Isnin, 10 Mei 2010

PRK Sibu : Anwar Turun Padang Temui Masyarakat Iban

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim melanjutkan kempen Sibu Memimpin Perubahan Sarawak ke kampung-kampung Iban di serata Sibu. Mantan Timbalan Perdana Menteri itu, bersama-sama calon Pakatan Rakyat Wong Ho Leng hari ini melawat rumah panjang Bawang Assan dan menikmati makan tengahari bersama penduduk setempat.

Bawang Assan terletak di barat bandar Sibu, berhampiran perkampungan Cina Sungai Bidut. Perjalanan sejauh 30 kilometer jika berkereta dari pusat bandar merentasi Jambatan Igan. Tarikan utama Bawang Assan adalah 8 rumah panjang Iban, yang tertua darinya berusia 100 tahun. Beberapa rumah panjang terletak di tebing Sungai Bawang Assan yang mengalir ke Sungai Rajang.

Sebahagian besar penduduk bekerja di bandar Sibu atau di luar bandar. Sebahagian lainnya menjana pendapatan tambahan sebagai nelayan kecil-kecilan - menangkap udang sebesar ibu jari dan ikan di sungai yang teruk dicemari.
Ketibaan Anwar Ibrahim dan krew TV Selangor disambut dengan kemesraan oleh penduduk setempat.

"Saya datang untuk satu tujuan, merayu saudara semua supaya mengundi untuk calon yang berani bersuara untuk kepentingan masyarkat Iban. Pilih calon yang tidak berundur bila ditekan, yang tidak tunduk bila diancam, yang tidak membisu bila hak saudara dirampas. Calon itu adalah calon kita, Wong Ho Leng," kata Anwar disambut dengan tepukan gemuruh warga rumah panjang.

Anwar meyampaikan mesej yang jelas, bahawa Pakatan Rakyat membawa politik baru untuk Malaysia, dimana kepentingan rakyat mengatasi politik indidivu dan keluarga-keluarga kaya.

Iban, Melayu, Cina, India dan Kadazan mendapat keadilan dan layanan yang sama. Tanah-tanah yang mereka diami akan dihormati sebagai hak mutlak mereka.
Beliau dukacita melihat masih ramai masyarakat Iban yang hidup dalam kepayahan. Sungai yang menjadi nadi kepada kehidupan mereka teruk tercemar. Peluang pendidikan sempit. Elektrik dan air terbengkalai.

"Kekayaaan negeri harus kita bagi pihak Iban, pihak Cina, pihak Melayu-Melanau, India dan Orang Asli, bukan untuk diserahkan pada orang-orang kaya. Kontrak, tanah, balak, minyak habis semua sudah diambil kerajaan BN," kata Anwar lagi, dengan anggukan tanda setuju dari semua yang mendengarnya.

Anwar berkata kekayaan pemimpin BN seperti keluarga Taib Mahmud diketahui ramai. Kekayaan hasil bumi Sarawak juga diketahui di seluruh dunia. Begitu juga kemiskinan rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Iban.

"Bagi orang Iban, tanah ini adalah nyawa. Kalau ikut BN, kita punya nyawa (tanah) pun dia sudah angkat bagi pada orang kaya," kata Anwar.
Bagi pemimpin reformasi ini, masa perubahan sudah tiba, dan penentu samada Sarawak berubah atau tidak kini dalam tangan masyarakat Iban di Sibu.

"Tengok apa yang kita ada sekarang ini. Tanya berapa BN bayar kita, tanya anak ada kerja atau tidak. Di kempen sebelum ini, orang Iban kata Pakatan Rakyat belum tahu memerintah. Sekarang kita sudah perintah beberapa negeri. Di Sarawak, BN sudah perintah berpuluh tahun. Di Selangor, kita perintah dua tahun, kita sudah bagi air percuma. Di sini, yang percuma adalah air sungai di tepi itu (sambil tunjukkan pada sungai di tebing rumah panjang)," kata Anwar disambut gelak tawa hadirin.

~TVselangor