Jumaat, 24 Jun 2011

Trio Datuk T Didenda Hanya Rm 5500

Tiga individu di sebalik video seks lelaki mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini - tiga bulan selepas mereka menayangkan video tersebut di sebuah hotel kepada sekumpulan wartawan.
azlanMereka adalah bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim.

Eskay didenda RM3,000 atas kesalahan itu, Shuib RM1,500 dan Rahim sebanyak RM1,000 - menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,500.
Eskay dan Shuib dituduh mengikut Seksyen 292(a) Kanun Kesiksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang berbunyi:

“Bahawa kamu dengan niat bersama, tayang tempat terbuka video lucah, hubungan seks seorang lelaki dan perempuan antara 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari pada 21 Mac lalu.”
Sementara itu, tuduhan ke atas Rahim pula berbunyi: “Bahawa kamu telah bersuhabat dengan Eskay dan Shuib untuk menayangkan secara terbuka hubung seks seorang lelaki dan perempuan, kamu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292(a), dan Seksyen 109 Kanun Kesiksaan.”

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani.

'Bukan menyerupai, tapi Anwar'
Rahim diwakili oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Majistret Aizatul Akmal sebelum itu menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan ketiga-tiga tertuduh merujuk dan berunding dengan peguam mereka.
NONESelepas sidang mahkamah disambung, ketiga-tiga mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Pihak pendakwaan termasuk timbalan ketua pendakwaraya Mohamad Hanafiah Zakaria dan pendakwaraya kanan Kamaludin Md Said.

Ketika fakta kes dibacakan, beberapa kali disebut individu dalam video itu "menyerupai Anwar Ibrahim" dan wanita daripada China.

Disebut juga keterangan terdapat adegan seks oral dan bersetubuhan.

Ketika majistret bertanya tertuduh sama ada mereka faham tuduhan yang dibacakan itu, Eskay berkata beliau tidak bersetuju bagaimana pelaku dalam video itu disebut.

"Bukan menyerupai, tapi Anwar," katanya.

Khamis, 23 Jun 2011

Shahrizat tuntut tambahan RM459 juta


KUALA LUMPUR 22 JUN : Wanita Pakatan Rakyat menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan lantaran gagal menyatakan tujuan sebenar bajet tambahan berjumlah RM459 juta oleh kementeriannya semalam.

Menurut Ahli Parlimen Ampang Zuraidah Kamaruddin, tindakan Sharizat tidak menjawab pertanyaan ahli parlimen sewaktu perbahasan belanjawan tambahan peringkat Kementerian beliau semalam, menunjukkan suatu sikap ketidakmatangan beliau selaku seorang menteri.

Unit Pejabat Pengurusan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) isi rumah berpendapatan rendah (LIH) kementerian itu sebelum ini melaporkan jumlah ketua isi rumah miskin tegar yang berdaftar di dalam sistem e-Kasih telah dikurangkan sebanyak 99.8 peratus iaitu 44,535 keluarga dari 253,862 keluarga.

Hal ini menimbulkan persoalan mengapakan Shahrizat memohon belanjawan tambahan 'untuk membantu golongan miskin tegar' sedangkan sepatutnya belanjawan tersebut telahpun mencukupi.

"Beliau seharusnya sedar bahawa RM459 juta ini melibatkan dana awam, maka suatu sistem kewangan yang tersusun dan terancang perlu dilaksanakan, dan tidak terus- terusan melaksanakan program- program ad-hock sentiasa.

"Maka, Demi Rakyat, kami (Wanita Pakatan Rakyat) menggesa agar beliau segera meletak jawatan, atas dasar kebertanggungjawaban yang jelas telah memalukan imej Parlimen dan Malaysia di peringkat antarabangsa," tegas Zuraidah dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Sewaktu pembentangan Belanjawan 2011 yang dibentangkan pada 15 Oktober 2010 yang lalu, peruntukan untuk pembangunan sosio- ekonomi kementerian itu mencatatkan jumlah yang besar iaitu sebanyak RM536 juta.

Pecahannya adalah seperti berikut; RM190 juta untuk keluarga miskin, RM108 juta untuk golongan kurang upaya, RM167 juta untuk warga emas, RM50 juta untuk bantuan am, selain RM22 juta untuk bantuan sosio- ekonomi lain.

