarat lembaga.


KPF ini adalah milik peneroka dan pada pandangan mereka, kepimpinan Pengarah Besar Felda dan juga Pengerusi KPF, Datuk Dzulkifli Abd Wahad tidak perlu ditukar kerana sepanjang pimpinannya, KPF tidak pernah rugi bahkan berjaya memberikan dividen hingga 15 peratus tahun lalu.


Selain itu, tahun lalu, KPF telah dipilih antara 10 koperasi cemerlang di negara ini apabila menerima Anugerah Koperasi Cemerlang (Kluster Besar) 2011. KPF adalah sumber kewangan utama bagi kakitangan dan peneroka Felda selain gaji dan pendapatan mereka sebagai peneroka.


Hanya peneroka dan kakitangan Felda sahaja boleh menjadi ahli KPF. Oleh itu, Isa yang hanya dilantik untuk jangka waktu tertentu sahaja dan bukan kakitangan semestinya tidak layak jadi ahli.


Yang menyayatkan hati warga dan kakitangan Felda sekarang ialah bilamana beliau yang bukan ahli KPF, telah secara tidak segan-silu melakukan perlantikan diri-sendiri untuk menerajui KPF didakwa hanya berdasarkan satu surat sokongan dari Perdana Menteri dalam satu mesyuarat lembaga penghujung Ramadhan lalu.


Lebih menghinakan bagi warga dan kakitangan Felda ialah perlantikan tersebut dikatakan berlaku ketika Datuk Dzulkifli tidak ada dalam negeri.


Tindakan ini mencerminkan sikap sebenar pengerusi baru Felda ini  yang terang-terang tidak menghormati kepimpinan koperasi Felda yang sedia ada sehingga menimbulkan bantahan daripada ahli-ahli KPF sendiri.


Kurang setahun Isa menjawat jawatan Pengerusi Felda – banyak keputusan yang membinggungkan warga dan kakitangan pengurusan Felda telah dibuat.


Antaranya:

1. Pinjaman RM6 billion daripada KWSP untuk tujuan yang tidak diketahui sehingga kini. Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Ahmad Maslan bermati-matian mempertahankan dakwaan Felda stabil dan mempunyai aset RM19 bilion.

2. Pencagaran 
keseluruhan tanah Felda Plantation kepada kumpulan pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) selama 60 tahun ketika Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab tiada kerana menunaikan umrah.


Dan kini, beliau telah mencetuskan satu lagi kontroversi dengan melantik dirinya sebagai Pengerusi KPF.


Peneroka dan kakitangan Felda kini mula bimbang dengan masa depan KPF kerana ia bakal diuruskan oleh seorang pemimpin Umno, yang Umno sendiri pernah menghukumnya kerana terlibat dalam politik wang suatu masa dulu.


Demi masa depan KPF, ahli-ahli KPF perlu bersama PAS dan Pakatan Rakyat dalam mendesak Jabatan Pembangunan Koperasi untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Isa Samad kerana telah melanggar akta koperasi dalam perlantikan tersebut.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
5 OKTOBER 2011

Rabu, 5 Oktober 2011

Amanda Imani: Super Expose?

NAMANYA agak asing di persada muzik tanah air tetapi kini sudah mula dikenali. Itulah Amanda Imani, berusia 20 tahun yang tidak perlukan gantian namanya yang lain. Cuma yang diperlukan adalah cara untuk mengukuhkan nama agar sentiasa diingati oleh peminat seni tanah air. Amanda perlu memastikan kemunculannya benar-benar diterima. Sudah pasti dengan pakej dan bakat yang ada, wajah kacukan Melayu, Turki, Siam dan Cina serta suara tersendiri menjadikan dia setaraf dengan penghibur yang ada masa kini.









Selasa, 4 Oktober 2011

Hutang Negara RM437 Bilion: Setiap Rakyat Malaysia Berhutang RM156 Ribu


Merujuk laporan terkini yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia pada 30 September 2011 lalu, jelas menunjukkan bahawa Malaysia telah berhutang sebanyak RM437 BILION setakat suku kedua (Januari - Jun) tahun ini.

Ia adalah sebanyak 53 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), paling tinggi dalam tempoh 13 tahun sejak 1998.

Pada 1998 sebelum Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, hutang luar negara hanyalah sekitar RM153 Bilion atau 32 peratus dari KDNK.

Sebagai perbandingan, di zaman Abdullah Badawi yang menantunya Khairy Jamaluddin menguasai KERAjaan pula, difahamkan kerajaan mempunyai hutang dalam dan luar negara berjumlah RM242.2 bilion atau 44.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun lalu berbanding RM228.7 bilion atau 46.2 peratus pada 2005.

Jika diambil nilai RM437 bilion tersebut (dalam angka, nilainya adalah 437,000,000,000) dibahagi dengan penduduk Malaysia seramai 28 juta orang (banci penduduk tahun 2010) maka setiap dari kita menanggung hutang sebanyak RM156 ribu tiap tiap seorang.

Ini bersamaan dengan nilai perbelanjaan bil elektrik dan air Seri Perdana yang didiami Najib Altantuya hanya untuk SEBULAN SAHAJA!!

Jika nilai RM437 bilion itu pula disusun wang kertas RM1 secara menegak, ia akan naik sehingga ke ketinggian hampir 4.3 kilometer!

Apakah kita mahu lagi KERAjaan sebegini memerintah dan terus menjahanamkan negara??

Lu pikir la sendiri!

