Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan  tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang  Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan meluluskan  lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010.
Hal ini sudah jelas  mendapat tentangan rakyat sejak cadangan pertamanya tahun lepas. Namun  kali ini ia berbangkit lagi dengan alasan bahawa kerajaan gagal  membanteras aktiviti sindiket perjudian haram. Alasan ini dengan  sendirinya membuktikan kelemahan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan  kerajaan. Bila sudah gagal mereka keluarkan lesen untuk menghalalkan  pula.
Kempen memerangi dadah masih diteruskan walaupun belum  berjaya menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah. Dadah  diistihar sebagai musuh negara. Kenapa selepas bertahun-tahun gagal  membasmi dadah hingga ke akar umbi Kerajaan tidak mengeluarkan lesen  pengedaran dadah pula.
Kerajaan kata dadah itu merosakan rakyat  dan menjadi ancaman kepada negara kerana menyebabkan ketagihan serta  dorongan melakukan jenayah. Apakah judi tidak memainkan peranan yang  sama. Berapa ramai rakyat Malaysia yang jadi kaki judi mengabaikan  keluarga mereka, malah ada yang sanggup jadi penjenayah untuk  mendapatkan modal berjudi. Sepatutnya judi diistihar sebagai musuh utama  negara juga.
Rakyat Kelantan khususnya pasti bersyukur dengan  kekalahan Umno dan Awang Adek dalam pilihanraya lalu di negeri itu. Jika  beliau menang dan Umno rampas kerajaan Kelantan, pastilah beliau yang  kononnya mahu diangkat menjadi Menteri Besar akan menjadikan Kelantan  sebagai Negeri Serambi Las Vegas bukan lagi Serambi Mekah.
Disebabkan  gagal di Kelantan beliau yang mendapat peluang jadi Menteri melalui  ehsan Najib mahu jadikan Malaysia pula sebagai serambi Las Vegas. Tak  dapat Kelantan, satu negara diperjudikannya.
Mungkin tindakan ini  terdorong dek peluang yang dinikmati Singapura yang baru-baru ini  mendapat suntikan pelaburan sebanyak USD 5.7 Bilion dari Las Vegas Sand  Corp yang mahu membina sebuah Resort Perjudian mewah dinegara itu bagi  menyaingi Genting Highland. Projek Marina Bay Sand itu dijangkakan  mendatangkan pulangan USD 2 Bilion setahun dan menjadi antara sumber  kewangan baru bagi Kerajaan Singapura.
Oleh itu, Awang Adek cuba  menunjukan Malaysia lebih terbuka dari Singapura dengan harapan syarikat  Perjudian antarabangsa berminat membuka resortnya di Malaysia pada masa  akan datang. Krisis kewangan global menjadikan pemimpin Umno buta mata,  dan sanggup mengambil apa sahaja peluang untuk mengaut keuntungan bagi  membiayai projek-projek politik yang mereka janjikan kepada rakyat sejak  PRU-12.
Tahun ini usia Umno 64 tahun, bermakna sudah lebih 64  tahun mereka bergelumang dengan perjudian. Di awal penubuhannya  berbondong-bondong Ulama' dan Ustaz-Ustazah keluar dari Umno menubuhkan  PAS kerana kedegilan pemimpin Umno yang tekad menjadikan loteri  kebajikan dan pelbagai jenis judi sebagai aktiviti ekonomi mereka hingga  ke hari ini.
Hari ini Umno masih bersandarkan hasil judi untuk  terus berdiri megah di PWTC. Lihat sahaja senarai pemegang saham dan  ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat judi dalam negara. Malah, bila  sebut pasal tokoh pelaburan judi dalam Umno rakyat akan terbayang wajah  Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.
PAS berharap  agar rakyat membuka mata dan bangkit menolak dasar-dasar perjudian yang  cuba dihalalkan Umno. PAS yakin, tanpa duit hasil judi, ekonomi negara  ini mampu melangkah jauh ke hadapan.
Ust. Idris Ahmad
Ketua  Penerangan PAS Pusat



