Jumaat, 28 Januari 2011

Laporan CNN bukti Najib fobia dengan kemaraan rakyat

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Najib Razak mengadu kepada kerajaan Arab Saudi dengan mendakwa dua putera kanan kerajaan tersebut, membiayai Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, menunjukkan Perdana Menteri itu, ketakutan dalam berdepan kemaraan rakyat.
Ketakutan Najib itu terserlah dalam laporan Cable News Network (CNN) bertajuk “Saudis discover new funding channels for Taliban, al-Qaeda”, yang disiarkan beberapa jam lalu.
Sedangkan, laporan risikan Arab Saudi sebelum ini mendapati tiada bukti mana-mana pegawai negara itu membiayai Anwar berdasarkan siasatan sulit yang dibuat kerajaan itu.
“Saya tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmah saya. Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin perubahan yang bakal melanda.
“Mereka sedar rakyat Malaysia mulai mual dengan segala macam kebobrokan. Kepimpinan Umno Barisan Nasional (BN), sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.
Najib pada tahun lalu dilaporkan memberi tekanan kepada Arab Saudi bagi menyiasat dakwaan bahawa Anwar ada menerima dana dari negara teluk untuk kempen pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden Umno itu didakwa mengadu kepada kerajaan Arab Saudi berikutan dua putera kanan negara itu terbabit dengan pemberian dana berkenaan.
Anwar berkata, laporan itu memperlihat reaksi Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat yang saban hari membina sokongan rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari kepincangan pentadbiran BN yang lemah mentadbir negara dan tiris akibat rasuah yang membarah.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, Buku Jingga adalah dokumen mengandungi saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari kerakusan dan ketidakcekapan pimpinan Umno BN hingga menyebabkan Najib berasa takut.
“Najib sedar Buku Jingga mendobrak ilusi upaya pemulihan yang didendangkan Umno BN kepada rakyat.
“Akibat tidak mampu berdebat secara terbuka dalam isu ekonomi negara, Najib mula menyerang soal peribadi sedangkan hasrat debat terbuka itu semata-mata mahu menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Desakan Khalid Letak Jawatan Bukti Umno-BN Semakin Hancur

Suara Keadilan |

faekah1Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Noh Omar yang mahukan YAB Dato' Menteri Besar meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor kononnya telah gagal mendapat 2/3 undi pada 24 Januari lalu, sememangnya sudah diduga.

Kenyataan yang dilakukan tanpa berpandukan kepada fakta dan undang-undang menampakkan kedangkalan ilmu seseorang. Malang sekali ia dikeluarkan oleh seorang yang masing-masing bergelar Timbalan Perdana Menteri dan menteri kanan Persekutuan.

Pelajar undang-undang pun maklum bahawa mengikut Perlembagaan, hanya satu sebab sahaja yang memberi alasan untuk memaksa seorang ketua kerajaan meletakkan jawatan. Ini disebut dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana apabila ketua kerajaan berkenaan hilang sokongan majoriti dalam Dewan.

Peruntukan yang sama diulang oleh semua undang-undang tubuh negeri di Malaysia. Jelas di Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Ia bukan sekadar majoriti mudah atau majoriti biasa walaupun ia bukan majoriti dua pertiga. Sokongan yang miliki Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah 34 daripada 55 ahli Dewan.

Kita tidak hairan apabila kedua-dua menteri tersebut sanggup merendahkan tahap pengetahuan kerana Umno mahu lari dari isu pokok yang sepatutnya menjadi asas perbincangan. Rakyat jelas melihat bagaimana Umno sanggup lari dari tanggung jawab mempertahankan kedaulatan negeri dan Raja.

Malu dengan tindakan biadab mereka tersebut lantas cuba memesongkan dan mengalihkan isu sebenar dengan meminta sesuatu yang sememangnya mereka tidak mempunyai hak. Pada mereka semuanya adalah politik kampungan, sedang kita begitu serius dalam agenda mempertahankan maruah negeri yang mendapat dokongan rakyat. Kita bersedia menyelesaikan kerenah Persekutuan sejak 1993 yang gagal dikesan oleh Umno Selangor sejak sekian lama.

Pindaan Perlembagaan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri gagal kerana Umno-BN enggan menyokong. Kami bersangka baik yang mereka komited dengan cita-cita mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja. Rupa-rupanya Umno-BN hanya menanam tebu di bibir. Mereka hipokrit; bertopengkan "rakyat didahulukan" dan "daulat tuanku" namun membenarkan kedaulatan negeri dirobek Persekutuan dan menyokong Raja hanya apabila ia sesuai dengan kepentingan mereka.

Meskipun kita gagal meminda Perlembagaan namun kita masih melihatnya sebagai satu hikmah. Rakyat dapat melihat dengan jelas kepura-puraan Umno selama ini. Apatah lagi perilaku Ketua Pembangkang Umno pada hari tersebut tidak ubah seperti badut sarkis yang membuat lawak di sepanjang sidang Dewan.

Bukan sahaja amat memalukan dengan kehadiran tetamu luar termasuk dari pihak istana, lebih menjolok mata lagi ia telah merendahkan martabat institusi Dewan, institusi tertinggi negeri Selangor. Umno akan selamanya terhalang dari segi moral untuk memperkatakan soal mempertahan maruah negeri dan rakyat Selangor apatah lagi kedaulatan Raja-raja Melayu.