JALAN PULANG


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan hutang negara kini mencecah RM437 bilion berdasarkan Laporan Bank Negara yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Laporan Bank Negara Malaysia bertarikh 30 September 2011 menyatakan angka hutang negara setakat suku ke 2 tahun ini menunjukkan hutang negara mencecah RM437 bilion,” kata Anwar pada pembentangan belanjawan Pakatan Rakyat 2012 di parlimen hari ini.

Menurutnya, jika unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5 peratus, maka kadar keberhutangan negara kini mencecah 53 peratus dari KDNK negara.

Kadar itu, katanya, jauh lebih tinggi berbanding pada 2007 iaitu sebanyak 42 peratus dari KDNK negara.

“Kadar hutang isi rumah pula mencecah RM577 bilion iaitu 77 peratus dari KDNK berbanding pada 1997 hanya 33 peratus dari KDNK.

“Maknanya di bawah menteri kewangan yang secara kebetulan semuanya perdana menteri sebelum 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih hingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun,’ katanya.

Keadaan itu, kata Anwar, diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara.

“Defisit negara diunjurkan mencecah 6 peratus bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2 peratus seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh,” kata Anwar.

Ketika membentangkan belanjawan alternatif Pakatan Rakyat di parlimen hari ini, Anwar berkata ia bertujuan untuk membantu rakyat mengharungi hidup yang semakin terhimpit.

Pakatan memperuntukkan RM220 bilion dalam belanjawan berkenaan melibatkan penjimatan sebanyak RM4 bilion dari perbelanjaan kerajaan BN.

Ia menumpukan usaha mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus berbanding kadar 6 peratus daripada KDNK tahun ini.

Belanjawan Pakatan Rakyat Untuk Disebarkan-Teks Penuh

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jentera Pakatan di setiap peringkat di seluruh negara supaya segera menyebarkan belanjawan alternatif yang dikemukakan Pakatan Rakyat.

Ini katanya penting bagi memastikan rakyat tidak terkeliru dengan belanjawan yang bakal dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat ini.

“Sebelum ini, ada beberapa dasar dan agenda pakatan diciplak oleh Datuk (Seri) Najib dan mendakwa ia dasar mereka.

“Sebab itu, kita bentangkan bajet pakatan lebih awal bagi memberi peluang lebih adil pada rakyat menilai dan membanding bajet pakatan yang kita bentang hari ini,” katanya pada sidang media di parlimen sebentar tadi.


MUQADDIMAH

1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.

2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan “Kesejahteraan Untuk Semua” ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.

BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT

4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.

5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas? Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat diketepikan?

6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.

7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;

b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;

c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;

d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian yang memartabatkan rakyat; dan

e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.

9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.

10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka 4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan negara di masa akan datang.

BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK

11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini, seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini. Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.

13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan negara.

17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr tadi.

18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka, seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada Perdana Menteri sedia ada.

19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion , apakah tiada anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari anak mantan Perdana Menteri?

20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak .

21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat di bawah merempat mencari sesuap rezeki.

22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi jenama paling unggul Barisan Nasional.

23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka, kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan bahawa harga gula telah melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan 26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih naik harganya sebanyak 20%.

24. Unjuran angka inflasi membayangkan sekiranya keadaan ini berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6% .

25. Makanya, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat:

a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.

b.Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.

c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.

e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.

f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.

BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT

26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai urusan .

27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat. Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.

28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi pilihanraya dijalankan.

29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34% daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan.

30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.

31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.

32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam, tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan sewenang-wenangnya.

33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja.

34. Mengambil kira perkara-perkara ini, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintah sedia ada, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memperuntukkan perkara-perkara berikut:

a. Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;

b. Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100;

c. Tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing;

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga;

e. Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion;

f. Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan;

g. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;

h. Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri;

i. Pelaksanaan skim “Bina dan Jual” secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai; dan

j.Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai; bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi.

BAB 4: MENJAMIN KELANGSUNGAN KEWANGAN NEGARA

35. Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun 2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.

36. Kadar keberhutangan rakyat Malaysia juga merunsingkan. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% dari KDNK sedangkan pada tahun 1997, ia hanyalah 33% dari KDNK. Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.

37. Keadaan diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara. Defisit negara diunjurkan mencecah 6% bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2% seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.

38. Malaysia tidak memerlukan perunding ekonomi antarabangsa yang mahal-mahal untuk memahami ancaman defisit dan hutang kepada kelangsungan kewangan dan kestabilan negara.

39. Rentetan krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat secara jelas mengajar kita bahawa negara-negara yang tata kelolanya lemah, berbelanja berlebihan melalui hutang dan disalahtadbir ekonominya adalah negara-negara yang paling terkesan apabila berlaku kejutan ekonomi dunia.

40. Malangnya, apabila ini berlaku, rakyatlah yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung beban pelbagai tindakan susulan yang diambil.

41. Oleh yang demikian, tumpuan untuk mengekang defisit sewajarnya menjadi tumpuan utama agar kita berjaya menghentikan kitaran memusnahkan akibat tabiat berhutang yang diamalkan Barisan Nasional selama ini.

42. Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan defisit bukanlah persoalan melebarkan jaringan percukaian agar lebih ramai rakyat membayar cukai. Usaha mengekang defisit perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu; berbanding sikap Barisan Nasional yang cepat melatah untuk mengenakan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Jualan (GST).