Menurut Zuraidah, dengan peruntukan tambahan yang diminta, kos perbelanjaan kementerian itu mencecah hampir RM92 juta melainkan kos tersebut digunakan untuk menjalankan projek yang bersifat jangka pendek atau 'one off'.

"Peruntukan belanjawan tambahan sebanyak RM459 juta yang dimohon turut menunjukkan peningkatan sebanyak 87% dari jumlah asal belanjawan 2011, sekaligus membawa kepada jumlah hampir RM1 Billion, peruntukan keseluruhan buat 5 kategori," katanya.

Mengulas isu yang sama, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusuf, tindakan Shahrizat itu seolah- olah mahu menggunakan wang peruntukan itu sebagai dana pilihan raya umum akan datang.

"Peruntukan untuk kebajikan sepatutnya semakin kurang sebab penerimanya semakin kurang tapi anehnya kementerian minta bajet tambahan sehingga hampir RM 500 juta, katanya untuk warga miskin. Di mana yang betul? Laporan NKRA yang penting atau ini? Yang ini kita nampak terang-terang. Saya yakin wang ini akan digunakan UMNO untuk pilihan raya umum akan datang," tegas beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS.

TVS News

Menteri Umno Tibai Duit Zakat?

Dosa besar salahguna wang zakat- Bekas mufti Wilayah

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya berkata adalah menjadi  dosa dan kesalahan besar kepada mereka yang menyalahgunakan wang zakat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan penyelewengan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi pembiayaan kos guaman Menteri Agama, Datuk Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.

“Kalau betul, ia tak sepatutnya berlaku kerana duit zakat ini adalah untuk perbelanjaan untuk asnaf yang lapan, yang diberikan kepada mereka yang patut dapat.

“Kalau salahguna wang zakat, itu adalah satu salahguna kuasa. Maknanya tidak ada amanah kepada Allah. Jika pembiayaan untuk bayaran peguam masuk asnaf yang mana?,” ujarnya ketika ditanya Keadilandaily.com.

Asnaf yang  lapan terdiri daripada golongan miskin, amil, muallaf, riqab (seseorang yang terbelenggu tanpa kebebasan), gharimin (penghutang muslim),  fisabillillah (Orang yang berjuang kerana Allah) dan Ibnus Sabil (musafir).

Tambah ulama terkenal ini, penyelewengan wang zakat yang diberikan kepada selain golongan tersebut merupakan satu pengkhianatan besar kepada umat Islam dan perlu diambil tindakan.

“Wang zakat dijelaskan di dalam Al Quran perlu diagih kepada asnaf yang sepatutnya dibelanjakan. Ia tak boleh dibelanja sesuka hati, tidak boleh diambil oleh penguasa dan pihak bertanggungjawab menguruskannya.

“Selain asnaf yang lapan, ia adalah satu penyelewengan sekiranya wang zakat diberikan kepada mereka yang tidak sepatutnya. Ia merupakan satu kesalahan dan dosa yang cukup besar,” katanya lagi.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution semalam mendedahkan penyelewengan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM32 ribu.

Jumlah itu dikatakan diguna bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.

Ia dikatakan bagi membiayai kos guaman dua individu berkenaan kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam kes Qazaf membabitkan kes Fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu didedahkan sendiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah semalam, yang mengakui yuran guaman Jamil Khir dan Che Mat Ali dibayar dengan wang peruntukan berkenaan.

Umno Takut Perhimpunan Bersih


Apakah dia tuntutan penganjur Bersih 2.0 yang dipandang oleh polis, Umno (termasuk Pemuda Umno) serta Perkasa sebagai keterlaluan dan memudaratkan keselamatan negara?

Apakah salahnya membenarkan orang ramai, aktivis masyarakat, pemimpin pelajar dan pemimpin politik berkumpul sebelum berarak di dua tiga batang jalan utama Kuala Lumpur dan menyampaikan memorandum secara aman kepada Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong?

Jalan-jalan Kuala Lumpur pun kerap ditutup untuk acara maraton, lumba basikal, dan pelbagai perarakan lain.

Tidak pula ada laporan polis atau aduan dibuat kononnya peniaga dan pemandu teksi hilang pendapatan.

Kenapa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai dianggap begitu berlainan sekali?

