Selasa, 23 Ogos 2011

Muslihat di sebalik permohonan maaf Kompas




Ahad lalu, harian terkenal Indonesia Kompas memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung laporan yang diterbitkan mengenai dirinya dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Namun, permohonan maaf itu didapati hanya diselitkan dalam satu wawancara dengan Najib. Malaysiakini juga difahamkan bahawa ia juga dilakukan pada saat-saat terakhir oleh pengurusan tertinggi Kompas.

Artikel pedas, yang menjadi kontroversi itu bertajuk 'Istri PM Najib dan Cincin 24 Juta Dollar'. Ia disiarkan pada isu Kompas 4 Ogos lalu tetapi dengan mudahnya boleh dilayari di versi Internet di Malaysia.

Nooryana Najwa Najib and Daniyar NazarbayevAntara lain, artikel itu mengaitkan Rosmah dengan pembelian kontroversi sebentuk cincin bernilai RM24 juta, dan mendakwa bakal besan Rosmah, Maira Nazarbayev, mempunyai hubungan dengan "mafia Rusia".

Maira Nazarbayev dari Kazakhstan adalah ibu kepada Daniyar Nazarbayev yang telah bertunang dengan Nooryana Najwa, anak gadis Najib dan Rosmah.

Kompas juga dalam laporannya itu menyifatkan Rosmah sebagai menjalani "kehidupan yang penuh kontroversi", dan mengaitkannya dengan Perimekar, syarikat yang dikatakan telah menerima komisen jutaan ringgit berikutan penjualan kapal selam Scorpene.

Menurut penulis, perjanjian yang mencurigakan itu antara faktor yang membawa kepada pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

Menyedari artikel berkenaan mampu memberi kesan dan menjejaskan reputasi Najib, dua penasihat perhubungan awam tidak rasmi Najib - seorang daripada mereka dikaitkan dengan konglomerat Indonesia - bertindak segera mententeramkan keadaan - dengan meminta Kompas memohon maaf.

NONEMenurut sumber Malaysiakini, permohonan maaf yang dituntut oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada mulanya ditolak oleh editor Kompas yang bertegas mempertahankan artikel mereka, khususnya berhubung dakwaan kegiatan kongsi gelap Maira, yang juga boleh dilayari secara meluas di Internet.

Dua penasihat itu kemudiannya mengancam mengugut Kompas dengan tindakan undang-undang, tetapi ini juga gagal untuk menundukkan akhbar Indonesia yang berpengaruh itu.

Kompas, bagaimanapun bersetuju membuka ruang kepada Najib untuk menjawap dan menangkis segala tuduhan dengan menghantar editor antarabangsa, Jimmy Harianto bagi menemubual Najib di Putrajaya pada Khamis lalu.

Bagiamanapun pada Ahad lalu, agensi berita nasional Bernama mengesahkan bahawa Kompas telah meminta maaf kepada Najib.

Setakat ini, mengapa Kompas membuat pusingan U pada saat-saat terakhir belum jelas tetapi menurut sumber, keputusan berkenaan telah dibuat dalam keadaan "situasi luar biasa".

Namun, akhbar itu jelas tidak membuat permohonan maaf secara penuh - ia boleh diibaratkan sebagai 'permohonan maaf separuh'.

Malah, permohonan maaf itu diselitkan pada perenggan 10 di halaman 10 akhbar itu dalam laporan yang bertajuk 'PM Najib Razak: Demokrasi Juga Terjadi di Malaysia'.

NONEArtikel wawancara dengan Najib itu memetik perdana menteri Malaysia itu menafikan dakwaan dalam artikel Kompas sebelum ini dan diikuti dengan permohonan maaf satu ayat yang berbunyi: “Atas pemberitaan tersebut, Pemimpin Redaksi Kompas Rikard Bagun, Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya kepada Ketua Kerajaan dan Keluarga."