43. Mengambil kira keperluan untuk memulihkan asas kewangan negara dan menjamin kelangsungan kewangan negara, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut:

a. Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan mengurangkan kecenderongan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri;

b. Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4% bagi tahun 2012, berbanding sasaran-sasaran yang menyimpang sebelum ini;

c. Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin masa depan negara;

d. Penjualan lesen import (AP) akan dibuat melalui proses lelongan yang dijangka akan menambah pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion;

e. Pendekatan perolehan kerajaan akan dipinda untuk mengamalkan tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit;

f. Menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara;

g. Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara; dan

h. Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah. Maka sewajarnya cukai yang berpatutan disumbangkan untuk memperkemaskan kewangan negara.

BAB 5: MEMBINA KEANJALAN DAN DAYA SAING EKONOMI

44. Ekonomi negara perlu beralih kepada sektor bernilai tinggi untuk menambah pendapatan rakyat dan negara. Model ekonomi kos rendah yang banyak menggunapakai tenaga asing yang murah sebenarnya merompak rakyat Malaysia dari segi peluang ekonomi. Saban tahun, pekerja-pekerja asing juga menghantar puluhan bilion wang ringgit keluar dari Malaysia.

45. Niagawan-niagawan yang terlalu mempertahankan model ekonomi seperti ini sebenarnya mengambil subsidi dari rakyat Malaysia kerana keuntungan mereka adalah hasil dari menidakkan rakyat Malaysia dari peluang pekerjaan pada gaji yang munasabah.

46. Daya saing ekonomi negara juga memerlukan penglibatan lebih tinggi golongan wanita untuk merealisasikan potensi ekonomi mereka. Pakatan Rakyat mensasarkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja mencecah 55% menjelang 2015, berbanding kadar 43% sekarang.

47. Kita juga perlu merubah struktur ekonomi yang mempertahankan dan mengkayakan beberapa kerat mahakaya melalui konsesi-konsesi yang meningkatkan kos operasi dan perniagaan. Pertembungan di antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan juga perlu dikurangkan untuk mengembalikan kerancakan pelaburan swasta dalam ekonomi negara.

48. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mencadangkan perkara-perkara berikut:

a. Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi-konsesi yang tidak adil untuk menghentikan herotan kos operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan;

b. Meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli;

c. Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minima; dan

d. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.

BAB 6: KESEJAHTERAAN SEKATA DAN SEADILNYA

49. Pemusatan sumber dan kawalan kewangan yang keterlaluan kepada Kerajaan Pusat menindas kerajaan-kerajaan negeri sehingga mewujudkan jurang ekonomi yang luas di antara wilayah-wilayah, terutamanya di antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Barat.

50. Oleh yang demikian, tumpuan yang jelas perlu diberikan untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah-wilayah ini terutamanya pembinaan infrastruktur termasuklah jaringan lebuhraya-lebuhraya yang menghubungi seluruh Sabah dan Sarawak.

51. Konsep perkongsian sumber dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri-negeri juga perlu dikaji semula untuk memastikan kebertanggungjawaban dan kepakaran pentadbiran dipadankan dengan sumber kewangan yang bertepatan.

52. Mengambil kira perkara-perkara ini, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memutuskan perkara-perkara berikut:

a. Pindaan kepada Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap seperti sekarang kepada prinsip formula berdasarkan faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri;

b. Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar; dan

c. Peruntukan khas sebanyak RM100 juta untuk program-program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

BAB 7: MENGUKUHKAN ARUS REFORMASI RAKYAT

53. Semua perancangan ekonomi yang dibuat hanyalah kekal menjadi diskusi akademik kecuali disertakan dengan iltizam untuk melaksanakan reformasi politik dan pentadbiran.

54. Suasana yang kondusif akan diwujudkan yang secara langsung membolehkan perubahan-perubahan ekonomi berlaku bila mana sistem pentadbiran dan dokongan adalah telus, amanah, bertanggungjawab dan berasaskan kerangka tata kelola yang baik.

55. Akhirnya, perbezaan ketara di antara Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat yang mengangkat Kesejahteraan Untuk Semua, dengan belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri adalah dari segi siapa yang boleh melaksanakan reformasi-reformasi ekonomi ini dengan berkesan.

56. Sebab itu kita tidak boleh lari dari pengajaran Kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, yang antara lain menggambarkan kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan “salah laku, buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan. Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan, perjudian, kecurian dan riba”.

57. Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen Barisan Nasional untuk menjalankan reformasi – baik reformasi politik, ekonomi atau sosial kerana rekod caca merba dan tipu daya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan mereka bahawa rakyat mudah lupa. Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyebut pula akta gantian – maknanya perkara yang sama, Cuma sanggul dan cincin yang berbeza sebagai hiasan.

58. Dalam kehangatan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, rakyat juga tidak boleh alpa dengan pelbagai laporan dan bukti yang mempersoalkan ketulusan dan integriti daftar pemilih. Kalau selama ini kita percaya pelbagai helah digunakan untuk membenarkan pengundi hantu merosakkan amalan demokrasi di negara ini, pengesahan terbaru mengenai pemberian hak mengundi kepada warga negara Bangladesh mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya adalah tidak telus.

59. Oleh yang demikian, seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat:

a. Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;

b. Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;

c. Melaksanakan serta-merta semua tuntutan BERSIH2.0;

d. Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawa terus kepada Parlimen;

e. Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan

f. Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.

PENUTUP

60. Malaysia adalah sebuah negara yang dirahmati dan diberkati. Rakyatnya telah membuktikan bahawa semua cabaran yang getir boleh diatasi bersama melalui muafakat, persefahaman dan hormat-menghormati.

61. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat melihat rakyat sebagai aset pertama negara dan sewajarnya diangkat martabat rakyat untuk sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan semua. Rakyat adalah tuan punya negara ini, rakyat bukannya khadam atau pekerja yang membanting tulang menagih ehsan pemerintah atau golongan mahakaya.

62. Belanjawan 2012 ini juga memberi gambaran sebuah negara yang berbeza di bawah Pakatan Rakyat. Berbeza ekonominya, rancak proses demokrasinya dan telus pentadbirannya.

63. Saya memohon doa supaya Belanjawan 2012 ini memberi peluang untuk semua pihak memainkan peranan bersama-ama membawa Malaysia ke tempat yang lebih sejahtera, lebih aman dan lebih adil.

64. Sekian, terima kasih.

Liwat II: Identiti Saksi Misteri Terjawab

Kredibiliti pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam kes perbicaraan fitnah II , musnah apabila pihak peguam menampilkan saksi terbaru mereka.
 
Saksi berkenaan ialah Mohd Najwan Halimi, bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan rakan sekampus kepada Saiful Bukhari.

Najwan, yang kini bekerja sebagai pembantu khas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrhaim, merupakan saksi misteri yang dinamakan oleh peguam semalam.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Kimia Kuala Lumpur, Lim Kong Boon memberi keterangan sebagai saksi.

Berikut kronologi perbicaraan pada hari ini:

9.48pagi: Mahkamah bermula dengan hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah memulakan prosiding. Pengarah Forensik dari Jabatan Kimia, Lim Kong Boon dipanggil sebagai saksi.

Lim, 57 yang menjadi saksi pada fitnah I berkata, pada 2005, beliau mengetuai unit jenayah jabatan kimia.

Menjawab soalan peguam Ram karpal Singh, Lim berkata sejak 2005, bahagian berkenaan diletak di bawah  Legacy programme of the American Society of Crime Laboratory Directors Laboratory Accreditation Board ASCLD.
10.14 pagi: Peguam Ram Karpal Singh bertanya samada Bahagian Forensik Jabatan Kimia mempunyai ekreditasi dalam kelayakan lain. Lim berkata ia diakreditasi dengan program pengurusan. Saksi berkenan kemudian beredar.

Sankara meminta mahkamah berehat sementara menunggu saksi terbaru mereka. Peguam Cara negara II , Yusof Zainal Abiden  bertanya apakah relevan saksi berkenaan dipanggil, kerana ia tidak ada dalam senarai pendakwaraya.
 
11.11 pagi: Mohd Najwan muncul di bilik saksi, memakai pakaian kot hitam dan kemeja putih lengan panjang. Saksi berkenaan diiringi pembantu Sankara Nair.
11.22 pagi: Mohd Najwan dipanggil. Beliau berkata beliau bekerja sebagai pembantu Anwar atas kapasiti Anwar sebagai penasihat Ekonomi Selangor.
11.24 pagi: Mohd Najwan berkata beliau mengenali Saiful sejak 2003, dan tinggal di asrama berhampirannya di Uniten.
“Saiful pelajar aktif dan ada kualiti kepimpinan. Saiful dan saya terlibat dalam program Baktisiswa.

“Dia (Saiful) mempunyai kepimpinan, tetapi suka mencari publisiti,” kata Najwan.

11.30 pagi: Najwan berkata beliau melihat laman sosial Friendster Saiful, dan ternampak gambar Saiful dengan ramai pemimpin BN, termasuk Syed Hamid ALbar, Mustapa Mohamed dan Azlina Othman
 
“Pada 2008, Saiful adalah penyokong BN dan mengumumkan Anwar sebagai munafik,” katanya. Najwan juga berkata beliau pernah ternampak Saiful dalam satu ceramah politik.

11.31 pagi: Najwan berkata, Saiful berkempen untuk BN pada 2008.
 
11.33 pagi: Beliau menafikan Saiful mengagumi Anwar.
“Dia (Saiful) membenci Anwar” katanya.

11.34 pagi: Najwan disoal balas oleh Yusof. Beliau berkata beliau bekerja dengan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Sebelum ini saya bekerja dengan menteri pengangkutan dan Uitm,” ujarnya.
 
11.37 pagi: Yusof berkata ia tidak salah mengambil gambar dengan menteri.
Saksi berkenaan bersetuju.
 
11.39 pagi: Najwan menafikan apa yang dia katakan mengenai Saiful adalah spekulasi.
 
11.40 pagi: Najwan berkata beliau melihat keterangan Anwar sebagai munafik (hipokrit) dalam Friendster Saiful.

‘Saya terkejut kenapa dia bekerja dengan Anwar kerana dia membenci Anwar,” ujarnya.
 
11.45 pagi: Yusof: Berapa kerap kamu berbual tentang politik dengan Saiful?
Najwan: Saiful berkata Anwar tidak boleh dipercayai dan kita perlu menyokong kerajaan BN.
 
11.47 pagi: Menjawab pertanyaan Sankara, Najwan berkata beliau mengetahui mengenai karektor Saiful berdasarkan pengalaman beliau.
 
 11.48 pagi: mahkamah bersambung pada khamis.

Separuh rakyat Malaysia keturunan penzina?

Mohd Nasir Awang  
Agaknya tidak ramai yang membaca pendedahan fakta amat memalukan berhubung tahap kebobrokan akhlak remaja kini oleh sebuah tabloid harian pada Sabtu, 1 Oktober. Mungkin juga di kalangan yang terbaca paparan itu pula tidak lagi menganggapnya suatu yang besar atau mengejutkan. Justeru, tidak ada yang peduli jika pun isu sebegitu serius tidak diperpanjangkan perbincangannya.