Hakikatnya meskipun Pakatan Rakyat sedih kerana gagal mengembalikan hak negeri dan Sultan namun Umno jauh lebih mengecewakan apabila wakil-wakil rakyat mereka telah menunjukkan mutu pemikiran dan hujah yang sangat rendah. Apatah lagi bukan sahaja rakyat Selangor yang melihatnya tetapi seluruh dunia kerana sidang mesyuarat tersebut disiar secara langsung ke seluruh dunia. Walau apapun, Pakatan Rakyat di Selangor tetap bersyukur dengan ketetapan Yang Maha Esa.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADAMENTERI BESAR SELANGOR

Laporan Polis Terhadap Chua Soi Lek, Hina Islam

Anggota Panel SPRM Diserang

Phang: Saya diserang kerana minta AG bersihkan nama



KUALA LUMPUR, Jan 28:
Mengatakan bahawa beliau kini diserang bertubi-tubi dari semua arah, Tan Sri Robert Phang Miow Sin (gambar) terpaksa meletakkan jawatan sebagai anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Phang mendakwa bahawa beliau telah menjadi subjek “serangan berbisa” kerana meminta Peguam Negara, Haji Abdul Gani Patail untuk membersihkan namanya dalam beberapa kes berprofil tinggi.

Antaranya skandal kerugian Penerbangan Malaysia (MAS) dan pemergiannya ke Mekah untuk menunaikan haji tahun lalu ditaja oleh Shahidan Shafie, seorang proksi bekas presiden MAS, Tajuddin Ramli.

“Dengan sekadar menyeru Peguam Negara Gani Patail untuk bertanggungjawab ke atas semua kontroversi yang sudah berada dalam pengetahuan umum, saya tetiba menjadi subjek kepada serangan berbisa ini,” tulis Phang dalam satu kenyataannya semalam.

Sebelum ini, Phang telah menyeru Gani untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan padanya dalam laman web Malaysia Today mengenai spekulasi hubungan beliau dengan Shahidan sebagai bukti mengapa Gani tidak bertindak terhadap Tajuddin, yang mentadbir MAS sehingga mengalami kerugian terbesar sebanyak RM8 billion meskipun disarankan berbuat demikian oleh bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Ramli Yusof.

Phang juga melahirkan rasa bimbangnya terhadap usaha membersihkan Gani tanpa sebarang penyiasatan oleh SPRM.

“Pada Januari 19, satu blog tanpa nama telah menuduh saya cuba merasuah Ketua Setiausaha sebuah kementerian. Saya kemudian diberitahu bahawa Peguam Negara telah mengarahkan satu kertas siasatan dibuka terhadap saya,” Phang berkata.

Namun begitu, menurut Phang, perkara itu dinafikan oleh Pengerusi SPRM, Abu Kassim Mohamed pada Januari 21.

“Walaupun dengan apa yang telah dimaklumkan oleh Abu Kassim pada saya, akhbar Malay Mail kemudian terus membuat satu laporan bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong telah mendesak SPRM untuk menyiasat saya.

"Malay Mail juga telah memetik kata seorang lagi panel Penasihat SPRM, Megat Najmuddin Megat Khas yang berkata SPRM tidak boleh membenarkan kredibiliti mereka tercalar oleh dakwaan terhadap seorang panel penasihat,” terang Phang.

Menurut Phang, pada keesokan harinya pula, akhbar NST pula melaporkan bahawa NGO Melayu, Perkasa telah membuat satu laporan terhadapnya, menyebabkan kenyataan beliau dirakamkan oleh Pengarah Penyiasat SPRM, Mustafar Ali.

“Saya terkejut kerana ia adalah tidak konsisten dengan apa yang Abu Kassim maklumkan pada saya sebelum ini. Semua ini seperti satu serangan yang dirancang terhadap saya,” kata Phang yang turut menunjukkan “kebetulan” bahawa semua pihak yang terlibat dengan serangan kepadanya berasal dari Sabah.

“Semua serangan pada saya berpaksikan pada sejarah aktiviti bisnes saya di Sabah dan semuanya karut. Ia adalah fakta bahawa AG Gani dari Sabah. Ia juga merupakan fakta bahawa VK Liew dari Sabah. VK Liew adalah Timbalan Nazri Aziz, defakto Menteri Undang-undang kita.

"Bagi saya, mengupas isu ini di tempat awam ialah satu usaha perkiraan dan perancangan untuk memburukkan saya. Ini adalah untuk meletakkan saya bagi perbicaraan awam oleh media di dalam keadaan yang amat tidak adil,” tambah Phang.

Phang juga berkata bahawa beliau mengagak bahawa bukti akan diajukan kepada dirinya dengan cara yang sama sepertimana Ramli Yusof dibicarakan, dan menyindir bahawa kepantasan beliau menjadi sasaran jauh berbanding dengan kelambatan pendedahan awam hubungan Gani dengan Shahidan.

“Saya menganggap semua ini tidak memuaskan dan penuh dengan dwi standard,” dakwa Phang.