Selain menerbitkan penafian Najib, akhbar itu juga tidak menyatakan bahawa dakwaan dalam artikelnya itu adalah tidak benar. Malah Kompas juga tidak menarik semula balik artikel, yang didakwa menghina Najib dan isterinya itu.

Namun, di Malaysia, media arus perdana mencanang-canangkan permohonan maaf itu dan menyiarkannya di halaman utama mereka.

Malaysiakini/-

Ahad, 21 Ogos 2011

Najib atau Muhyiddin, siapa arah siapa?

FMT | Suatu ketika, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memeranjatkan banyak pihak apabila dengan tidak semena-mena beliau mencadangkan ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC).

Tujuan dibentuk PSC ialah bagi mendapatkan persetujuan semua pihak, kerajaan dan pembangkang, ke atas reformasi dalam pilihan raya sebagai mengambil jalan tengah berikutan tuntutan lapan perkara yang diterajui oleh Bersih 2.0.

Tetapi pada ketika yang lain, tidak sampai 48 jam kemudian, beliau mengendurkan pandangannya dengan menyatakan tidak ada cacat celanya dengan sistem pilihan raya dewasa ini. Beliau hanya mencadangkan ditubuhkan PSC memandangkan beberapa pihak menuntut dibuat perubahan dalam sistem itu.


Sikap berdolak dalih yang sering berlaku daripada Najib, tidak sepatutnya menimbulkan kehairanan. Najib tidak akan berkata demikian jika timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengannya dengan menyatakan pilihan raya di Malaysia sentiasa berjalan dengan baik.

Cadangan PSC oleh Perdana Menteri itu kata Muhyiddin, hanyalah untuk memperbaiki proses pilihan raya. Kenyataan terbuka Muhyiddin pada 16 Ogos lalu, datang sehari sebelumnya, merupakan suatu tamparan yang hebat kepada Najib.

Langkah berani reformasi pilihan raya

Beliau nampak ikhlas apabila mengumumkan cadangan PSC itu pada 15 Ogos, apabila beliau berkata:

“Jawatankuasa itu akan berbincang mengenai reformasi dalam sistem pilihan raya yang perlu dilaksanakan bagi mencapai persetujuan yang tidak berat sebelah tanpa apa-apa keraguan bahwa wujudnya manipulasi daripada pihak kerajaan.”

Najib juga menekankan bahawa pentadbirannya tidak akan dibentuk kecuali benar-benar dipilih oleh rakyat.

Kenyataan-kenyataan ini bermakna beliau mengakui terdapatnya kelemahan dalam struktur pilihan raya dan kepincangan ini sudah cukup untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Dan keazaman Najib untuk mendapatkan persetujuan dan memerintah hanya jika “benar-benar dipilih oleh rakyat” merupakan manifestasi dari keinginan untuk memperbetulkan kesilapan yang sudah sekian lama menunggu untuk diperbaiki.

Dalam menghadapi keberanian usaha untuk memberi sedikit nafas lega kepada sistem demokrasi di negara ini yang dapat diterima oleh seluruh rakyat, kenyataan Muhyiddin yang bercanggah dengan bosnya memeranjatkan banyak pihak.

Tetapi apa yang lebih memeranjatkan ialah apabila Najib membuat pusingan U supaya selari dengan pandangan timbalannya apabila beliau mengulangi kenyataan Muhyiddin bahawa sistem pilihan raya kita adalah telus dan boleh dipercayai.

Bercakap pada satu majlis berbuka puasa pada 17 Ogos lalu, Najib menafikan bahawa cadangan PSC ini merupakan satu pengakuan terhadap kelemahan yang terdapat dalam pilihan raya.

Seterusnya beliau berkata, “kita akan memperbaiki proses pilihan raya, jika ianya dipertikaikan. Kita tidak mempertikaikannya tetapi untuk memuaskan hati setengah-tengah pihak, kita akan laksanakan beberapa perubahan dalam sistem itu.”

Kenyataan yang tidak bertenaga ini tidak layak buat seorang Perdana Menteri. Jika tidak ada kesilapan, mengapa perlu diubah?

