Kerajaan negeri sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Red Carpet Sdn Bhd berhubung kenyataan syarikat itu yang menjejaskan nama baik kerajaan negeri dalam isu Kelantan Fiesta 2010.
Pengerusi  Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk  Takiyuddin Hassan berkata kenyataan Red Carpet di dalam media yang  didapati telah menjejaskan imej kerajaan negeri kerana memboikot acara  Kelantan Fiesta itu.
"Hakikatnya menurut perjanjian yang dimeterai antara Red Cerpet dan kerajaan negeri pada 24 Ogos 2009 di Kuala Lumpur menetapkan agensi kerajaan negeri Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebagai penganjur manakala Red Carpet sebagai pengurus acara Fiesta Kelantan 2010," katanya semasa mengulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri penggal ketiga, di sini hari ini.
Beliau  berkata disebabkan perasmian acara besar yang akan dirasmikan Pemangku  Raja Tengku Muhammad Faris Petra dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Tun Razak, maka kerajaan negeri membuat keputusan untuk mengambil alih  acara itu daripada PMBK.
Beliau  berkata pihak Red Carpet telah menolak permintaan kerajaan negeri supaya  Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat ucapan pada  majlis perasmian acara itu dan tindakan itu bertentangan dengan  perjanjian awal yang dimeterai kerana kerajaan negeri sebagai penganjur  dan juga hos kepada acara itu.
Takiyuddin berkata semasa acara  perasmian itu diteruskan pada 16 Jun, di Stadium Sultan Muhammad IV, di  sini, bekalan elektrik terputus di stadium menyebabkan acara itu tidak  dapat dilangsungkan secara sempurna.
"Bagaimanapun  setelah beberapa hari, pihak penganjur telah mengeluarkan kenyataan  media bahawa kerajaan negeri telah sabotaj acara itu hasil daripada  post-mortem mereka," katanya.
Beliau  menjelaskan, laporan Jabatan Kerja Raya mendapati peralatan yang  digunakan pada acara itu melebihi bekalan kuasa yang mampu ditanggung  oleh stadium.
Katanya beliau  turut menjelaskan kerajaan negeri tidak merampas kain rentang acara itu  yang diletakkan di sekitar bandar Kota Baharu sebaliknya ia dikutip oleh  majlis perbandaran Kota Baharu kerana ia terjatuh di atas tanah akibat  ribut dan hujan.
Sementara itu,  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bio-Teknologi Negeri  Che Abdullah Mat Nawi berkata Kelantan kini berhasrat untuk  membangunkan sebuah makmal bagi penyelidikan bio-teknologi untuk  pertanian bernilai RM300,000.
Katanya kerajaan negeri telah menjalankan kajian dengan sebuah universiti tempatan bagi menggunakan sisa buangan ladang dan menjadikan bahan buangan seperti hampas padi dan kelapa sawit sebagai baja organik.
"Baja organik ini merupakan elemen yang bersih daripada elemen kimia dan boleh dimajukan kepada tahap yang lebih untuk memberi manfaat kepada pendapatan kerajaan negeri dan sektor pertanian," katanya.