“Saya telah mempertimbangkan hal ini dan saya akan mengotakan kata-kata saya. Saya rasa meletakkan jawatan merupakan satu-satu caranya yang betul untuk saya secara ikhlas bagi membantu memudahkan penyiasatan,” umum beliau. | Harakahdaily

Tindakan Soi Lek Bawa Padah Kepada BN


Harapan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti besar — sekurang-sekurangnya 5,000 undi — agak mustahil ekoran kempen DAP yang mula mendapat sambutan luar biasa.

BN meletakkan sasaran untuk menggandakan majoriti berbanding tahun 2004.

The Malaysian Insider difahamkan Umno yang yakin untuk memenangi majoriti pengundi Melayu di kawasa itu mula menyalahkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana didakwa gagal mengawal momentum yang dibawa DAP dalam mendapatkan sokongan pengundi Cina sejak hari penamaan calon Sabtu lalu.

“Saya rasa mereka telah memperkecilkan pengaruh Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) terhadap pengundi Cina, mereka ingat orang tidak ramai dan tidak seperti ceramah PAS dan PKR yang dihadiri penduduk tempatan,” kata seorang pegawai Umno

Kit Siang dan anak lelakinya Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menghabiskan masa satu hari di kawasan Tenang dengan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kempen ceramah yang mereka sertai.

Kedua-dua ceramah yang diadakan pada malam Isnin dan Selasa lalu dianggarkan disertai kira-kira 300 penduduk tempatan, bilangan yang agak besar bagi mana-mana ceramah yang diadakan di Tenang.

Kini DAP yakin calon PAS Normala Sudirman boleh memenangi sekurang-kurangnya 60 peratus undi Cina di Tenang. Pada pilihan raya umum 2008 PAS meraih sebanyak 58 peratus undi Cina.

“Sekarang kami mempunyai kira-kira 60 hingga 65 peratus dan kami sasarkan ia meningkat sehingga 70 peratus, ia masih sukar kerana dibeberapa kawasan kami tidak begitu kuat,” kata Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

DAP menganggarkan undi Cina di Tenang masih belum melebihi 30 peratus sebaik sahaja kempen bermula, ia bagaimanapun membuat Umno terdesak untuk mendapatkan lebih banyak sokongan pengundi Cina.

“Masalahnya kami tidak boleh berbincang dengan parti komponen bagi situasi di kawasan Cina.

“Tanpa sokongan kuat daripada pengundi Cina, ia agak mustahil untuk dapat 5,000 undi majoriti,” kata seorang lagi pegawai Umno.

MCA berada di bawah tekanan untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Cina di kawasan Tenang yang merupakan kubu kuat BN.

Pada 2004 BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,517 undi tetapi jumlah itu berkurang kepada 2,492 pada pilihan raya umum 2008 yang mana majoriti besar undi Cina memihak kepada pembangkang.

Sementara itu, tinjauan The Malaysian Insider mendapati pendirian MCA yang mahu membangkitkan isu dasar negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil itu turut mendapat bantahan pengundi Cina.

Pengundi Cina beranggapan tidak wajar MCA memainkan isu negara Islam dan mereka mahu agar MCA menghentikan daripada memainkan isu tersebut.


Sebelum Dr Chua berkata mahu menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu.

Dr Chua berkata akan terus menyerang PAS dengan memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.

Tindakan MCA itu bukan sahaja membangkitkan kemarahan orang Islam tetapi orang bukan Islam juga.

Kempen pilihan raya kecil DUN Tenang sudah masuk hari keenam. Hari pengundian Ahad ini.

“Bagi saya Islam tiada masalah, Islam adalah agama rasmi jadi kenapa mesti mau (mahu) mainkan isu ini?

“Pasal itu salam, saya tidak suka bila MCA mainkan isu ini, kita Malaysia ada macam-macam agama... kita tidak boleh paksa antara satu sama lain.


“Yang penting kita hormat agama yang ada, kenapa mesti nak buat macam ini,” kata pengundi Chai Yun Cong, 45.

Menurut Chai, sekiranya PAS memerintah negara sudah pasti parti Islam itu akan menjaga kebajikan dan perpaduan semua kaum di negara ini.

“Kita tiada masalah tapi kenapa dia (Dr Chua) buat macam ini, dia mahu takutkan kita (orang Cina).

“Dia cakap macam-macam (pasal PAS) tapi PAS tiada apa-apa pun, hanya kasi takut orang Cina sahaja.

“PAS bawa Islam, apa yang PAS buat untuk orang Islam. Orang bukan Islam PAS tidak kacau, jadi kenapa mesti takut?”
katanya.

Dia juga berkata PAS adalah sebuah parti yang bersih dan tidak mustahil akan memilih Normala Ahad ini.

“Saya lihat calon PAS bagus, lagipun PAS bersih... tidak amal rasuah. Tentu PAS boleh bantu kami di sini (Tenang).


“Tapi MCA sudah 53 tahun merdeka tapi tidak tolong bangsa sendiri, dia (MCA) hanya tahu cakap sahaja tapi tidak bantu,” kata Chai dengan nada kecewa.

Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa Normala enggan bersalaman dengan pengundi-pengundi lelaki.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.

Sementara itu, seorang lagi pengundi Khoo Khai Loon, 40, berkata MCA perlu menghormati Islam dan mesti menghentikan rancangan tersebut.

“Saya tak suka bila MCA kata mahu cakap pasal agama (Islam), tidak boleh macam ini... Kita duduk dalam pelbagai kaum, kena jaga juga.


“MCA kena hentikan, janganlah sebab nak dapatkan undi (orang Cina) sanggup gunakan agama, kita perlu menghormati setiap agama yang ada,” katanya.

Bagi Lim Chiew Ling, 35, pemilihan Normala sebagai seorang calon PAS-Pakatan Rakyat adalah pilihan tepat kerana bekas guru itu mempunyai kredibiliti dan pandai berpidato punya peluang cerah untuk menang pada pilihan raya kecil kali ini.

“Sikap dia (Normala) yang peramah memang disukai oleh pengundi Cina di sini. Dia ada personaliti yang menyenangkan hati.

“Kita tidak ada masalah siapa pun wakil rakyat yang akan dipilih yang penting dia boleh buat bawa pembangunan dan peluang pekerjaan kepada penduduk di Tenang,” katanya.

Lim juga tidak bersetuju dengan tindakan MCA yang tetap mahu memainkan isu agama dalam kempen pilihan raya kecil.

“Tidak boleh macam itu, MCA kena hentikan... Kita duduk Melayu ada, Cina ada, India pun ada. Kena saling hormat-menghormati.

“Bagaimana kalau ada orang yang mainkan pula agama kita? Mesti kita marah,”
katanya.

Kelmarin Guan Eng mendakwa tindakan MCA yang mahu membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang kerana mahu menghalang orang bukan Islam daripada mengenali Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Beliau berkata tindakan Dr Chua yang mahu menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam semata-mata mahu menimbulkan rasa “ketakutan” kepada pengundi bukan Melayu di DUN Tenang terutamanya orang Cina. -TMI

Umno BN Takut Media Baru Dedah Maklumat


HarakahDaily | Cadangan pindaan memperluas skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) kepada internet hanyalah persiapan awal BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13, kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim.

Beliau yang juga seorang penulis blog politik berkata, cadangan itu sangat tidak masuk akal dan langkah yang mundur ke belakang.

"Apapun alasan yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk meminda Akta Mesin Cetak, saya lihat ianya tidak lebih dari persiapan awal BN menghadapi PRU ke 13," kata beliau.

Khalil yang juga Pengerusi Sekretariat Pakatan Rakyat Perak juga berkata, cadangan kerajaan itu kerana pemimpin BN mula bimbang dengan keberanian pengamal media baru mendedahkan maklumat sebenar kepada pengguna internet.

"Jika dikira dari segi bahan pemberitaan dan segala fakta yang disiarkan oleh blogger Pakatan Rakyat, saya lihat ianya merupakan sesuatu yang bertanggungjawab.

"Kita keluarkan sesuatu yang sebenarnya dan inilah yang membimbangkan pemimpin BN," katanya yang juga Adun Titi Serong.

Tambah Khalil lagi, Malaysia yang mengaku sebagai negara demokrasi seharusnya bersikap terbuka dalam perkara ini dan mencontohi negara lain yang mengamalkan kebebasan bersuara.

"Malaysia sepatutnya malu kepada negara lain yang lebih bersifat terbuka demokrasinya.

"Hak rakyat untuk bersuara di media internet yang hendak dikawal membuktikan demokrasi di Malaysia hampir terkubur," katanya.

Tambahan pula ujarnya, rakyat sudah bosan dengan cara pemberitaan media cetak pro BN yang lebih bersifat mengampu daripada menyatakan kebenaran.

"Media cetak yang pro BN juga berada di tahap lama dan telah lama tidak diminati bahan beritanya yang lebih kepada "ampu sana ampu sini"," katanya.

Beliau juga berpandangan, cadangan itu kerana BN sudah tidak mampu membayar penulis blog pro BN yang meminta bayaran tinggi untuk menaikkan nama mereka.

"Saranan itu juga bagi saya menggambarkan BN sudah letih melayan karenah blogger pro BN yang terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi.

"Apa lagi melihat kepada laman sesawang pro BN banyak yang saya anggap "sampah" dan pengfitnah yang sengaja diada-adakan," katanya.

Sehubungan itu, Khalil menyeru rakyat agar tidak teragak-agak menolak BN pada pilihan raya umum akan datang bagi menghalang mereka daripada terus melakukan tindakan yang tidak munasabah.

"Oleh itu saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak menunggu lama bagi menghentikan pelbagai tindakan yang sudah tidak masuk akal ini," katanya.

Kelmarin, KDN mengumumkan untuk memperluas penguatkuasaan undang-undang ini merangkumi ruang maya termasuk laman web, blog, facebook dan twitter.

Khamis, 27 Januari 2011

Solat Hajat Khas Untuk Calon PAS di PRK Tenang

LABIS, 27 Jan: PAS meminta dan merayu semua ahli dan penyokongnya agar menunaikan solat hajat khas malam ini iaitu malam Jumaat agar calon parti itu berjaya dalam pilihan raya kecil Tenang.