Laporan dimaksudkan itu mendakwa setiap tiga daripada enam remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan seks luar nikah. Disebutkan antara faktor utama mendorong perbuatan sundal itu ialah perasaan ingin mencuba, terutama sebagai akibat langsung daripada menonton video lucah.

Namun fakta lebih mendukacitakan ialah apabila dikatakan kebanyakan remaja terbabit adalah lulusan universiti, tidak terkecuali yang memiliki PhD. Ertinya, ia bukan hanya dilakukan kalangan remaja liar dan tidak berpelajaran, tetapi turut melibatkan mereka yang memiliki pencapaian akademik agak memuaskan.


Laporan itu memetik hasil Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010. Ia melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak, terdiri daripada 2,457 orang atau 49 peratus remaja lelaki, manakala 2,559 atau 51 peratus responden adalah perempuan.

Di antara dapatan kajian itu, seramai 2,260 responden mengakui terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah.

“Berdasarkan kaji selidik itu juga, sebanyak 52 peratus (2,608) menyatakan rakan mereka melakukan seks sebelum berkahwin dan 76 peratus (3,812) lagi mempunyai rakan pernah menonton video serta memiliki bahan lucah,” laporan itu memetik kata Ketua Pegawai Operasi IPPBM, Zakariah Md Sam.

Sangat membimbangkan kita apabila masyarakat seakan tidak lagi sensitif dengan fakta amat menggerunkan mengenai tahap kebobrokan akhlak remaja kini. Lontaran fakta itu tidak disambut mana-mana media.

Bahkan tabloid yang bertanggungjawab mendedahkannya pun mengambil sikap sekadar melaporkan, seolah-olah hanya untuk mengisi tiga suku mukasuratnya untuk hari itu sahaja. Sedangkan ia diletakkan di bawah kategori laporan ‘EKSKLUSIF’, yang pada kebiasaannya mengundang pelbagai reaksi dan ulasan.

Namun dalam kes ini tiada laporan atau tinjauan susulan dibuat tabloid itu sendiri. Tiada pihak, sama ada aktivis sosial atau warga prihatin yang disorot pandangan dan reaksi mereka. Tidak sepertimana ghairahnya media arus perdana memanjangkan isu filem dan drama tema hantu dan seram yang didakwa berunsur tahyul dan tidak mendidik masyarakat.

Media juga di masa sama masih berselera menghidupkan isu hudud. Atas sebab sangat nyata, ia bermaksud mencari keuntungan politik buat parti pemerintah dan di masa sama menjerumuskan parti-parti pembangkang ke kancah pertikaian lebih buruk.

Namun secebis fakta mengenai akhlak remaja kita itu, walau pun tidak begitu menarik  minat masyarakat (atau sebenarnya sengaja tidak mahu diperpanjangkan media arus perdana?), sebenarnya turut mempunyai hubungkait dengan isu hudud yang digemariuhkan itu.

Lebih-lebih lagi jika kita melihat hukum hudud dan lain-lain cabang hukum Islam itu sebagai salah satu mekanisme dikemukakan Islam untuk menyedar dan mendidik masyarakat dalam ertikata yang lebih luas dan menyeluruh. Bukankah itu yang dapat kita fahami dari firman Allah dan sabda Junjungan s.a.w. tatkala menghuraikan fungsi dan maksud hukum-hukum syariat?

Justeru, amat kena pada masa tatkala khalayak penguasan politik sedang ghairah memperkecil dan memperlekeh usaha mendaulatkan hukum Islam, tiba-tiba fakta kesumbangan akhlak remaja tadi didedahkan.

Sebabnya, pendedahan itu juga menyeret pertikaian terhadap tahap kecemerlangan dan keberkesanan sistem pendidikan negara. Bahawa ia hanya mampu melahirkan insan yang cemerlang akademik, tetapi sangat bobrok akhlak dan jelik keperibadian mereka.

Apa tidaknya apabila kajian tadi mengesahkan 76 peratus daripada yang mengakui terlibat dengan gejala memalukan itu adalah pemegang ijazah, diploma serta PhD?

Justeru, memang tepat sergahan dilontarkan Zakariah, “... jadi bila mereka ini sudah terbabit dengan isu moral, bagaimana golongan ini mampu dijadikan teladan kepada belia lain yang memandang tinggi status mereka sebagai orang yang berpendidikan tinggi”.

Kebetulan pula laporan itu diterbitkan  pada hari sama Perdana Menteri membuat kenyataan mendakwa sistem pendidikan negara kita adalah yang terbaik, malah lebih baik daripada sistem diamalkan beberapa negara maju.

Sudah tentu dengan terdedahnya dapatan kajian tadi, dakwaan Dato’ Seri Najib Razak itu dengan sendirinya layak dipersoalkan. Kajian IPPBM itu tidak menyokong dakwaan beliau itu. Apakah kita tergamak berbangga dan mendakwa sistem pendidikan kita terbaik sekiranya separuh produk dihasilkannya terbabit seks bebas?

Apa gunanya mereka berjaya dan cerdik tetapi tidak tahu di mana letaknya dosa-pahala? Berbanggakah kita dapat menghasilkan ramai cerdik-pandai atau anak-cucu yang sangat cemerlang akademik mereka, sedangkan di masa sama mereka amat bobrok akhlak dan tingkahlaku?

