Oleh Norasikin Samsi & Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR 12 Mei -  Kerajaan Umno-Barisan Nasional terbukti begitu terdesak untuk meraih  kembali sokongan rakyat khususnya kaum Melayu sehingga sanggup  menggunakan sentimen perkauman sempit sebagai senjata terakhir untuk  memenuhi kepentingan politik mereka.
Naib Presiden PAS,  Salahuddin Ayub mengulas demikian ekoran laporan Utusan Malaysia Isnin  lalu berhubung cadangan kira-kira 10,000 orang termasuk ahli 45  pertubuhan bukan kerajaan pro-Melayu menyertai program 'Melayu Bangkit'  anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu di Stadium Tertutup  GongBadak 13 Mei ini.
Menurut Salahuddin, Pakatan Rakyat  membantah penganjuran program berkenaan kerana ia bakal mengancam  keselamatan dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum di mana  pemilihan tarikh tersebut merupakan perkara yang dirancang untuk  mengembalikan sejarah tragedi rusuhan antara kaum pada 1969.
Pengerusi  Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), Razali Idris dilaporkan sebagai  berkata, tarikh 13 Mei dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang  Melayu dan mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku empat dekad  lalu.
"Ini satu kenyataan yang serius yang menyebut secara nyata  dan terang memilih tarikh tersebut sebagai satu tarikh untuk  membangkitkan semangat orang Melayu. 
"Ia merupakan suatu  perkara yang tidak sihat, tidak perlu dan tidak wajar untuk diwujudkan  dan diadakan di persada tanah air kita setelah merdeka lebih 50 tahun.
"Dan  di saat Perdana Menteri bercakap tentang 1Malaysia yang menggunakan  khidmat Apco membayar RM77 juta namun masih lagi nak membangkitkan satu  peristiwa atau program yang sangat berunsurkan perkauman yang tidak  sepatutnya wujud lagi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS  semalam. 
Salahuddin juga menegaskan Pakatan Rakyat khususnya  PAS menolak perbuatan segerombolan pihak tidak bertanggungjawab ini  kerana perkara tersebut adalah bertentangan dengan perjuangan untuk  membela semua kaum.
"PAS memandang kenyataan ini sebagai amat  tidak bertamadun yang bertentangan dengan semangat yang kita bina dalam  negara apatah lagi atas nama Pakatan Rakyat, kita mahu satu Malaysia  yang lebih baik, adil dan saksama kepada semua kaum, semua agama tetapi  tiba-tiba masih ada lagi kumpulan yang pada hari ini ingin menggunakan  peristiwa berdarah 13 Mei itu untuk membangkitkan tragedi yang tidak  sepatutnya diingini rakyat.
"Bukan sekadar orang Melayu, Cina  mahupun India malah semua manusia yang bertamadun tidak akan membenarkan  lagi peristiwa ini berlaku lagi dalam negara ini," katanya lagi.
Justeru,  beliau menyeru seluruh rakyat bangkit dan menyedari tentang kewujudan  kumpulan yang menyumbang tercetusnya kepada kacau-bilau dalam negara. 
"Mereka  perlu untuk diberitahu bahawa inilah kumpulan yang sangat berbahaya dan  sangat perlu dijauhi oleh rakyat Malaysia pada hari ini.
"Kalau  setakat nak bincang tentang DEB (Dasar Ekonomi Baru), nak bincang  tentang masa depan orang Melayu tidak menjadi satu kesalahan tetapi  bukan forumnya kita mewujudkan satu program dengan niat begitu jelas  yang dibangkitkan oleh pengerusinya memilih 13 Mei itu dan menyebut  tarikh itu untuk membangkitkan semangat orang Melayu.
Beliau  juga bimbang IIIM Terengganu dipergunakan untuk politik sempit Umno-BN.
"Saya  sangat aktif dengan IIM dan banyak perkara yang dibangkitkan dalam IIM.  Tapi IIM Terengganu dilibatkan dalam program yang sangat sempit dan  ekstrim ini.
"Jadi saya minta Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap  Salleh mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap IIM Terengganu yang  boleh dipergunakan oleh puak-puak yang ekstrim ini kerana saya yakin di  belakang program ini adalah Umno."
Sementara itu, Setiausaha  Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula bertegas supaya program itu  dibatalkan.
Menurutnya, pengajuran program berkenaan jelas  melibatkan Unit Perancang Ekonomi di bawah Kerajaan Negeri Terengganu.
Beliau  juga mempersoalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang  dijangka akan menghadiri program itu.
"Saya nak tanya Mahathir,  adakah dia nak hidupkan kembali semangat perkauman ini? Dia sebagai  negarawan, nak hadir ke program sebegini. Ini yang amat dikesalkan,"  katanya lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda  KEADILAN, Fariz Musa ketika dihubungi berkata, penganjuran program  berkenaan bertujuan untuk membangkitkan sentimen perkauman di kalangan  melayu yang berupa mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.
"Gertak  jelas didalangi Umno kerana pimpinannya  merupakan pemimpin Umno. Jadi  sebab itu mereka menganjurkan program bagi membakar sentimen perkauman  di kalangan orang Melayu.
"Ini menunjukkan Umno sudah semakin  terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dalam keadaan di mana  orang Melayu tidak lagi memberi sokongan kepada mereka.
Katanya,  perkara itu juga menunjukkan gagasan 1Malaysia yang diperkenal Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal apabila Umno secara berterusan  memainkan isu-isu perkauman demi kepentingan politik sempit mereka.
"Ini  juga menunjukkan gagasan 1Malaysia telah gagal mewujudkan keharmonian  kaum dan hanya digunakan sebagai sandiwara demi menjaga kepentingan  politik Umno. Umno menjadi dalang dan bayang-bayang dalam penganjuran  perhimpunan ini dengan meletakkan Gertak di hadapan. Kita mahu Umno dan  NGO terbabit untuk hentikan perhimpunan itu kerana ia mampu mencetuskan  keadaan huru hara dan menganggu gugat keharmonian kaum di negara kita,"  ujarnya.



