Rabu, 12 Mei 2010
Negara Islam: SUPP-BN Ketandusan Idea
SIBU 12 Mei - Isu negara Islam yang dimainkan oleh SUPP-Barisan Nasional dalam kempen mereka pada pilihan raya kecil Sibu dilihat sebagai ketandusan idea dan terdesak.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menjelaskan isu negara Islam telah lama tidak digunakan di Semenanjung.
"Isu negara Islam sepatutnya telah tiada kerana diperingkat pusat sudah lama tidak digunakan. Pada tahun 1990 Umno dan MCA pernah menggunakan isu tersebut tetapi masyarakat cina telah menolak.
"Saya melihat tindakan menggunakan isu ini selepas sebelas tahun seolah-olah mereka telah kehabisan idea dan berada keadaan terdesak. Kita dari Pakatan Rakyat tidak jadikan itu sebagai perkara yang besar.
"Cuma kami terima hakikat kalau mereka memainkan isu ini, ia merupakan pembohongan yang besar dan kami tidak mahu pengundi di sini membuat keputusan atas pembohongan dan ketakutan jadi pilihan yang mereka buat itu tidak tepat," kata beliau kepada Suara Keadilan.
Beliau juga menjelaskan perbincangan yang telah dilakukan antara parti dalam Pakatan Rakyat adalah menjadikan negara ini sebagai negara profesional dengan pentadbiran yang efisyen, telus dan adil.
"Menggunakan isu negara Islam sebenarnya telah lari dari tujuan utama dan itu bukannya yang kita bincangkan hari ini, isu yang kita bincang adalah kezaliman Umno-BN dan perkara ini yang kita ketengahkan agar rakyat tahu apa yang telah mereka lakukan. Mereka sebenarnya hendak tenggelam isu kezaliman mereka dari diketahui rakyat Sabah, jadi isu itulah yang mereka gunakan.
"Jadi kalau dikiranya isu ini tidak lagi dimainkan di Semenanjung maka ia tidak perlu dimainkan di sini. Saya ingin beritahu rakyat di Sibu mereka tidak perlu risau dengan isu negara Islam, kerana kamu tahu apa yang kami lakukan dalam Pakatan Rakyat," ujar Nizar.
Nizar juga tidak menafikan sokongan rakyat akan berkurangan jika BN sentiasa menggunakan isu tersebut tapi Pakatan Rakyat akan terus memberi penerangan bagi menangkis fitnah tersebut.
"Kalau SUPP terus memainkan isu ini dan media terus menipu maka ia sedikit sebanyak akan menjejaskan keyakinan rakyat. Saya harap pengundi di sini berfikiran terbuka dan tidak cepat terpengaruh, mereka perlu melihat apa yang berlaku di Semenanjung.
"Pada tahun 1999 mereka telah memainkan isu tersebut tetapi mereka mendapat sedikit keuntungan, begitu juga dengan keputusan di Hulu Selangor dan Bukit Gantang yang menunjukkan kaum Cina tidak takut dengan isu tesebut dan kita dapat buktikan kaum Cina menolak isu yang mereka mainkan," jelasnya lagi.
Banyak contoh yang masyarakat Cina perlu telitikan seperti pentadbiran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan yang mana kaum Cina berada dalam keadaan aman sepanjang 20 tahin pemerintahan PAS.
"Masyarakat Cina di sini perlu melihat pemerintahan PAS di Kelantan, lihat macam mana Nik Aziz mentadbir negeri tersebut. Beliau tidak mempamirkan perkara yang dikhuairi oleh kaum Cina. Konsep negara Islam telah disalah ertikan oleh Umno-BN menyebabkan kaum Cina takut dengannya.
"Walaupun isu ini memberi sedikti kelemahan tetapi kita masih ada masa untuk memberi penerangan yang jelas, melalui program yang kita lakukan walaupun isu ini sentiasa dimainkan oleh akhbar dan juga ceramah mereka, kita masih boleh menangkis dan tenggelamkan isu tersebut. Saya harap penerangan yang kita berikan ini mengembalikan keyakinan pengundi di Sibu," kata Nizar lagi.