Jangan lupa, jalan-jalan Putrajaya ditutup baru-baru ini untuk menghimpunkan sejuta belia yang Perdana Menteri Najib Razak mahu menggunakannya bagi "mempertahankan" singgahsana kuasa politik negara daripada ditawan oleh Pakatan Rakyat.

Kenapa Umno dan juak-juaknya begitu negatif terhadap Bersih 2.0? Apakah perlunya polis memberikan amaran untuk "bertindak tegas" terhadap mereka yang menyertai perhimpunan ini?

Apakah bezanya perhimpunan ini dengan puluhan himpunan-himpunan yang dianjur oleh PAS, Umno, Perkasa dan pertubuhan lain di kedutaan Amerika Syarikat, Britain setiap kali isu Palestin diperjuangkan.

Bersih 2.0 bukanlah tunjuk perasaan untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana yang didakwa oleh Muhyiddin.

Dan ia jauh sekali untuk mengalih pandangan rakyat daripada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim.

Bersih 2.0 adalah insiatif pertubuhan bukan kerajaan yang dipimpin oleh peguam Ambiga Sreenevasan, seorang aktivis yang mendokong keluhuran Pelembagaan dan hak asasi manusia.

Benar, Bersih disokong oleh parti-parti pembangkang.

Namun adalah satu hakikat juga bahawa Ambiga telah beberapa kali menggesa parti-parti BN untuk turut serta menyokong perhimpunan ini kerana :

1. Perhimpunan adalah secara aman

2. Seluruh rakyat mahukan pilhanraya yang telus dan adil, dan parti politik harus memberi sokongan kepada tuntutan ini

3. Semua pihak mahu melihat SPR lebih professional dalam isu-isu seperti tempoh kempen minimum 21 hari, penggunaan dakwat kekal untuk mengatasi masalah pengundian bertindih dan pendaftaran automatik pengundi mencapai umur 18 tahun.

Tidak ada satu pun dalam tuntutan ini yang boleh dikatakan memihak kepada pembangkang mahu pun pemerintah.

Tidak ada satu pun dalam desakan pada perhimpunan Bersih 2.0 akan memberikan sebarang kelebihan kepada Umno mahupun PAS dalam mempengaruhi citarasa pengundi Melayu.

Malaysia jauh daripada ambang kebangkitan rakyat yang menumbangkan Hosni Mobarak di Mesir dan lebih jauh lagi daripada sebarang serangan NATO seperti yang berlaku di Libya.

Namun secara jujur, apakah BN beranggapan rakyat tidak mempunyai sebarang rungutan tentang cara Suruhanjaya Pilihanraya mengendalikan pemilihan di negara ini?

Selepas 12 pilihanraya umum, rasanya tidaklah keterlaluan untuk berharap rakyat tidak lagi diselubungi dengan undi pos yang mencurigakan, atau pengundi hantu dalam daftar pemilih.

Begitu juga dengan perpindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Namun ini semua berlaku dan kadar amalan-amalan ini berleluasa menjelang PRU ke-13 amat membimbangkan pihak-pihak di sebalik penganjuran Bersih 2.0.

Selepas lima dekad kita mengurus negara sendiri, masih berlaku kes "bekalan elektrik" boleh terputus tiba-tiba apabila calon Pakatan Rakyat mendahului pengiraan dengan lebih 1,000 undi.

Bekalan elektrik pulih sejam kemudian dan calon BN menang dengan 58 undi, dibantu oleh undi pos.

Lebih mengejutkan Pegawai Pilihanraya mengambil keputusan tidak perlu diadakan pengiraan semula walaupun undang-undang memperuntukkan keperluan itu.

Ini berlaku di Senadin, Miri pada pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.

Undi pos dikatakan membantu Umno-BN menang di sekurang-kurangnya 25 kerusi parlimen dalam PRU yang lalu dan menjadi kebimbangan paling besar gagasan pembangkang untuk PRU ke-13.

Penambahan mendadak jumlah undi pos amat mencurigakan, hampir enam ribu di Pulau Pangkor, 10 ribu di Setiawangsa.

Di Kok Lanas, Kelantan, hampir 500 isteri prajurit didaftarkan sebagai pengundi pos tanpa pengetahuan mereka.

Mereka tidak mengisi Borang A iaitu borang perpindahan daripada pengundi biasa kepada pengundi Pos, namun pendaftaran itu diterima oleh SPR.

