Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim melanjutkan kempen Sibu Memimpin  Perubahan Sarawak ke kampung-kampung Iban di serata Sibu. Mantan  Timbalan Perdana Menteri itu, bersama-sama calon Pakatan Rakyat Wong Ho  Leng hari ini melawat rumah panjang Bawang Assan dan menikmati makan  tengahari bersama penduduk setempat.
Bawang Assan terletak di  barat bandar Sibu, berhampiran perkampungan Cina Sungai Bidut.  Perjalanan sejauh 30 kilometer jika berkereta dari pusat bandar  merentasi Jambatan Igan. Tarikan utama Bawang Assan adalah 8 rumah  panjang Iban, yang tertua darinya berusia 100 tahun. Beberapa rumah  panjang terletak di tebing Sungai Bawang Assan yang mengalir ke Sungai  Rajang.
Sebahagian besar penduduk bekerja di bandar Sibu atau di  luar bandar. Sebahagian lainnya menjana pendapatan tambahan sebagai  nelayan kecil-kecilan - menangkap udang sebesar ibu jari dan ikan di  sungai yang teruk dicemari.
Ketibaan Anwar Ibrahim dan krew TV  Selangor disambut dengan kemesraan oleh penduduk setempat.
"Saya  datang untuk satu tujuan, merayu saudara semua supaya mengundi untuk  calon yang berani bersuara untuk kepentingan masyarkat Iban. Pilih calon  yang tidak berundur bila ditekan, yang tidak tunduk bila diancam, yang  tidak membisu bila hak saudara dirampas. Calon itu adalah calon kita,  Wong Ho Leng," kata Anwar disambut dengan tepukan gemuruh warga rumah  panjang.
Anwar meyampaikan mesej yang jelas, bahawa Pakatan  Rakyat membawa politik baru untuk Malaysia, dimana kepentingan rakyat  mengatasi politik indidivu dan keluarga-keluarga kaya.
Iban,  Melayu, Cina, India dan Kadazan mendapat keadilan dan layanan yang sama.  Tanah-tanah yang mereka diami akan dihormati sebagai hak mutlak mereka.
Beliau  dukacita melihat masih ramai masyarakat Iban yang hidup dalam  kepayahan. Sungai yang menjadi nadi kepada kehidupan mereka teruk  tercemar. Peluang pendidikan sempit. Elektrik dan air terbengkalai.
"Kekayaaan  negeri harus kita bagi pihak Iban, pihak Cina, pihak Melayu-Melanau,  India dan Orang Asli, bukan untuk diserahkan pada orang-orang kaya.  Kontrak, tanah, balak, minyak habis semua sudah diambil kerajaan BN,"  kata Anwar lagi, dengan anggukan tanda setuju dari semua yang  mendengarnya.
Anwar berkata kekayaan pemimpin BN seperti keluarga  Taib Mahmud diketahui ramai. Kekayaan hasil bumi Sarawak juga diketahui  di seluruh dunia. Begitu juga kemiskinan rakyat Sarawak, khususnya  masyarakat Iban.
"Bagi orang Iban, tanah ini adalah nyawa. Kalau  ikut BN, kita punya nyawa (tanah) pun dia sudah angkat bagi pada orang  kaya," kata Anwar.
Bagi pemimpin reformasi ini, masa perubahan sudah  tiba, dan penentu samada Sarawak berubah atau tidak kini dalam tangan  masyarakat Iban di Sibu.
"Tengok apa yang kita ada sekarang ini.  Tanya berapa BN bayar kita, tanya anak ada kerja atau tidak. Di kempen  sebelum ini, orang Iban kata Pakatan Rakyat belum tahu memerintah.  Sekarang kita sudah perintah beberapa negeri. Di Sarawak, BN sudah  perintah berpuluh tahun. Di Selangor, kita perintah dua tahun, kita  sudah bagi air percuma. Di sini, yang percuma adalah air sungai di tepi  itu (sambil tunjukkan pada sungai di tebing rumah panjang)," kata Anwar  disambut gelak tawa hadirin.
~TVselangor



