JOHOR BAHRU - Penyalahgunaan dadah di kalangan anggota polis di negeri  ini membimbangkan apabila 15 kes direkodkan dalam tempoh tiga bulan  pertama tahun ini berbanding 31 kes sepanjang tahun lalu.
Timbalan  Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, 15 kes  dilapor dan direkodkan dari Januari hingga Mac 2010 membabitkan  penyalahgunaan dadah jenis sintetik seperti methamphetamine dan ketamin.
Menurutnya,  insiden terbaru membabitkan empat anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Kulaijaya yang positif dadah pada 26 April lalu selepas melalui  saringan ujian air kencing.
“Mereka yang didapati positif belum  dituduh menyalahgunakan dadah, sebaliknya ditentukan berdasarkan  keputusan pihak hospital terlebih dahulu.
“Sekiranya positif,  anggota atau pegawai terbabit ditahan untuk menjalankan tugas dan  berdepan tindakan mahkamah,” katanya.
Katanya, penyelia  berperanan memantau dan memastikan pegawai mahupun anggota seliaan tidak  terjebak gejala ini sejajar dengan kehendak di bawah Skim Kawalan  Disiplin dan Dadah (SKDD).
Beliau berkata demikian selepas  Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Johor bagi bulan April 2010  dan Upacara Pemakaian Lencana Pangkat Asisten Superintendan Polis  Kontinjen Johor, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan  Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal dan Ketua Cawangan Khas, Datuk  Ramli Hassan.



