Penangkapan semula pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim, yang lebih  dikenali sebagai Benjy, dan tindakan menahannya mengikut Akta Dadah  Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, dibuat bagi  menyelamatkan imej polis kerana gagal mengenakan tuduhan mengedar dadah  terhadapnya, kata seorang peguam kepada Mahkamah Tinggi di sini hari  ini.
Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Benjy, berkata pegawai  yang membuat tangkapan semula itu, Insp Nur Hazurah Ab Talib, mengaku  dalam afidavitnya bahawa tidak terdapat bukti bagi mengenakan pertuduhan  mengedar dadah terhadap pelakon berkenaan.
“Jadi, apa yang  berlaku selepas itu ialah polis menggunakan peruntukan di bawah  Langkah-langkah Pencegahan Khas, walaupun hakikatnya tidak ada bukti  untuk mengenakan pertuduhan terhadap pemohon dan dia juga tidak pernah  dianggap menjadi ancaman terhadap ketenteraman awam,” kata Amer Hamzah  dalam permohonan writ habeas bagi mendapatkan pembebasan segera Benjy.
Benjy,  anak pelakon veteran Azean Irdawaty, mengaku tidak bersalah terhadap  tuduhan memiliki 0.24gm methamphetamine di rumah beralamat A-6-5 Menara  Duta 2, Jalan 1/38B, off Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11  Mac 2010.
Sejurus selepas membayar wang ikat jamin, dia ditangkap  semula kerana didakwa terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Dalam  permohonan yang difailkan pada 8 April, Benjy menamakan Ketua Polis  Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden serta  memohon perintah agar dia tidak ditangkap semula setelah dibebaskan.
Dia  juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa penangkapan dan  penahanannya mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah  Pencegahan Khas) adalah salah, tidak sah dan terbatal serta berniat  buruk.
Amer Hamzah berkata akhbar The Star, dalam laporannya  bertarikh 27 Mac, memetik Menteri Dalam Negeri sebagai berkata bahawa  Benjy ditangkap semula kerana polis memerlukan bantuannya dalam  penyiasatan berhubung dadah sintetik.
Katanya adalah menjadi  kelaziman di sisi undang-undang bahawa seseorang yang dikehendaki  membantu polis dalam penyiasatan, tidak boleh ditangkap.
Amer  Hamzah berkata ketika Benjy berada dalam tahanan, polis mengadakan  sidang akhbar untuk memberi maklumat tertentu berhubung penahanannya,  sedangkan tidak terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan  perkara itu kerana siasatan berkenaan dianggap sulit.
“Satu-satunya  kesimpulan lojik yang boleh dibuat ialah sidang akhbar itu dan  pendedahan maklumat berkenaan bertujuan untuk mengaibkan Benjy dan untuk  cuba menutup ketidakcekapan mereka kerana tidak berupaya mengenakan  pertuduhan terhadap Benjy mengedar dadah,” katanya.
Amer Hamzah  juga merujuk kepada perisytiharan berkanun Afifi Hamidi, yang ditangkap  bersama Benjy, bahawa seorang pegawai polis telah mengugut dan  memaksanya supaya mengaitkan Benjy.
Peguam itu berkata Benjy  tidak boleh ditangkap semula bagi tujuan mewujudkan kes terhadapnya  dengan tujuan mendapatkan bukti supaya Menteri Dalam Negeri mengeluarkan  perintah menahannya mengikut Seksyen 6(1) Langkah-langkah Pencegahan  Khas.
Kata beliau adalah jelas bahawa polis tidak mempunyai sebab  untuk mempercayai Benjy terlibat dalam sebarang kegiatan pengedaran  dadah yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan oleh itu mahkamah  tidak ada pilihan selain membenarkan permohonan Benjy agar dia segera  dibebaskan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd  Razak bersambung esok. — Bernama



