KUALA LUMPUR: Bukan saja diculik selama lebih empat jam malah seorang  pengurus syarikat turut menempuh saat memalukan apabila ditelanjangkan  tiga penjenayah sebelum tubuh bogelnya itu dirakam menggunakan kamera  dari pelbagai posisi.
Tindakan mengambil gambar bogel mangsa  dilakukan suspek bertujuan menjadikan rakaman terbabit sebagai ‘aset’  untuk mengugut mangsa supaya tidak membuat laporan polis selain  dijadikan modal memeras mangsa membayar wang dari semasa ke semasa.
Sumber  polis berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa berusia 35  tahun memberhentikan keretanya berhampiran Stesen Bas Pekeliling, di  sini, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.
“Mangsa yang ketika itu  bersendirian dalam kenderaan bagaimanapun terkejut apabila seorang  lelaki tidak dikenali dipercayai warga Pakistan tiba-tiba meluru masuk  ke dalam keretanya sebelum mengacukan parang.
“Suspek  kemudian mengarahkan mangsa supaya mengikut arahan dengan memandu ke  arah Klang, Selangor. Mangsa tidak berani melawan berikutan suspek  berulang kali mengacukan parang ke tubuhnya,” katanya.
Difahamkan,  mangsa kemudian diarah masuk ke sebuah bangunan yang tidak dikenal  pasti lokasinya sebelum ‘disambut’ tiga lagi lelaki.
“Suspek  mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang berharga dimiliki ketika itu  antaranya kamera video, lesen memandu, kad pengeluaran wang automatik  (ATM), wang tunai RM200, telefon bimbit dan komputer riba.
“Mereka  kemudian memaksa mangsa memberikan nombor PIN kad ATM terbabit sebelum  salah seorang daripada mereka pergi ke bank untuk mengeluarkan wang  mangsa sebanyak RM800,” katanya.
 
Menurutnya, kumpulan  penjenayah terbabit bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jumlah wang  diperoleh sebelum mengarahkan mangsa menghubungi kenalannya dan  memasukkan wang RM1,000 ke akaun bank diberikan.
“Mangsa yang  bimbang dicederakan terpaksa akur dengan arahan itu sebelum rakannya  bersetuju membantu dengan memasukkan sejumlah wang diminta tidak lama  kemudian.
“Suspek kemudian sekali lagi mengeluarkan wang itu.  Sebaik mendapat wang itu, mangsa diarah berbogel sebelum gambarnya  dirakam,” katanya.



