Oleh Rusnizam Mahat
SHAH ALAM 30 Apr - Kenyataan  Ketua  Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengugut menarik   balik anggotanya dari menjaga keselamatan awam disifatkan sebagai   angkuh, biadap dan melampaui batas.
Lantas Musa perlu meletak   jawatan segera atau dipecat daripada jawatannya serta merta   kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab kata Timbalan   Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Fariz Musa.
Fariz berkata AMK   menggesa Musa meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara dan tidak   membazirkan wang pembayar cukai sekiranya gagal memikul berhubung   insiden kematian pelajar berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah akibat   ditembak polis 26 April lalu.
Insiden tersebut menyebabkan  kemarahan  rakyat kepada PDRM memuncak dengan begitu cepat. Di  dalam laman  sosial facebook, lebih 30,000 menyertai kumpulan 'Kami  Menentang  Kezaliman PDRM' yang menggambarkan tahap kemarahan  warganegara terhadap  kezaliman anggota polis. Berikutan itu, Musa  mengugut untuk  mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal  keselamatan negara  sekiranya itu merupakan pilihan rakyat.
"Kalau  tak nak, saya akan  beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta  yang dipandu  dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan  terhadap pelumba haram  yang bermaharajalela di jalan raya," katanya  dalam laporan media.
Fariz  menganggap Musa selaku orang nombor  satu dalam PDRM tidak seharusnya  membuat kenyataan berbentuk ugutan  seperti itu apatah lagi adalah  penjawat awam dan "hamba" kepada rakyat.
"Kenyataan  Musa Hassan  secara jelas menunjukkan kenyataan yang tidak beretika dan   bertanggungjawab. Sepatutnya beliau memberikan jaminan   khidmat keselamatan yang terbaik kepada rakyat dan bukan membuat   kenyataan secara semborono begitu," ujarnya ketika dihubungi Suara   KEADILAN.
Menurut Fariz, Ketua Polis Negara seharusnya mengkaji  dan  menilai dengan lebih terperinci pendekatan yang efektif untuk   memastikan insiden yang menimpa Aminulrashid tidak berulang.
"Ini   menunjukkan Musa tidak begitu serius menangani isu ini dan perkara salah   guna kuasa anggota polis bukan pertama kali berlaku sepanjang dia   menjadi KPN. Kalau dia tidak sanggup memikul tanggungjawab ini,   tanggungjawab itu harus dipikul dengan KPN baru yang lebih   bertanggungjawab dan Musa harus meletakkan jawatan sebagai KPN,"   tegasnya.
Menurut Fariz, dalam kes Aminulrasyid jelas menunjukkan   pihak polis tidak mematuhi prosedur dan bertindak secara melulu sehingga   menyebabkan kematian remaja berkenaan.
Tambah beliau, AMK akan   mengkaji kenyataan tersebut secara teliti dan tidak menolak kemungkinan   untuk membuat laporan polis terhadap Musa.
"Kenyataan Musa  bersifat  kebudak-budakkan tetapi kita menganggap is sebagai sesuatu yang   serius apabila dia yang mengetuai sebuah organisasi keselamatan yang   begitu penting membuat kenyataan yang bersifat ugutan kepada rakyat,"   kata beliau lagi.




