"UMNO sememangnya menjuarai semua kes penderhakaan terhadap raja di  Malaysia. Dengan segala riuh rendah mereka menghentam Zaid yang  mentafsir undang-undang berkaitan kuasa sultan menurut konsep Raja  Berperlembagaan bagi menunjukkan kepada rakyat betapa derhakanya  pemimpin PKR itu. Hal itu mereka lakukan setelah melempar batu sembunyi  tangan.
Di Hulu Selangor, UMNOlah yang menggunakan masjid untuk  tujuan politik. Buktinya dapat dilihat pada kain rentang yang terpampang  semasa kempen PRK Parlimen kawasan itu. Seperti biasa, mereka akan  berdiam diri apabila terkena batang hidung sendiri. Mereka berusaha  mencari helah untuk menutup kecurangan itu dengan isu lain bagi  mengenakan lawan. Zaidlah orangnya. Taktik ini telah lama mereka  gunakan. Apabila mereka nampak jerat sudah mengena, maka ampu bodek  terhadap raja pun berdendanglah seolah-olah semua dosa lampau mereka  menderhaka kepada raja sirna begitu saja.
Orang Melayu masih  sedar akan asal-usulnya. Bukan seperti yang didakwa oleh Rais Yatim.  Melayu-UMNO sahaja yang tidak sedar diri mengkritik orang lain derhaka  kepada sultan sedangkan merekalah yang tidak habis-habis menghina  institusi itu tetapi tidak diambil apa-apa tindakan pun. Memang berjaya  usaha Mahathir menghapuskan imuniti raja.
Rosmah mendakwa dirinya  Wanita Pertama Malaysia. Dia bukan isteri ketua negara. Isteri ketua  negara ialah Raja Permaisuri Agong. Takkanlah hal ini pun tidak  diketahui oleh Najib. Nak berlagak pun tengok tempatlah. Oleh sebab  lagak tidak bertempat itulah dia sanggup menderhaka kepada institusi  raja. Seluruh rakyat Malaysia tahu, Rosmah telah menderhaka. Namun  demikian, peristiwa itu sekadar menambahkan koleksi penderhakaan  terhadap raja yang dilakukan oleh UMNO, tidak lebih daripada itu. Lagi  pun tiada siapa yang takut berbuat demikian kerana tulah tidak lagi  berdaulat setelah Mahathir menghapuskan imuniti raja.
Yang  mendukacitakan kita ialah orang Melayu sendiri yang tidak endahkan  kedaulatan raja. Kita tidak boleh mengharapkan orang bukan Melayu untuk  menaikkan martabat raja-raja. Apabila kita sendiri memperlekehkan  institusi itu, di mana lagi tonggak pergantungan kita? Maka mudahlah  bangsa kita diperkotak-katikkan oleh orang lain. Ke mana perginya maruah  kita sebagai bangsa yang bertamadun tinggi itu?
Sudah sampai  masanya untuk orang Melayu merenung ke dalam diri mereka. Apa kekuatan  yang mereka ada? Kekuatan ekonomi jauh panggang dari api. Dasar Ekonomi  Baru (DEB)berlalu dengan pencapaian 18% daripada sasaran 30% gara-gara  rasuah, salah guna kuasa, dan sebagainya. Dasar Pembangunan Nasional  yang cuba menebus kegagalan itu hangus begitu sahaja. Siapa yang percaya  Malaysia akan muncul sebagai negara maju sepuluh tahun dari sekarang?  Dasar Wawasan Negara sudah tentulah gagal mencapai matlamat asal DEB  kerana belum sempat habis tempoh, Model Ekonomi Baru pula diperkenalkan  tanpa meletakkan sasaran berasaskan kaum seperti DEB untuk mengelak  daripada terus dicaci sekiranya gagal dicapai. Helah itu sememangnya  menjadi pilihan pemimpin yang tidak yakin kepada kebolehan sendiri dan  tidak benar-benar ikhlas berkhidmat kepada kaumnya.
Adakah orang  Melayu sudah hebat pencapaiannya dalam bidang pendidikan? Apa  sandarannya? Yang pandai jadi pelacur. Yang hebat menabur bakti di luar  negeri kerana tidak tahan dengan karenah birokrasi di negara sendiri.  Hal ini tidak terhad kepada orang Melayu sahaja, orang Cina dan India  pun begitu juga. Majoriti pekerja yang otaknya sederhana ke bawah sahaja  yang tinggal di negara ini. Betulkah begitu? Jika betul janganlah  berangan-angan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.
Adakah  orang Melayu hebat dalam bidang politik? Buat persempadanan kawasan  pilihan raya pun merugikan bilangan ahli Melayu dalam Dewan Rakyat dan  Dewan Undangan Negeri. Pangkah undi pun tak pandai. Bila Perak jatuh ke  tangan Pakatan, orang Melayu histeria kerana ramai Cina dalam kerajaan,  majoriti Melayu jadi pembangkang. Mereka jadi histeria kerana perbuatan  sendiri. Tidak ada kena-mengena dengan orang Cina dan India langsung.  Orang Melayulah yang sokong UMNO hingga jadi pembangkang di Perak. Hal  ini tidak akan terjadi kalau mereka sokong Melayu PAS dan Melayu PKR.  Tidak timbul jugalah kuasa Melayu terhakis. Orang Melayu hanya nampak  kuasa mereka terhakis apabila ADUN Melayu UMNO tertonggok sebagai  pembangkang di DUN Perak. Apa mereka buat? Rampas kuasa.
Hebatkah  Melayu Perak sekarang? Dulu mereka tuduh Nizar boneka Cina. Kini mereka  beri RM50,000.00 kepada setiap bahagian MCA di Perak. Tidakkah itu juga  mencerminkan UMNO boneka Cina. Suku-sakat mereka tidak kata begitu.  Kalau UMNO buat tak apa. Sebab itulah ambil Tanah Simpanan Melayu tak  ganti sampai sekarang pun tak apa. Siapa yang lebih lahanat (pinjam kata  orang Melaka) dalam hal ini? Melayu UMNOlah.
Orang Melayu tidak  pernah hebat di negara ini. Orang Melayu suka susukan kera di hutan,  anak di rumah mati tak makan. Hilang pulau pun tak apa. Hilang telaga  minyak pun tak apa. Mengapa? Situasi Menang-Menang!!! Bawa APCO masuk  dalam kelambu pun tak apa. Halalkan judi bola sepak Piala Dunia pun tak  apa kerana UMNO ialah sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Itu yang  mereka kata apabila dilanyak oleh PAS.
Hingga ke tahap ini, UMNO  memang sudah tidak keruan. Mereka sudah hilang akal. Mereka tidak kenal  lagi halal dan haram. Mereka tidak tahu lagi dosa dan pahala. Mereka  tidak hirau lagi ayat al-Quran tentang larangan berkawan dengan Yahudi.  Yang mereka champion ialah kedarah rasuah, main isu perkauman, caci  orang Cina dan India, dan berbuat baik semasa ada pilihan raya. Rakyat  yang pening-pening lalat digiankan oleh rasuah politik terus pangkah  dacing walaupun kena kencing lebih daripada setengah abad!!!    
~ruhan