Tidak dinafikan sistem pendidikan sedia ada telah berjaya menghasilkan ramai cerdik pandai, cendikiawan pelbagai bidang dan jurusan. Kita tidak kurang peguam dan pakar undang-undang, tetapi tidak sedikit antara mereka menggunakan pengetahuan luas dalam perundangan untuk memutarbelit fakta dan menukar harta orang menjadi miliknya.

Kita berbangga memiliki ramai anak bangsa bergelar doktor, tetapi antara mereka juga ada yang aktif merosakkan generasi muda dengan sindiket penjualan ubat batuk dan seumpamanya.

Apa guna kita ada pakar sejarah, tetapi cenderung memberikan gambaran positif dan memuji kaum penjajah? Apa guna kita ada penggiat ekonomi yang dianggap berjaya dan kononnya membanggakan kaum bimputera, sedangkan hampir setiap langkah mereka menyempurnakan kerja diiringi ‘duit kopi’ atau ‘tumbuk rusuk’?

Pernah disiarkan media sebelum ini mengenai tinjauan terhadap sikap penuntut universiti tempatan berhubung isu rasuah. Bayangkan antara mereka secara terus terang mengakui tidak ada masalah untuk melakukan perbuatan merosakkan itu sekiranya keadaan menghendaki mereka berbuat demikian.

Tinjauan juga pernah dibuat di kalangan penuntut perempuan nmengenai kemungkinan mendapat pasangan lelaki berusia. Sebahagian tidak sedikit antara mereka menyatakan tidak kisah bersuamikan orang tua, asalkan orang itu kaya dan dapat menjamin keperluan kewangan mereka.

Dua kes ini menunjukkan fokus pemikiran penuntut universiti kita sudah terarah kepada mencari dan menjamin kepentingan kebendaan. Soal moral dan nilai positif masyarakat nampaknya sudah tiada dalam perkiraan mereka.

Itu belum lagi kita sebut soal adab sopan dalam tuturkata dan perlakuan mereka, terutama di khalayak awam. Tidak ada rasa hormat terhadap orang tua, bercakap lucah dan kotor. Berkelakuan tidak senonoh, berpakaian macam orang tidak bertamadun dan berbagai lagi perlakuan memualkan.

Lebih teruk lagi, mereka bukan sahaja biadab terhadap sesama manusia, malah tidak kesah untuk berlaku biadab terhadap suruhan dan larangan Tuhan. Apatah lagi mereka membesar dalam suasana sekalian pembesar dan orang terhormat dalam masyarakat bercakap mempertikaikan kewibawaan hukum Tuhan. Segenap saluran media massa pula memberikan gambaran positif terhadap kenyataan dan pendirian sedemikian.

Sebagai kelompok yang banyak membuat keputusan dalam hidup berpandukan perkiraan logik akal, golongan remaja ini terdorong berfikir lebih jauh. Terlintas di fikiran mereka, jika para pemimpin yang berkuasa mengatakan hukum Islam yang datang dari Tuhan itu tidak sesuai dilaksanakan di zaman ini, bermakna Tuhan yang menciptakan hukum itu juga tidak sesuai disembah dan diagungkan.

Lebih meyakinkan lagi mereka ini apabila kenyataan para pemimpin yang kurang asas ilmu agama itu diperakui atau tidak langsung dibantah oleh sebilangan para ulama dan mereka yang dikenali sebagai cendikiawan Islam.

Lalu mereka ini membesar dan membentuk kematangan hidup dalam suasana tidak ada keyakinan terhadap hukum dan peraturan Tuhan. Apabila keagungan hukum suci itu pun sudah tidak dipahat di hati, maka apatah lagi hukum dan undang-undang ciptaan manusia?

Logiknya, jika hukum Tuhan pun mereka tidak rasa apa-apa untuk permainkan, maka apakah kita boleh harap mereka akan merasa gerun dan takut untuk melanggar hukum dan undang-undang manusia? Akibatnya, mereka tidak akan takut untuk rasuah, salahguna kuasa, menyeleweng wang syarikat atau pejabat, menipu dalam perniagaan dan berbagai perbuatan tidak bermoral.

Isu ini sebenanya sangat berkait rapat dengan agenda pembinaan generasi masa depan negara. Kita yang telah dewasa kini tidak akan mampu menongkat langit. Kita semakin menua dan dimamah usia. Kanak-kanak dan remaja hari ini lah bakal mengambil alih segala aktiviti penghidupan. Mereka lah yang akan mengisi segenap tahap penggerak masyarakat, bermula daripada pengikut dan pencacai bawahan sehingga ke pemimpin atasan.

Maka apakah dengan keperibadian remaja yang ada kini segala kemakmuran dan keamanan yang kita kecapi hari ini mampu dikekalkan hingga ke masa depan? Lebih membimbangkan lagi, apakah peribadi-peribadi yang berkemungkinan bakal mengambilalih kepimpinan masyarakat sebegitu dapat kita harapkan untuk menjaga agama di masa depan?

Timbunan kes-kes salah laku sosial, jenayah berat dan keganasan seksual membabitkan remaja yang terhidang di media saban hari kebelakangan sebenarnya mengisyaratkan hakikat amat menakutkan tentang masa depan negara.

Sepertimana digambarkan hasil kajian IPPBM tadi, jika kecenderungan itu dibiarkan berterusan dan peratusan mereka yang terlibat dengan seks bebas di kalangan generasi akan datang kekal melebihi 50 peratus, maka dapat kita congak apa hakikat yang bakal dihadapi negara kita 30 atau 40 tahun nanti.

