Parti Rakyat Bersatu Sarawak bersedia berdebat dengan Pakatan Rakyat hanya jika parti Islam Pas menggugurkan nilai-nilai Islam dari perlembagaannya.
Pengerusi  Bahagian Sibu, Datuk Sri Wong  Soon Koh berkata pihaknya hanya akan  menjawab propaganda 'Negara Islam'  yang SUPP sebarkan hanya jika Pas  tidak lagi mengangkat Al-Quran sebagai  panduan utama parti itu.
Akhbar  Borneo Post hari ini melaporkan,  SUPP menuntut parti Islam itu  menggugurkan Al-Quran jika Pakatan Rakyat  mahu mendebatkan isu 'negara  Islam'.
Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim  Kit Siang semalam mencabar SUPP  mendebatkan isu ini, selepas BN didapati  menyebarkan propaganda 'Satu  Undi Untuk DAP ialah Undi Untuk Pas dan  Negara Islam' dalam kempen  pilihanraya Sibu.
Papan iklan  berbaur hasutan turut dinaikkan di serata pekan  Sibu, dengan mesej yang  mendakwa, budaya masyarakat bukan Islam akan  terhapus jika Pakatan  Rakyat diberi peluang di Sarawak.
Di  sidang akhbar hari ini, dengan nada yang  amat kesal dengan provokasi  SUPP ini, Kit Siang menyeru rakyat Sibu  untuk menolak politik fitnah  yang mengajak kepada permusuhan.
"Saya  menyeru rakyat Sibu untuk  menghapuskan 'senjata pemusnah' ini kerana  ia fitnah sepenuhnya. BN  telah menggunakannya di Semenanjung Malaysia,  contohnya pada 1999,  mereka dakwa tidak lagi boleh makan khinzir, tiada  lagi tokong dan tiada  lagi sekolah Cina. Ini adalah tidak benar,  bahkan dinafikan oleh  pemimpin Pas," tegas Kit Siang.
BN  yang mewar-warkan agenda 1Malaysia  menolak Fasal 3 perkara 1  Perlembagaan Pas, yang menyebut komitmen  menyemai nilai murni agama  dalam masyarakat Malaysia. BN juga menolak  perkara 2 dari Fasal yang  sama yang menetapkan komitmen Pas  mempertahankan kesucian Islam dari  dicabuli pihak tidak  bertanggungjawab.
BN juga  menuntut Pas supaya meminda Fasal 7 perkara 1 yang  menetapkan bahawa  panduan utama parti Islam itu adalah kitab suci  Al-Quran dan Sunnah,  prinsip yang turut dikongsi oleh semua penganut  Islam di Malaysia.
SUPP  mempropagandakan isu ini dalam usaha  untuk menakut-nakutkan masyarakat  Kristian supaya membenci Pas dan  Pakatan Rakyat. Pemimpin Pakatan Rakyat  memandang propaganda ini dengan  serius, terutamanya mengira beberapa  jam sahaja lagi menuju hari  berdarah 13 Mei.
"BN masih lagi  melihat ke belakang, walhal kita menuju ke  hadapan. Pakatan Rakyat  menunjukkan pendirian yang tegap dan tegas dalam  semua isu terutamanya  isu kalimah Allah. Yang paling utama, soal Negara  Islam, bukan agenda  Pakatan Rakyat. Apa yang kita mahu adalah  mewujudkan kerajaan yang  adil, saksama, bertanggungjawab dan bebas  rasuah," jelas Ahli  Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzukefly Ahmad.
"DAP tidak sembunyikan apa-apa, kerana itu  kita amat bersedia  untuk debat terbuka. BN tanya mengapa kita takut pada  1Malaysia. Baik,  saya cabar mereka untuk turun dan kita debat isu  1Malaysia. Ada  berani?" soal Kit Siang.
Penganut  Kristian membentuk 53 peratus dari jumlah pengundi  berdaftar di Sibu.  Tempoh kempen setakat ini menyaksikan Pas dan DAP  giat merapati gereja  dalam usaha menjalin hubungan yang lebih erat  antara masyarakat  Kristian dan Islam di sini.
Usaha  ini adalah kesinambungan kempen Pakatan Rakyat untuk  membentuk  kerajaan baru, yang menjamin keadilan untuk semua dan bebas   diskriminasi agama.
Kempen ini   menyaksikan sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat 46 peratus, memaksa   SUPP mengeluarkan amaran kepada Pas untuk tidak membawa politik   Semenanjung ke Sarawak.
"Pakatan  amat  jelas dalam rangka dasar bersama. Kita tahu kita berdiri atas  prinsip  apa, untuk apa prinsip ini, dan bagaimana untuk mencapainya.  Semua yang  disebutkan dalam Model Ekonomi Baru bawaan Najib adalah idea  yang  menarik, namun bila ia memerlukan iltizam politik, Pakatan Rakyat  jauh  lebih baik," tegas Dr Dzulkefly.