Nama mereka hanya dikeluarkan daripada senarai pengundi pos setelah PAS membuat bantahan dan menuntut SPR menjalankan siasatan.

Hujah yang dilazim diberikan oleh Umno-Barisan Nasional adalah jika SPR tidak adil dan cenderong kepada pemerintah, mana mungkin pembangkang boleh menang besar pada PRU yang lalu.

Hujah balas ialah, jika SPR memang adil dan berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawabnya, maka negara sudah pun ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon-calon Pakatan tidak mempunyai pilihan kecuali memastikan mereka mendapat sekurang-kurangnya 55 peratus daripada jumlah undi untuk memastikan pengiraan undi tidak dimanipulasi.

Ini satu tanggungjawab yang amat berat kerana lawan Pakatan Rakyat dalam PRU bukan parti Umno-BN semata-mata.

Pakatan Rakyat sebenarnya berdepan dengan parti Umno-BN yang disokong dengan segala wang rakyat, kemudahan awam, institusi kerajaan dan jentera media arus perdana.

Bagi Umno-BN, tidak ada batas untuk menggunakan segala kelebihan kerajaan pemerintah untuk agenda politiknya, termasuk Suruhanjaya Pilihanraya.

Apakah SPR mahu sekali lagi tergolong sebagai sebahagian daripada aparatus BN untuk memenangi PRU yang akan datang?

Biarlah Himpunan Bersih 2.0 menzahirkan harapan rakyat yang mahu SPR melaksanakan amanahnya secara adil, telus, dan berkecuali dalam mengendalikan pilihanraya demi masa depan negara tercinta ini.

Selasa, 21 Jun 2011

Rakyat perlu dapat kembali hak mereka, gugur kuasa PM dan Peguam Negara – Ku Li


Ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar pemusatan kuasa di pejabat Perdana Menteri dan Peguam Negara dikaji balik agar kepentingan rakyat jelata tidak terus terhakis sebagaimana disaksikan sejak tiga dekad lalu.

Dalam pandangan yang lantang terbaru ini, Ahli Parlimen Gua Musang (gambar) itu berkata, cabaran pada hari ini ialah meneliti kembali pemusatan kuasa di tangan individu tertentu termasuk perdana menteri dan mengembalikan persekitaran politik yang “imbang dan periksa” demi rakyat menikmati amalan demokrasi yang tulen.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mendapatkan balik hak-hak kita dalam (negara) demokrasi, bahawa kuasa dan jawatan adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan untuk kepentingan peribadi ataupun sebagai satu peluang untuk memperkayakan diri.

“Kita, sebagai rakyat yang aktif dalam politik dan bertanggungjawab, perlu menekankan semula konsep obligasi sosial dan tanggungjawab awal ke atas mereka yang mahukan jawatan politik. Kuasa ada tugas, bukan satu jawatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perak Lectures anjuran Perak Academy di Taiping malam kelmarin.

Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan juga perlu memikirkan semula dasar-dasar ekonomi negara ini khususnya dalam memfokus objektif nasional yang sangat memerlukan tindakan segera.

“Dasar ekonomi bukan hanya mengenai penjanaan kekayaan tetapi juga memerlukan satu dimensi moral yang mengambil kira kebaikan kesemua rakyat sebagai satu keutamaan berbanding keuntungan (semata-mata),” kata beliau dalam ucapannya yang secara panjang lebar menyentuh perubahan dalam keutamaan negara sejak tiga hingga empat dekad lalu berbanding teras mesej disampaikan ketika perisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada 1957.

“Falsafah yang menjadi panduan ialah tanggungjawab (pemegang) jawatan awam. Jawatan awam dilihat sebagai satu tugas, bukan satu peluang (mencari kepentingan diri).

“Jawatan awam juga sebahagian daripada komitmen politik untuk mewujudkan satu Malaysia yang adil, saksama, kohesi dan seimbang,” kata beliau sambil menambah, elemen-elemen itu disepadukan oleh keperluan tanggungjawab turun-temurun bagi mereka yang akan menggantikan kepimpinan pada masa-masa mendatang.

Justeru kata Tengku Razaleigh, salah satu kerugian besar dalam dunia pemegangan jawatan awam dan politik di Malaysia pada hari ini ialah kehilangan tanggungjawab turun-temurun ini atau yang bersifat generasi.

