Oleh Faizal Ezzany
SIBU 12 Mei - Isu  negara Islam yang dimainkan oleh SUPP-Barisan Nasional dalam kempen  mereka pada pilihan raya kecil Sibu dilihat sebagai ketandusan  idea dan  terdesak.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar  Jamaluddin menjelaskan isu negara Islam telah lama tidak digunakan di  Semenanjung.
"Isu negara Islam sepatutnya telah tiada kerana  diperingkat pusat sudah lama tidak digunakan. Pada tahun 1990 Umno dan  MCA pernah menggunakan isu tersebut tetapi masyarakat cina telah  menolak.
"Saya melihat tindakan menggunakan isu ini selepas  sebelas tahun seolah-olah mereka telah kehabisan idea dan berada keadaan  terdesak. Kita dari Pakatan Rakyat tidak jadikan itu sebagai perkara  yang besar.
"Cuma kami terima hakikat kalau mereka memainkan isu  ini, ia merupakan pembohongan yang besar dan kami tidak mahu pengundi di  sini membuat keputusan atas pembohongan dan ketakutan jadi pilihan yang  mereka buat itu tidak tepat," kata beliau kepada Suara Keadilan.
Beliau  juga menjelaskan perbincangan yang telah dilakukan antara parti dalam  Pakatan Rakyat adalah menjadikan negara ini sebagai negara profesional  dengan pentadbiran yang efisyen, telus dan adil.
"Menggunakan isu  negara Islam sebenarnya telah lari dari tujuan utama dan itu bukannya  yang kita bincangkan hari ini, isu yang kita bincang adalah kezaliman  Umno-BN dan perkara ini yang kita ketengahkan agar rakyat tahu apa yang  telah mereka lakukan. Mereka sebenarnya hendak tenggelam isu kezaliman  mereka dari diketahui rakyat Sabah, jadi isu itulah yang mereka gunakan.
"Jadi  kalau dikiranya isu ini tidak lagi dimainkan di Semenanjung maka ia  tidak perlu dimainkan di sini. Saya ingin beritahu rakyat di Sibu mereka  tidak perlu risau dengan isu negara Islam, kerana kamu tahu apa yang  kami lakukan dalam Pakatan Rakyat," ujar Nizar.
Nizar juga tidak  menafikan sokongan rakyat akan berkurangan jika BN sentiasa menggunakan  isu tersebut tapi Pakatan Rakyat akan terus memberi penerangan bagi  menangkis fitnah tersebut.
"Kalau SUPP terus memainkan isu ini  dan media terus menipu maka ia sedikit sebanyak akan menjejaskan  keyakinan rakyat. Saya harap pengundi di sini berfikiran terbuka dan  tidak cepat terpengaruh, mereka perlu melihat apa yang berlaku di  Semenanjung.
"Pada tahun 1999 mereka telah memainkan isu tersebut  tetapi mereka mendapat sedikit keuntungan, begitu juga dengan keputusan  di Hulu Selangor dan Bukit Gantang yang menunjukkan kaum Cina tidak  takut dengan isu tesebut dan kita dapat buktikan kaum Cina menolak isu  yang mereka mainkan," jelasnya lagi.
Banyak contoh yang  masyarakat Cina perlu telitikan seperti pentadbiran Datuk Nik Abdul Aziz  Nik Mat di Kelantan yang mana kaum Cina  berada dalam keadaan aman  sepanjang 20 tahin pemerintahan PAS.
"Masyarakat Cina di sini  perlu melihat pemerintahan PAS di Kelantan, lihat macam mana Nik Aziz  mentadbir negeri tersebut. Beliau tidak mempamirkan perkara yang  dikhuairi oleh kaum Cina. Konsep negara Islam telah disalah ertikan oleh  Umno-BN menyebabkan kaum Cina takut dengannya.
"Walaupun isu ini  memberi sedikti kelemahan tetapi kita masih ada masa untuk memberi  penerangan yang jelas, melalui program yang kita lakukan walaupun isu  ini sentiasa dimainkan oleh akhbar dan juga ceramah mereka, kita masih  boleh menangkis dan tenggelamkan isu tersebut. Saya harap penerangan  yang kita berikan ini mengembalikan keyakinan pengundi di Sibu," kata  Nizar lagi.



