Dengan mendedahkan kandungan laporan saksi insiden Aminulrasyid  Amzah, 15, mati ditembak, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad  (gambar)  meminta polis menghentikan segala ‘drama’ berkaitan kematian  remaja tersebut awal minggu ini.
“Ini kerana laporan yang  dikeluarkan media bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang  dikeluarkan oleh saksi kejadian.
“Bagaimana seorang yang sudah  meninggal dunia boleh mengundurkan kenderaan  dipandunya?” kata beliau  pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
“Dan, bagaimana  parang boleh ada dalam kereta sedangkan cuma ada kasut dan patung  sahaja? Ini memang tidak logik,” katanya lagi. Persoalan itu juga  ditimbulkan oleh ibu Aminulrasyid beberapa hari lalu.
Khalid  berkata, menurut saksi kedua, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin yang membuat  laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor malam tadi,  jiran mangsa itu mengatakan ketika hari kejadian dia terdengar bunyi  tembakan kira-kira pukul 1.30 pagi.
Dia membuat laporan polis  kira-kira 10.30 malam tadi.
“Pada mulanya saya menyangka bunyi  mercun tetapi bunyi tersebut semakin kuat dengan rumah saya dan ia  diselangi dengan bunyi siren polis.
“Kemudian saya  terdengar bunyi dentuman yang kuat seperti ada objek yang melanggar  dinding dan saya terus keluar dari rumah dan melihat dua buah kereta  peronda mengepung  sebuah kereta yang terbabas.
“Saya terus  meluru keluar ke tempat kejadian dan ternampak seseorang (saksi utama)  berlari ke arah saya serta terdengar polis menjerit kepada individu  tersebut supaya jangan lari,” kata Zafrullah dalam laporannya, yang  salinan turut diedarkan kepada media.
Dalam laporannya dia  mendakwa “saya mendapati kereta tersebut sudah terbabas dan melihat  seorang lelaki berpakaian kemeja-T dan seluar pendek dalam keadaan muka  tersembam di tempat duduk pemandu.”
Selain itu menurut Zafrullah  Ahmad, dia melihat polis menggeledah kenderaan itu dengan menyuluh  bahagian dalam kereta dengan menggunakan lampu suluh tetapi tidak  melihat sebarang objek dalam kereta itu dialihkan atau dibawa masuk.
“Semasa  polis menggeledah saya tidak nampak sebarang objek dalam kereta itu  dialihkan ataupun dibawa masuk.
“Kemudian polis menyuruh kami  (penduduk) berundur kira-kira lima meter dari tempat kejadian dan mereka  memasang pita kuning di kawasan kejadian.
“Saya juga lihat dua  anggota polis menyuluh dan menanda kesan tembakan di sepanjang kawasan  kejadian. Kira-kira pukul 3.30 pagi seorang anggota polis mengarahkan  orang awam untuk beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam laporan  polis yang dibuat.
Aminulrasyid, 15, mati terkena tembakan polis  manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan  kereta peronda polis di kawasan Seksyen 11 Shah Alam awal pagi Isnin  lalu.
Khalid berkata, bagaimana polis boleh membuat siasatan dan  kesimpulan tanpa mendapatkan keterangan daripada saksi.
“Polis  buat siasatan tetapi tanpa saksi. Jadi bagaimana siasatan itu dibuat  tanpa mendapat pengakuan daripada saksi terlebih dahulu?
“Saksi  cerita lain tetapi dalam media dilaporkan lain, saya sendiri yang bawa  saksi ke balai polis untuk membuat laoran dan dia telah menceritakan  perkara sebenar kepada saya.
“Jadi, saya harap polis boleh  membetulkan kembali segala kenyataan yang memberikan gambaran buruk  kepada Allahyarham Aminulrasyid,” katanya.
Beliau turut membidas  kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar  supaya ahli politik tidak masuk campur dalam kejadian tersebut.
“Ahli  politik ada tanggungjawab untuk ambil berat akan kes ini lagipun saya  sebagai Ahli Parlimen tidak boleh buat tidak tahu sahaja.
“Ini  kawasan saya, jadi saya mesti ambil tahu dan bertanggungjawab sebagai  wakil rakyat,” katanya sambil menambah, beliau bukan mahu mempolitikkan  perkara itu.
“Saya mahu kebenaran didedahkan dan mangsa yang  terkorban mendapat pembelaan yang sepatutnya,” katanya.
Khalid  juga merayu orang ramai yang melihat kejadian itu supaya memberikan  keterangan kepada polis supaya proses siasatan dapat dijalankan dengan  dengan baik.
“Saya mahu orang ramai yang melihat kejadian supaya  menjadi saksi dalam kes ini dan sekiranya takut untuk pergi seorang diri  mereka boleh berjumpa dengan saya.
“Ini kerana saya yakin ramai  yang melihat kejadian itu, dan saya amat berharap mereka tampil ke  hadapan dan memberikan keterangan bagi mendapatkan keadilan bagi pihak  mangsa dan keluarga,” katanya.
Tambahnya, tindakan Ketua Polis  Negara, Tan Sri Musa Hassan yang yang bersedia mengarahkan anggotanya  supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat adalah tidak  profesional.
“Kalau itu kenyataan yang dikeluarkan, saya rasa  lebih baik beliau meletakkan jawatan.
“Rakyat tegur kerana mahu  penjelasan dan beliau perlu memberikan respons wajar dan profesional,”  katanya lagi.
Sementara itu, ibu kepada Aminulrasyid, Norsiah  Mohamad berkata dia masih belum membuat keputusan untuk mendapatkan  khidmat guaman kerana memerlukan masa untuk berbincang bersama ahli  keluarga.
“Saya belum buat keputusan untuk mengambil peguam dari  mana kerana kena berbincang dahulu dengan ahli keluarga,” katanya.



