|   Peristiwa polis menembak mati pelajar 15 tahun  sangat mengejutkan. Ia  adalah rentetan perbicaraan terbuka rakyat  terhadap pasukan keselamatan  negara di bawah Musa Hasan.
  Sepanjang  perkhidmatan Musa Hasan  sebagai ketua Polis negara terlalu banyak kes  melibatkan kematian di  tangan polis. Siapa yang bersalah masih tiada  jawapan.
  Kes  terbaru melibatkan pelajar 15 tahun sangat  mengejutkan. Ia mengejutkan  kerana pelajar itu tidak memiliki senjata  api. Ia di bawah umur.
  Tiada  bukti selain dakwaan anggota polis  pelajar tersebut menyerang. Jika  betul serangan dengan senjata parang,  mengapa perlu ditembak hingga mati  sedangkan dari laporan , anggota  polis terbabit melebihi dua orang.
  Atas  apa alasan sekalipun,  pembunuhan pelajar bawah umur tanpa senjata api  sangat memilukan.  Berbagai persoalan timbul, apakah pelajar terbabit  memiliki kes jenayah  sebelum ini hingga satu tindakan kejam begitu  dilakukan?
  Apakah  tiada cara lain selain menembak? Apakah polis  yang cekap tidak mampu  menangani pelajar 15 tahun yang hanya dikatakan  bersenjata parang  panjang?
  Lebih menimbulkan persoalan ialah  dakwaan rakan pelajar  terbabit bahawa pihak polis telah menembak kereta  mereka ketika  memotong MPV polis. Rakan pelajar terbabit mendakwa polis  membelasahnya  beramai ramai dan beliau sempat lari.
  Sebagai  rakyat Malaysia,  tentunya kita amat sedih dengan apa berlaku. Lebih  memilukan ia berlaku  terhadap seorang pelajar melayu di bawah umur.  Tindakan kenyataan  pihak polis ketika siasatan masih dijalankan juga  suatu tindakan diluar  peraturan.
  Kita amat berharap agar  siasatan yang telus  dijalankan serta memberi keadilan . Jangan ada usaha  menutup kesalahan  terutama pihak polis. Jika rakyat meragui siasatan  tersebut, kesannya  amat besar.
  Hilang kepercayaan kepada pihak  polis akan  menyebabkan kesan yang serius. Kita adalah negara yang  mempunyai undang  undang dan BUKAN NEGARA POLIS!
 
  *  Tulisan di atas adalah  pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili  pendirian  Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab  terhadap  sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.  |