Membuat perubahan hanya kerana ada orang membuat aduan? Tidakkah Perdana Menteri mempunyai pendirian dan pegangannya sendiri?

Membentuk sebuah PSC adalah perkara serius yang berlaku apabila timbul perkara-perkara yang tersangat penting yang perlu di bahas secara terperinci di Parlimen.

Adalah suatu tindakan yang dangkal apabila Perdana Menteri mencadangkan jalan penyelesaian seperti itu dibuat terhadap aduan-aduan berkenaan dengan sistem pilihan raya, yang menurut pendapatnya adalah baik.

Sudah pasti seorang Perdana Menteri tidak bermaksud seperti apa yang beliau katakan – membentuk PSC semata-mata untuk menutup mulut para pengkritik.

Terpaksa membuat pusingan U

Dalam hal ini, tidakkah jelas bahawa Perdana Menteri tunduk kepada pendirian Timbalan Perdana Menteri yang bersikap tegas?

Mengimbas kembali pentadbiran selama dua tahun Najib, tidak dapat tidak kita melihat permulaannya agak gah tetapi sedikit demi sedikit berakhir dengan lemah dan pendiriannya yang teragak-agak, sama seperti perdana menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perubahan-perubahan yang hendak dilakukan oleh Najib kelihatan betul, reformasi politik di bawah panji-panji 1Malaysia untuk menyatupadukan rakyat dan transformasi ekonomi melalui menggugurkan perlindungan dan bantuan yang berasaskan bangsa bagi memulihkan ekonomi.

Tetapi beberapa siri kenyataan yang bersifat sombong dan degil daripada kalangan anggota partinya (Umno) sendiri telah membawa kepada transformasi hanya berbentuk slogan semata-mata.

Ditengah-tengah kekecewaan ini, sikap Najib yang secara tiba-tiba mahu membuat perubahan dalam pilihan raya dilihat sebagai langkah strategik untuk meraih kembali keyakinan dari golongan masyarakat menengah.

Beliau bimbang kehilangan sokongan dari golongan masyarakat ini memandangkan beliau telah memberi amaran keras terhadap gerakan Bersih 2.0 terutamanya, dan kekejaman dan ketidakadilan semasa menangani isu perhimpunan Bersih.

Namun masih belum terlambat, jika Najib dapat menggunakan pengaruhnya sebagai Perdana Menteri bagi membawa perubahan yang bermakna dalam sistem pilhan raya yang telah kehilangan kredibilitinya.

Kuasa PM

Tambalan pula, seorang Perdana Menteri diberi kuasa penuh oleh Perlembagaan untuk melantik atau menggugurkan anggota kabinetnya.

Sebarang usaha ke arah memulihkan perlembagaan sudah pasti akan disokong dan mendapat sokongan daripada bukan sahaja mereka yang berfikiran waras dalam partinya tetapi juga sokongan dari golongan lain termasuk ahli-ahli pembangkang.

Memperbetulkan kesalahan-kesalahan dalam sistem pilihan raya tidak semestinya menjejaskan partinya, tetapi kesan penerimaan baik dan penghormatan yang terhasil dari tindakan ini (yang tentunya berupa undi), lebih dari cukup untuk menggantikan undi yang hilang.

Di samping itu, menang atau kalah, Najib akan menerima kedudukan yang mulia dalam sejarah Malaysia sebagai seorang Perdana

Menteri yang telah berjasa kerana memulihkan demokrasi dan sistem pilihan raya bagi rakyatnya.

Beliau masih mempunyai masa dua tahun sebelum pilihan raya mencapai tarikh luput pada pertengahan 2013.

Kenapa Najib harus menolak peluang untuk berkhidmat secara saksama dengan menganjurkan pilihan raya yang tergesa-gesa, tidak adil dan manipulasi serta akan menanggung risiko kehilangan segala-galanya; dirinya, partinya dan rakyatnya?
Related Posts with Thumbnails