Katanya, setiap tindakan dan pendekatan kelihatan dikelilingi oleh sikap tamak dan keinginan mahu menjadi bilionair, yang turut membawa kepada piramid kroni dalam parti-parti politik pemimpin yang memerintah dan sekutu-sekutu dalam bisnes.

“Ia kombinasi hierarki kroni politik dan kroni bisnes yang membawa kepada pemusatan kuasa dalam kepimpinan politik semasa dan di pejabat Perdana Menteri,” kata Ketua Umno Gua Musang ini, yang pernah menyaingi Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada 1987.

Dr Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 dan kemudian oleh Datuk Seri Najib Razak sejak April 2009.

Sehubungan itu kata Tengku Razaleigh, pemusatan kuasa di tangan satu individu telah membawa kepada manipulasi sistem politik iaitu institusi-institusi kuasa termasuk media.

Banyak media sama ada akhbar atau stesen televisyen dimiliki oleh parti-parti politik teras dalam Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

Dakwaan sebelum ini menyebut bidang kehakiman turut hilang kebebasan ketika era kepimpinan Dr Mahathir, tetapi perdana menteri keempat itu menafikan perkara tersebut banyak kali.

“Sebagai pertukaran kepada pemusatan kuasa, sikap tamak dan kepentingan peribadi digalakkan menerusi (kepimpinan melalui) teladan dan dalam topeng kesetiaan kaum yang sewajarnya menerima ganjaran,” katanya.

Bertolak daripada itu, Tengku Razaleigh berkata, persekitaran ini wujud di semua parti dalam struktur kuasa yang ada sekarang.

“Situasi ini adalah sesuatu yang sangat bahaya dan sukar untuk dipatahkan sebab pemusatan kuasa sudah wujud sejak tiga dekad lalu,” kata pemimpin kelahiran Kelantan ini.

Tengku Razaleigh juga menarik perhatian bahawa persekitaran itu juga membawa gaya kepimpinan politik “talam dua muka” dan “cakap angin” — seolah-olah mempamerkan kepimpinan ‘cakap tak serupa bikin’.

Malah menurutnya, sikap sedemikian membawa politik yang menggalakkan pendekatan atau amalan mengaburkan maklumat.

“Tema yang ketara ialah polisi menggunakan (elemen) perkauman dan agama di satu pihak dan bercakap mengenai perpaduan di pihak lain dengan menjadikan rakyat sebagai tebusan dalam usaha kekalkan status quo kuasa.

“Akibatnya, kebimbangan mengenai perkauman dan agama mencengkam setiap aspek kehidupan, dalam politik, ekonomi, pendidikan dan pekerjaan, sedangkan realiti semasa tiada kaitan dengan agama atau kaum,” kata beliau. -The Malaysian Insider

Gaji Dan Elaun: Kenapa Potong Subsidi Rakyat?






















Ini apa yang Menteri dapat ? betul ke ? renungkan lah .....

1. Bercuti keluar negara sekali setahun terutama selepas persidangan Dewan Negara
- semua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan termasuk tiket penerbangan, hotel, duit poket sebanyak RM50,000.00. Kalau tidak bercuti keluar negara seorang menteri boleh menuntut sebanyak RM50,000.00 tanpa resit.

2. Bil letrik percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

3. Bil Air percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

4. Bil telefon percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

5. Peruntukan perkakasan dapor/perhiasan rumah dll boleh dituntut setahun sekali sebanyak RM40,000.00

6. Sebuah kereta Mercedes S320, di lengkapi dgn telefon bimbit,satu pemandu,minyak percuma.Kalau guna khidmat pemandu kementerian, dapatlah duit percuma.(perdana sebagai kereta rasmi semata-mata)

7. Semua pemberian derma seperti kepada perkahwinan, kematian,atau pemberian kepada badan kebajikan kebajikan boleh dituntut.

8. Boleh mengadakan rumah terbuka setiap hari raya, segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Kebiasaan Menteri menuntut sebanyak RM400,000.00

9. Setiap menteri biasanya tuntutan mereka sebanyak RM45,000.00 semua elaun perbelanjaan tidak termasuk elaun-elaun dalam slip pendapatan bulanan.