Pengarah Pilihan Raya PAS Tenang, Salahudin Ayub berkata, permintaan itu ditujukan kepada seluruh peringkat organisasi PAS agar menganjurkan solat hajat khusus malam ini.

"Saya memohan agar semua ahli dan penyokong PAS menunaikan solat hajat khas malam ini iaitu pada Jumaat yang mulia ini, memohon agar diberikan kekuatan oleh Allah kepada jentera kita yang sedang bertungkus lumus di Tenang ini yang kini hampir sampai ke garisan penamat.

"Minta pohonkan juga kepada Allah agar perjuangan dan calon kita diberikan perlindungan dari sebarang perbuatan khianat atau rancangan jahat atau sebarang gangguan dari pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Pengundi Tenang akan membuang undi Ahad 30 Januari ini selepas penamaan calon berlaku 22 Januari lalu.

PAS meletakkan Normala Sudirman atau Cikgu Mala (gambar) manakala BN meletak Mohd Azahar Ibrahim atau Tok Ai.

Sehingga ini, segla perancangan jentera PAS berjalan dengan baik bahkan banyak isu-isu yang datang membantu mereka.

Menurut Salahudin, banyak kawasan-kawasan yang selama ini kubu Umno berjaya ditembusi dan penduduk menerima baik kunjungan jentera dan juga calon PAS sendiri.

Sebelum ini, Mazlan Aliman dalam kenyataannya kepada media berkata, berdasarkan beberapa perkembangan baru yang diperolehinya, calon PAS serta jentera Pakatan Rakyat berjaya mendapat reaksi “positif” khususnya di kawasan perkampungan tradisi dan di masyarakat Felda yang sebelum ini sukar ditembusi.

Kampung tradisi yang terdapat di DUN Tenang adalah Kampung Redong, Air Panas dan Kampung Tenang.

“Di kampung tradisi kita mengambil pendekatan 'sentuhan peribadi'. Oleh kerana rumah di kampung tradisi tidak banyak, ia lebih mudah untuk kita terus berjumpa dengan pengundi.

“Perkampungan tradisi tidak terikat dengan badan-badan tertentu. Persepsi mereka berubah tentang PAS yang dikatakan sebagai kumpulan radikal atau ekstrem. Jadi mereka melihat kita berbeza.

“Kita berkampung di sana dan bahkan bila adanya kematian, mereka menyuruh kita memimpin tahlil,” katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas satu sidang media.

Rabu, 26 Januari 2011

Umno Diingat Jangan Perkecil Kebijaksanaan Sultan

KeadilanDaily |

Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pimpinan Umno BN agar jangan sesekali memperkecilkan kebijaksanaan Sultan dan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, tindakan pimpinan Umno BN memainkan isu Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik seolah-olah memperkecilkan minda dan kebijaksanaan sultan dalam menilai sesuatu perkara.

“Raja-raja Melayu dan sultan tahu, siapa yang benar-benar membela dan berjuang mengembalikan hak dan peranan Tuanku. Tindakan pimpinan Umno BN memainkan sentimen ini dengan demonstrasi dan pelbagai kenyataan yang mengelirukan rakyat merugikan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas berucap di Forum Subsidi : Bebankan Negara atau Bebankan Rakyat di Kelab Shah Alam, Shah Alam hari ini.

Sehubungan itu, beliau memuji tindakan kerajaan Selangor yang dipimpin Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berusaha untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kuasa dan peranan sultan di negeri itu.

“Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor yang tetap berusaha mengadakan pindaan undang-undang walaupun berterusan diganggu dan dihalang oleh pimpinan Umno BN.

“Pimpinan Umno BN kononnya berjuang untuk Raja-raja Melayu tetapi merekalah yang menghilangkan kuasa raja-raja Melayu sejak 1993.

“Walaupun usaha untuk meminda undang-undang (perlembagaan negeri) itu tidak berjaya, sekurang-kurangnya ada usaha (kerajaan negeri) ke arah itu,” ujarnya.

Semalam, kerajaan Selangor tidak berjaya meminda undang-undang tubuh negeri bagi mengembalikian kuasa kepada Sultan dan menteri besar dalam pelantikan tiga jawatan tertinggi negeri.

Selepas pengundian dijalankan, hanya 34 ADUN mengundi bersetuju dengan pindaan itu manakala 20 lagi mengundi menentangnya. Kerajaan Selangor memerlukan 38 undi (sokongan 2/3) bagi membolehkan undang-undang itu diluluskan.

BN mempunyai 21 kerusi yang mana kesemuanya menolak cadangan menteri besar itu sekaligus menolak untuk mengembalikan kuasa sultan yang ‘dihadkan’ sejak 1993.

BN desperado di PRK Tenang: kering idea dan meracau tak tentu hala

Hari yang cerah untuk bekerja. Sosok Normala Sudirman atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala kelihatan bersalaman dan beramah mesra menyantuni para pengundi diiringi beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat. Ibu kepada tiga orang anak ini mengambil langkah berani dengan melepaskan jawatan guru yang telah disandangnya sejak 12 tahun lalu, dan menjadi calon PAS untuk pilihanraya kecil DUN Tenang. Tempoh hari kempen yang pendek tidak membantutkan hasrat pendidik ini untuk bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan DUN Tenang sejak hari penamaan calon 22 Januari baru-baru ini.

