Selepas Badan Perhubungan Umno Johor dan Perak, Pergerakan Pemuda Umno  hari ini secara rasmi membantah cadangan kerajaan untuk mengeluarkan  lesen judi pertaruhan sukan di negara ini.
Ketuanya, Khairy  Jamaluddin berkata pengeluaran lesen judi seumpamanya akan membawa lebih  banyak keburukan daripada kebaikan kepada seluruh lapisan rakyat  pelbagai kaum di negara ini.
"Setelah hampir beberapa minggu kita  meminta pandangan daripada ahli-ahli akar umbi dan (menyaksikan) usaha  yang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dapat  membanteras sedikit sebanyak gejala judi ini melalui penguatkuasaan  keras dalam seminggu ini, kita rasa bahawa dalam isu lesen judi  pertaruhan perlawanan bola ini, Pemuda Umno membuat pendirian bahawa  kita membantah sekiranya kerajaan mahu keluarkan lesen tersebut.
"Kita  berharap apa yang kita dengar dalam berita iaitu kenyataan yang dibuat  oleh pihak swasta bahawa kerajaan telah bersetuju (mengeluarkan lesen)  adalah tidak benar. Kita berharap kerajaan tidak mengeluarkan lesen  tersebut," katanya.
Khairy berkata demikian kepada pemberita  selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tawau, yang  turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar  Titingan, di Tawau hari ini.
Khairy berkata judi merupakan gejala  tidak baik dalam mana-mana masyarakat termasuk dalam masyarakat bukan  Islam sendiri.
"Saya tanya rakan-rakan dalam MCA dan MIC, mereka  pun kata judi ini bukanlah perkara yang disokong oleh masyarakat mereka.  Memang betul ada masyarakat bukan Islam berjudi tetapi ia bukanlah yang  disokong masyarakat mereka. Mereka juga anggap judi bukan budaya  mereka.
"Mereka pun berpendapat mengapa kita menggalakkan perkara  ini (judi) dengan memberi pengesahan dengan memberi lesen. Jadi  daripada sudat pandangan mana-mana budaya atau kaum di Malaysia ini,  mereka tidak setuju, lebih-lebih lagi untuk orang beragama Islam,"  katanya.
Walaupun ada pandangan yang menyatakan bahawa lesen judi  berkenaan hanya untuk masyarakat bukan Islam, namun kata Khairy  pandangan masyarakat Islam dan bukan Islam yang sangat menentang judi  perlu diambil kira dalam isu itu.
Selain itu, Khairy berkata  alasan bahawa jika lesen judi pertaruhan bola berkenaan tidak  dikeluarkan akan menyebabkan judi haram berleluasa dan tidak dapat  dikawal tidak dapat diterima kerana PDRM membuktikan mereka berjaya  membanteras beberapa kegiatan pertaruhan bola sejak bermulanya kejohanan  bola sepak Piala Dunia.
"Apabila melihat kedua-dua hujah ini,  kita dapati sudah tiba masa kita membuat pendirian secara terbuka  berhubung isu ini. Jadi pada hari ini kita rasa terpanggil untuk  memaklumkan kerajaan tentang pendirian Pemuda (Umno)," katanya.
~ Bernama