Tatkala para remaja yang separuh mereka terdiri daripada bekasan penzina ini menjadi warga paling tua dalam masyarakat, dan tabiat buruk mereka turut sama dilalui ibubapa segenap lapisan umur selepas mereka, maka sudah tentu ketika itu kesemua yang bergelar anak atau cucu kepada mereka adalah beribubapa atau berdatuk-nenekkkan manusia yang ada rekod akviti seks luar nikah.

Alangkah malunya muka dan walangnya hati apabila dikatakan pada ketika itu separuh daripada jumlah rakyat Malaysia adalah dari keturunan bekas penzina! Mohon dijauhkan Allah dari hakikat itu.

Justeru, mengapa tidak kita beri peluang kepada hukum Islam memperbetulkan keadaan dan menyelamatkan negara dari kemungkinan menakutkan itu?

Kampung Baru: Raja Nong Tarik balik Rang Undang-Undang Pembangunan





KENYATAAN MEDIA SEKRETARIAT PEMBANGUNAN KAMPONG BHARU (SPKB)

PENARIKAN RUU PPKB 2010 DAN PEMBENTANGAN RUU PPKB 2011
SATU SILAP MATA KERAJAAN


Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu (SPKB) mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu kerana atas keteguhan dan kejituan semangat mereka maka pada hari ini (3/10/2011) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) telah menarikbalik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010 (RUU PPKB 2010 – DR 45/2010). Sekalung penghargaan dan Al-Fatihah juga selayaknya dihadiahkan kepada Allahyarhamuha YB Dr. Lo’lo’ Hj Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang tidak pernah jemu membawa suara dan hasrat pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu.

SPKB mengalu-alukan penarikan RUU PPKB 2010 – DR 45/2010 ini tetapi berpendapat tindakan KWPKB ini hanyalah tindakan untuk mengaburi mata pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu semata-mata. Tindakan penarikan balik RUU PPKB 2010 tidak mempunyai apa-apa makna kerana dalam masa yang sama KWPKB telah membentangkan pula suatu Rang Undang-Undang baru iaitu Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 – DR25/2011. Tindakan KWPKB ini hanyalah suatu permainan silap mata sahaja. Mulanya menarikbalik tetapi kemudiannya membentangkan yang baru.

Asas pendirian SPKB ini ialah RUU PPKB 2011 yang baru dibentangkan untuk Bacaan Kali Pertama di Dewan Rakyat hari ini hanyalah penambahbaikan sebahagian daripada RUU PPKB 2010 sebelum ini. Ini hanyalah tindakan kosmetik yang cuba melalaikan dan melenakan para pemilik dan pewaris tanah. Pokok persoalan asas RUU PPKB samada yang lama atau yang baru ialah jaminan hak para pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu.

Rata-rata pemilik dan pewaris tanah mahukan jaminan bahawa setiap perancangan pembangunan yang hendak dilakukan di Kampong Bharu di atas tanah hakmilik mereka dibuat dengan mengambilkira hak dan kepentingan serta faedah mereka, bukannya kepentingan mana-mana pihak lain yang tiada apa-apa kepentingan langsung.

Persoalan RUU PPKB 2010 dan RUU PPKB 2011 ini ialah persoalan teknikal yang mungkin akan mengelirukan para pemilik dan pewaris tanah. Ini persoalan undang-undang yang perlu dijelaskan sejelas-jelasnya kepada semua pemilik dan pewaris tanah sebelum persetujuan mereka diperolehi.

SPKB ingin merekodkan di sini bahawa RUU PPKB 2010 yang ditarikbalik tiada apa-apa perbezaan ketara di dalam RUU PPKB 2011. Kuasanya masih berada MUTLAK di tangan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Peruntukkan fasal 17 RUU PPKB 2011 masih sama seperti RUU PPKB 2010. Fasal 17 RUU PPKB 2010 dan RUU PPKB 2011 memperuntukkan seperti berikut :-

Perbadanan hendaklah bertanggungjawab kepada Menteri, dan Menteri boleh, dari semasa ke semasa, memberikan arahan yang tidak bercanggah dengan peruntukkan Akta ini dan Perbadanan hendaklah melaksanakan segala arahan yang diberi itu.

Peruntukan ini dengan jelas memberikan kuasa penuh kepada MENTERI sedangkan sepatutnya jika benar para pemilik dan pewaris tanah hendak dilibatkan, maka Perbadanan tersebut hendaklah tertakluk dan bertanggungjawab kepada para pemilik dan pewaris tanah. Siapa Menteri yang hendak memandai-mandai menentukan untung nasib pemilik dan pewaris tanah? Tanah yang hendak dibangunkan itu adalah tanah orang-orang Kampong Bharu bukan tanah milik Kerajaan.

RUU PPKB 2011 telah memotong peruntukkan Fasal 15(2)(h) di dalam RUU PPKB 2010 yang menyatakan bahawa tanah Kampong Bharu boleh diambil menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Pemotongan peruntukkan tersebut dibuat dengan harapan agar para pemilik dan pewaris tanah merasa terjamin bahawa tanah mereka tidak akan diambil secara paksa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Ini dibuat semata-mata mengambilhati dan untuk tidak membangkitkan kemarahan pemilik dan pewaris tanah.