Dilema Mohd Azhar Ibrahim dan Bebal UMNO Labis

Pilihan raya kecil ini laluan berduri untuk BN. Calon BN DUN Tenang ini pernah kalah dengan teruk dalam pemilihan UMNO Bahagian Labis. Penulis melihat Mohd Azhar Ibrahim menghadapi dua dilema terbesar. Pertama adalah sokongan generasi kedua dan ketiga FELDA yang dilihat berpihak kepada Pakatan Rakyat. Dilema kedua adalah protes senyap UMNO Labis sendiri. Bayangkan bagaimana seseorang yang tiada jawatan dalam UMNO Labis menjadi calon! Perkara ini amat janggal dan menjadi "pantang tok nenek" dalam tradisi pemilihan calon dalam UMNO.


Ya. Calon BN yang mendapat gelaran Tok Ai ini sudah langgar pantang. Rata-rata AJK dan ahli akar umbi UMNO Labis terperanjat dengan keputusan mencalonkan Mohd Azhar Ibrahim (gambar kanan) dan mempersoalkan mengapa Muhyidin Yassin kelihatan obses dengan calon "luar" ini sehingga ada laporan dalaman UMNO mengatakan terdapat markas UMNO yang ditutup kerana protes.

BN desperado: kering idea-meracau?!

Okay...ia adalah pilihanraya kecil, jadi isunya juga kecil-kecil? Tidak sama sekali. "Lelaki tua" yang terbukti terpalit dengan skandal seks iaitu Chua Soi Lek salah perhitungan apabila memainkan isu "salam" Cikgu Mala manakala Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe kelihatan meracau seolah-olah jika PAS menang di Tenang, Malaysia akan jadi sebuah "negara Islam yang ekstrim". Amat memalukan sekali apabila adab bersalam dalam Islam ini gagal difahami walaupun sudah lebih 50 tahun negara mencapi kemerdekaan.

Isu "negara Islam" adalah isu lapuk tetapi tetap disebut oleh Muhyiddin Yassin manakala MB Johor Abdul Ghani Osman kelihatan sangat "concern" dengan hukum "potong tangan orang yang mencuri". Selain itu, Mahathir Mohamad juga menyentuh isu wanita jadi calon PAS padahal Mahathir sudah lupa bahawa Khadijah Sidek pernah menjadi Ahli Parlimen wanita pertama dari PAS yang memenangi kerusi Dungun pada tahun 1959. Rata-rata pemerhati politik bebas melihat isu-isu yang ditimbulkan BN ini tidak lain mencerminkan ketandusan isu dan tidak lebih dari sebuah tindakan desperado. Baca seterusnya..

Merdeka review

Umno Roboh Kedai Peniaga Melayu

Harakahdaily |

LABIS, 26 Jan: Kerana bimbangkan bilik gerakan mereka terlindung oleh sebuah kedai di Felda Tenang, kedai makan milik seorang peniaga ikan telah dirobohkan baru-baru ini.

(GAMBAR ATAS: BONGKAK...Keadaan tapak kedai selepas dirobohkan iaitu gambr pada 23 Januari. Semacam satu penyataan Umno berjaya menjajah tapak ini apabila bendera parti itu dipacakkan sekeliling tapak kedai yang disewa Norehan selepas dirobohkan.)

Kejadian yang berlaku pada 21 Januari lalu itu sampai kini masih tidak boleh dilupakan oleh Encik Norehan, 39 bersama isterinya. Ini kerana, kedai makan petang dan malam ini menjadi sumber rezeki utama bagi keluarga mereka.

Kedai tersebut telah disewa oleh Norehan dan dikendalikan oleh isterinya untuk berniaga kedai makan bermula petang (minum petang seperti goreng pisang, kuih muih dan sebagainya) sehingga malam (masakan panas).

Ia telah dirobohkan pada 20 Januari lepas tanpa pengetahuan mahupun perbincangan dengan Norehan dan isterinya selaku penyewa kedai makan tersebut apatah lagi diberikan pampasan yang sewajarnya.

(GAMBAR: SEDIH...Sampai kini, Norehan sedih dengan apa yang berlaku.)

"Saya penyewa di situ, sepatutnya paling-paling tidak pihak yang ingin merobohkan kedai saya mestilah meminta pandangan dan berbincang terlebih dahulu dengan saya sebagai tuan penyewa kedai," katanya.

Apabila ditanya bagaimana detik-detik situasi perobohan kedai makan tersebut dilakukan, Norehan dengan penuh kesal memberitahu "Jam 2 petang, seorang yang bernama En. Raub datang ke rumah saya dan mengarahkan supaya mengeluarkan barang-barang di kedai segera. Katanya, jentolak sudah siap untuk merobohkan kedai tersebut!," ceritanya.

Selepas bersiap-siap dan bergegas ke kedai makan tersebut, beliau amat terkejut dan sebab sekali apabila mendapati kedainya sudah dirobohkan semuanya! Alatan memasak dan barang-barang yang masih berada di dalam kedainya telah dilonggokkan di satu sudut tidak jauh daripada situ.