Jadi, tunggu apa lagi, semua pakat turun pada 9 Julai ini - ajak semua kawan-kawan dan saudara mara.

cheguBard

Ruang Udara Malaysia Diceroboh Pesawat Perang Singapura?

KudaRanggi | Memeranjatkan!


Itulah yang dapat dikatakan apabila membaca jawapan bertulis Menteri Pertahanan Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada soalan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat. 

Pesawat perang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah menceroboh ruang udara Malaysia sebanyak 2,508 kali sejak tahun 2008. Dalam tahun ini sahaja, iaitu dari Januari hingga Mei, RSAF menceroboh sebanyak 19 kali.

Apa tindakan Angkatan Tentera Malaysia? Kita tidak tahu kerana Zahid hanya menyatakan bahawa Malaysia telah dan sedang menangani pencerobohan tersebut melalui 'bantahan-bantahan diplomatik'. Sekali lagi kita katakan ia amat memalukan negara dan rakyat.

Apakah kemampuan pertahanan udara kita begitu lemah sehingga sebuah negara asing boleh dan terus mencerobohi ruang udara kita tanpa tindakan tegas?

Khairy, yang terkejut dengan pendedahan itu berkata pencerobohan ruang udara Malaysia oleh RSAF melibatkan kedaulatan negara, walaupun ia hanya berlaku sekali.

Beliau mahu Kementerian Pertahanan  memberi penjelasan lanjut memandangkan pihak Singapura jauh lebih tegas dan berwaspada dalam melindungi ruang udara mereka.

Katanya apabila jet-jet pejuang dan helikopter Malaysia mendekati ruang udara Singapura, helikopter perang dan jet pejuang mereka akan lantas ke udara dan siap siaga untuk menangkis jika kita memasuki ruang udara mereka.

Khairy berkata bantahan diplomatik tidak mencukupi walaupun kita melakukannya sejak 2008, ia jelas tidak menyekat atau menghalang RSAF daripada terus mencerobohi ruang udara Malaysia.

Saya ingin tahu sama ada ATM terutama TUDM mempunyai keupayaan atau kelengkapan canggih untuk menagkis serangan udara, jika ianya berlaku, memandangkan kita hanya mampu membuat bantahan diplomatik apabila ruang udara dicerobohi oleh RSAF sebanyak 2,508 kali.

ATM sepatutnya menempatkan kelengkapan menangkis serangan udara termasuk peluru berpandu bumi-ke-udara, jika kita memilikinya, atau sekurang-kurangnya meriam penangkis pesawat di Johor sebagai satu amaran kepada RSAF agar tidak mencerobohi ruang udara Malaysia.

Malaysia tidak boleh selama-lamanya 'beralah' tetapi mesti memperlihatkan ketegasan dan kesungguhan dalam menangani sesuatu isu terutama yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Saya tertarik melihat jawapan Zahid mengenai pencerobohan oleh RSAF; iaitu pada tahun 2008 sebanyak 985 kali, 2009 iaitu paling banyak, 1,286 kali, 2010 sebanyak 218 kali dan 2011 dari Jan-Mei sebanyak 19 kali. Tiada angka yang diberi sebelum itu, mungkin tiada pencerobohan atau mungkin tidak dikesan oleh pihak pertahanan Malaysia.

Hati kecil saya tertanya-tanya sama ada pencerobohan oleh RSAF akan berlaku sekiranya Tun Dr Mahathir masih PM Malaysia. Saya berpendapat Singapura tidak berani untuk mencerobohi ruang udara Malaysia atau jika adapun mungkin jumlahnya terlalu sedikit.

Saya tidak mahu menyatakan bahawa pencerobohan sebegitu banyak berlaku kerana kepimpinan Malaysia tidak tegas atau lemah, walaupun itu satu kemungkinan dan itulah yang mungkin dirumuskan oleh rakyat. 

Oleh itu, pemimpin Malaysia mesti memperlihatkan keberanian dan ketegasan dalam menangani isu keselamatan dan kedaulatan negara terutamanya pencerobohan ruang udara oleh RSAF atau mana-mana pasukan bersenjata asing. Jika perlu lepaskan tembakan amaran sama ada melalui sistem pertahanan udara daratan atau oleh pesawat pejuang, lakukannya demi mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara.
Related Posts with Thumbnails