Perlu diambil perhatian bahawa walaupun RUU PPKB 2011 tidak memperuntukkan tentang Akta Pengambilan Tanah 1960, ini tidak bermaksud bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak boleh digunakan. Kekosongan dan kelompangan tentang penggunaan Akta tersebut tetap membolehkan tanah Kampong Bharu diambil menggunakan Akta tersebut.

Malah Menteri sendiri mengakui di dalam Dewan Rakyat bahawa Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan konsep pembangunan secara komprehensif ke atas Kampong Bharu, di mana antara mekanisme pembangunan yang akan dijalankan ialah menerusi kaedah penyerahan dan pemberimilikan semula hakmilik tanah di bawah peruntukan Seksyen 204D Kanun Tanah Negara 1965 dan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Peruntukan Fasal 57 RUU PPKB 2010 dipotong di dalam RUU PPKB 2011 dan ini akan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian. Fasal 57 RUU PPKB 2010 ialah peruntukkan yang membatalkan Malay Agricultural Settlement Rules 1950 yang menubuhkan Kampong Bharu dan membubarkan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu atau sinonimnya Lembaga Pentadbiran MAS. Apabila peruntukkan fasal 57 ini dipotong maka Lembaga MAS masih wujud dan berfungsi seperti sediakala seperti kewujudannya sejak tahun 1900 dahulu. Jika Lembaga MAS masih wujud, kenapa perlu ada sebuah Perbadanan baru yang mempunyai fungsinya yang sama? Apa akan jadi dengan Lembaga MAS sekiranya Perbadanan diwujudkan melalui RUU PPKB 2011 ini?

Kenyataan KWPKB bahawa Perbadanan hanyalah sebagai penyelaras dan pemudahcara kepada pembangunan di Kampong Bharu hanyalah penipuan semata-mata. Perkara ini dibuktikan dengan Fasal 14 RUU PPKB 2011 berkaitan fungsi Perbadanan yang antaranya untuk melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubungan dengan pembangunan Kampong Bharu mengikut pelan struktur dan pelan tempatan yang disediakan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982. Apakah dasar di dalam pelan struktur tersebut?

Ianya telah diluluskan seperti yang terdapat di dalam Pelan Pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang mempunyai suatu jilid khusus tentang Kampong Bharu yang tidak pernah diterangkan kepada awam termasuk pemilik dan pewaris tanah. Dalam Pelan Pembangunan tersebut juga dinyatakan dengan jelas bahawa antara pihak yang akan terlibat dengan pembangunan Kampong Bharu ini ialah GABEM iaitu satu biro ekonomi dalam parti politik.

Soalnya, mengapakah badan ini dilibatkan sedangkan ia tidak langsung mempunyai kepentingan ke atas tanah Kampong Bharu? Apakah ada muslihat atau agenda pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan di atas nilai tinggi tanah Kampong Bharu ini?

Fungsi Perbadanan juga adalah untuk menyebarkan apa-apa maklumat mengenai potensi pelaburan dan pemasaran kepada pelabur samada pelabur asing atau tempatan dalam kawasan pembangunan Kampong Bharu. Perbadanan juga selain itu berfungsi untuk menguruskan dan mempromosikan penjualan hartanah di dalam kawasan pembangunan Kampong Bharu.

Adakah fungsi-fungsi yang diperuntukkan dengan nyata di dalam Fasal 14 RUU PPKB 2011 ini menunjukkan Perbadanan hanya sebagai pentadbir, penyelaras dan pemudahcara sahaja ataupun ia jelas menunjukkan bahawa Perbadanan sebenarnya merupakan satu “business entity” atau entiti perniagaan yang tidak dapat melindungi kepentingan pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu?

Kenyataan Menteri pada hari ini memaklumkan bahawa RUU PPKB 2011 yang dibentangkan akan memberikan suara yang lebih kepada pemilik tanah merupakan suatu kenyataan penyedap hati sahaja. Adakah hanya dengan memberikan keanggotaan di dalam Perbadanan kepada enam (6) orang wakil tuan tanah sudah memadai untuk Kerajaan menyatakan bahawa suara tuan tanah sudah didengar sedangkan kuasa penuh terhadap Perbadanan berada di tangan Menteri?

Sebelum ini pada Jun 2011, Menteri yang sama menyatakan bahawa undang-undang berkaitan Kampong Bharu hanya akan diteruskan setelah mendapat keputusan referendum pemilik dan pewaris tanah. SPKB mendesak dan mencabar KWPKB mendedahkan kepada umum hasil referendum tersebut. Adakah RUU PPKB 2011 ini dibentangkan hasil referendum tersebut? Jika benar, dedahkan hasil referendum tersebut. Jangan hanya menyebut angka sahaja tanpa bukti yang jelas dan kukuh.

SPKB sekali lagi menegaskan bahawa penarikan balik RUU PPKB 2010 ini hanyalah tindakan terdesak KWPKB untuk melenturkan kemarahan pemilik dan pewaris tanah. Ia juga tindakan mengelirukan pemilik dan pewaris tanah kerana walaupun ditarikbalik, ianya digantikan dengan suatu RUU yang baru yang hakikatnya masih sama iaitu hak pemilik dan pewaris tanah tidak dijamin sepenuhnya.

SPKB tetap dengan pendirian bahawa apa saja bentuk perancangan pembangunan tanah Kampong Bharu hendaklah mengambilkira suara dan hasrat pemilik dan pewaris tanah sendiri dan bukannya kepentingan mana-mana pihak lain yang mempunyai kepentingan tersendiri.

AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Pengerusi
Sekretariat Pembangunan Kampong Bharu
3 Oktober 2011
Related Posts with Thumbnails