Kedai makan yang beroperasi dari petang sehingga malam dan dikendalikan oleh isteri beliau sendiri merupakan sumber penting pendapatan keluarga di samping beliau turut menjadi penjual ikan dan sayur-sayuran di Felda Tenang ini bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

"Kedai saya diroboh tanpa diberi sebarang pampasan atau ganti rugi. Tahu-tahu, dah dirobohkan. Kejam! Saya dan isteri bersusah payah mencari sesuap nasi melalui hasil pendapatan dari kedai makan ini yang sudah beroperasi lebih kurang dua tahun.

"Walaupun sekadar menyewa, saya dan isterilah yang memasang wiring, memasukkan api air, memasang lampu dan kipas dan semua kelengkapan2 tambahan yang lain untuk kesempurnaan kedai makan ini. Belanjanya bukan sedikit," tambahnya dalam nada penuh kesal.


(GAMBAR: HAPUS...Pada 24 Januari, kesan-kesan tapak kedai ini ditimbus dengan batu dan pasir untuk memberi ruang kepada bilik gerakan Umno.)

Menurut Norehan, pendapatan bersih hasil jualan di kedai makan tersebut mampu mencecah RM80 hingga RM100 sehari.

Apabila ditanya beliau lagi, adakah isu perobohan kedai makan ini ada kaitannya dengan Pilihanraya Kecil yang sedang berjalan di DUN Tenang, beliau menjawab;

"Saya tak mahu komen lebih-lebih. Tetapi semua orang di Felda Tenang ini pun sudah sedia maklum bahawa kedudukan kedai saya terletak berhadapan dengan Bilik Gerakan Umno Cawangan Kolam Air. Ada khabar angin menyatakan, petugas-petugas Umno di sini berasa tidak senang apabila Bilik Gerakan mereka terlindung oleh kedai saya ini," beritahu Norehan.

Calon Umno Tenang Lelong Tanah Penduduk Kampung


KENYATAAN AKHBAR

Calon Umno/Barisan Nasional bagi DUN N.05 Tenang telah berjanji kepada para pengundi DUN Tenang untuk berkhidmat kepada penduduk. Beliau berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan,” (rujuk Bernama 19/1/2011)

Beliau juga dilaporkan berkata “ Isu tanah adalah antara masalah utama yang perlu diberi perhatian di Labis. Sebagai bekas penolong pegawai daerah kecil Rengit, Batu Pahat dan pernah bertugas sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat, isu-isu berkaitan pemilikan dan urusan permohonan tanah sering ditimbulkan oleh masyarakat setempat, terutama oleh peneroka Felda dan Felcra”. (lihat Bernama 20/1/2011)

PAS percaya sebelum calon Umno ingin berjanji kepada para pengundi DUN Tenang adalah penting calon tersebut bersikap telus atau dilihat bersikap telus dengan tidak menyembunyikan apa yang beliau telah lakukan kepada seorang rakyat yang lemah, daif dan tidak berdosa semasa beliau diamanahkan menjadi Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

PAS percaya bahawa sebelum mana-mana calon dari mana-mana parti politik ingin meminta rakyat memilih mereka dalam mana-mana pilihanraya adalah penting calon tersebut mengamalkan budaya ketelusan ( transparency ) kerana tanpa ketelusan sudah tentu rakyat tidak akan berupaya untuk membuat satu keputusan yang bermaklumat (informed decision ) dalam memilih calon yang mereka ingin untuk mewakili mereka.

Sukacita dimaklumkan bahawa apa yang PAS ingin dedahkan dalam kenyataan akhbar ini tidak sama sekali tergolong kepada satu serangan peribadi calon Umno sebaliknya apa yang kami ingin dedahkan adalah menyentuh isu integriti dan kelayakan calon Umno bagi mewakili rakyat di DUN Tenang..

Bertolak dari senario di atas, adalah amat malang Umno mahupun calon Umno telah gagal berkongsi dengan rakyat di DUN Tenang tentang fakta-fakta berikut:-

a. Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno yang pernah diamanahkan menjawat jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah disaman pada tahun 2004 oleh Mansor Bin Mohamad di Mahkamah Tinggi Muar melalui Saman Pemula No : 24 ( L ) – 674-2004 berkaitan kes siasatan hartanah HS ( M ) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat yang dijalankan/dikendalikan oleh calon Umno pada 18/9/2003.

b. Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan satu Perintah Jualan ke atas hartanah Mansor bin Mohamad telah dibuat oleh beliau pada 18/9/2003.

c. Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat mengakibatkan hartanah Encik Mansor Bin Mohamad telah dengan secara tidak sah dilelong pada 1/12/2003 dengan harga RM 70,000-00.

d. Bukankah calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Segamat telah dengan secara cuai mengeluarkan Perintah Jualan hartanah Mansor bin Mohamad tersebut tanpa pengetahuan Mansor Bin Mohamad yang mengakibatkan beliau menjadi mangsa kepada satu kezaliman iaitu hartanah beliau dilelong kepada pihak ketiga.tanpa pengetahuan beliau.

e. Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno tersebut selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan nama baik dan intergriti Pejabat Pentadbir Tanah Segamat terjejas dengan teruk sekaligus menghakis keyakinan rakyat kepada ketelusan Pejabat Tanah Daerah Segamat mengurus dan mengendalikan hartanah rakyat. .

f. Bukankah Yang Arif Hakim Dato’ Asmadi Bin Haji Asnawi, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar telah pada 29/1/2008 memutuskan membenarkan tuntutan Mansor Bin Mohamad ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat dengan kos akibat dari kecuaian dan kelalaian mengedalikan isu tersebut .

Di atas fakta-fakta yang kami nyatakan di atas persoalan besar timbul mengapakah calon yang telah dibuktikan oleh Mahkamah cuai dan lalai ( reckless and negligent ) dalam melaksanakan tugas awam yang diamanahkan kepada beliau masih lagi dicalonkan oleh Umno bagi mewakili rakyat/pengundi DUN Tenang. Tidakkah tindakan Umno ini menunjukkan bahawa Umno tidak menghiraukan isu integriti dan kompetensi seorang calon bagi mewakili rakyat atau pengundi DUN Tenang.

Pendedahan ini menunjukkan bahawa sejak dari awal Umno memang dengan sengaja menyembunyikan fakta –fakta yang kami bentangkan di atas kerana Umno sedar rakyat di DUN Tenang akan menolak calon Umno tersebut jika fakta-fakta ini diketahui oleh rakyat di DUN Tenang.

Berbekalkan track record buruk calon Umno tersebut kami sesungguhnya percaya bahawa rakyat di DUN Tenang tidak akan sama sekali bersedia ditipu dengah janji manis calon Umno bahawa beliau bersedia menyelesaikan permasalahan tanah di Labis sedangkan fakta dan keterangan menunjukkan secara jelas bahawa tanah rakyat yang lemah dan tidak berdosa telah dilelong dengan secara tidak sah oleh beliau kerana kecuaian kelemahan dan ketidakcekapan beliau menjalankan tugasnya sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

Bagi rakyat di Dun Tenang kami menyeru janganlah kita gadaikan maruah dan masa depan kita dengan memilih calon yang telah dibuktikan Mahkamah menganiayai rakyat yang lemah dan tidak berdosa.

Sidang Akhbar PAS PRK N.05 Tenang
Hj Dzulkefly Ahmad,
Timb.Pesuruhjaya PAS Johor
Merangkap Pengarah Operasi PRK N.05 Tenang
25 Jan. 2011

Pulau Pinang tubuh Yayasan Islam

Mohd Sabri Said |
Harakah Daily | PENANTI, 21 Jan: Kerajaan negeri meluluskan penubuhan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang tetapi lokasinya belum dipastikan lagi, kata Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman.

Jelasnya, namun berapa peruntukan belum lagi dinyatakan dengan jelas kerana ia dalam proses mengenal pasti tanah dan perbelanjaan keseluruhan.

"Masyarakat Islam sekali lagi menerima berita gembira apabila Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Yayasan Islam Negeri Pulau Pinang. Penubuhan itu sekaligus boleh meningkatkan syiar Islam selepas Kerajaan Pakatan Rakyat memberikan kenaikan peruntukan untuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) berbanding di era pentadbiran Barisan Nasional (BN), " ujarnya ketika ditemui di majlis penyampaikan anak kunci rumah kepada warga emas Encik Taha Daud di Tanah Liat, Bukit Mertajam pagi tadi.

Menurut beliau, pembentukan Yayasan Islam Pulau PInang akan melaksanakan mana-mana tugas yang tidak dimainkan oleh Maipp mahupun Jabatan Agama Islam Pulau PInang (Jaipp).

Golongan profesional akan dipanggil mengendalikan Yayasan Islam Pulau Pinang ini selain mencari perbagai kaedah untuk diketengahkan sebagai cadangan peranan yayasan itu kelak.

"Yayasan itu nanti bukan menjalankan tanggungjawab yang bertindih dengan Maipp dan Jaipp sebaliknya menjalankan aktiviti yang lain asalkan ia melibatkan kepentingan umat Islam sejagat," tegasnya.

Sebelum itu, Yang Dipetua Maipp, Ustaz Elias Zakaria berkata, Pusat Urus Zakat (PUZ) telah pun memperuntukan RM15 ribu untuk membina rumah Taha Daud yang sebelum ini tinggal keseorangan di rumah usang di Kampung Tanah Liat.

Dengan bantuan itu menjadikan pada tahun 2010 PUZ telah membina 30 buah rumah yang menelan belanja RM900 ribu.

Manakala kerja baik pulih rumah pula melibatkan 164 rumah keseluruhan Pulau Pinang dengan kos RM1.7 juta di tahun yang sama.

"Memandangkan kita tidak mahu ada lagi individu Islam hidup melarat maka PUZ akan membantu bagi meningkatkan emej Islam agar dipandang tinggi oleh masyarakat bukan Islam," terangnya.

Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan YDP Maipp, Ustaz Saleh Man, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Hasan Ahmad dan Pengarah PUZ, Dr Azman Samat.

Related Posts with Thumbnails