Oleh:   ROSLAN BIAN                  
                                                     
Penulis sengaja ke Penjara Pudu pada pagi Isnin  sebelum ke  bangunan Parlimen untuk tugas rutin membuat liputan  persidangan Dewan  Rakyat yang masih membahasakan usul RMK 10.   
Bagi sesetengah orang  terutama warga kota,  bangunan Penjara Pudu yang sudah usang itu tidak  memberi banyak erti  selain menempatkan banduan banduan-banduan atau  pesalah yang berdepan  hukuman penjara mahupun hukuman mati.  
Namun bagi  penulis, Penjara Pudu atau dahulunya  dikenali sebagai Pudu Goal di  Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah itu  menyimpan sejarah yang masih segar  dalam ingatan setiap kali melintas  tembok setinggi 4.5 meter.  
Ramai tidak  tahu mural atau lukisan sepanjang 384  meter di tembok itu adalah  terpanjang di dunia dan dilukis oleh banduan  diketuai Khong Chong Yen  menggunakan 2,000 liter cat pada 1983.   
Pernah penulis mengusik  beberapa orang rakan  mengajaknya ‘berkelah’ di Jalan Pudu kerana ada  air terjun yang menarik  menyebabkan mereka bertanya, mana ada air  terjun di situ.   
Bila penulis merujuk kepada mural tersebut,  barulah  mereka faham dan ketawa.  
Bagaimanapun, penjara yang banyak menceritakan   kisah suka duka dan mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10   hektar dan siap sepenuhnya pada tahun 1895 terpaksa akur kepada   pembangunan yang memerlukan penjara menyerupai Penjara Kindy Bogambia   berbentuk X terpaksa dirobohkan mulai hari ini. 
 
 Penjara Pudu yang sarat menyimpan 1001 kisah dan   tauladan terutama kepada penghuni, kakitangan Jabatan Penjara dan   negara, sebelum ini terpaksa ditutup jam 9.05 pagi pada 1 November 1996   setelah lebih 100 tahun digunakan.  
Tapak penjara yang terletak di kawasan segi tiga   emas ini akan dibangunkan untuk tujuan komersial oleh Perbadanan   Pembangunan Bandar (UDA) dan sebagai gantinya, UDA membina   Penjara Sungai Buluh yang mempunyai keluasan 89.03 hektar terletak   lebih kurang 36 km dari Kuala Lumpur.  
Berdasarkan perancangan, tembok Penjara Pudu  mulai  dirobohkan pada waktu malam mulai 20 hingga 23 Jun ini.   
Penulis berhenti di  bangunan depan Penjara Pudu  dan nostalgia lama kembali mengimbas  fikiran mengenai insiden hitam di  penjara berusia lebih seratus tahun.   
Kisah  penawanan dua orang awam iaitu Dr Radzi  Jaafar dan pegawai perubatan  Abdul Aziz Abdul Majid oleh enam orang  banduan reman yang diketuai oleh  penjenayah Jimmy Chuah adalah kenangan  paling mendalam di jiwa  penulis.  
Bertugas sebagai wartawan meja jenayah di akhbar   harian tabloid berbahasa Melayu pertama, Harian Nasional, penulis   ‘berkampung hampir enam hari di depan Penjara Pudu mengikuti detik-detik   cemas sebelum penawanan itu berakhir dengan semua banduan menyerah  diri   
Bukan sahaja petugas media,  pegawai dan anggota  polis dan pegawai perubatan sentiasa tidak senang  duduk menunggu detik  demi detik yang berlalu dan berharap tiada insiden  lebih buruk berlaku  ekoran tragedi itu. 
 
 Penulis hanya pulang ke rumah untuk mandi dan   menukar pakaian. Makan, minum dan tidur sekadar melepaskan lelap hanya   di bongkah batu besar di depan penjara itu.  
Bagaimanapun, kepintaran  dan keberanian Ketua  Penjara Penjara ketika itu Datuk Ibrahim Mohamed  dan Unit Tindakan Khas  (UTK) di ketuai Datuk Mohd Zaman Khan berjaya  menamatkan insiden itu  tanpa meragut nyawa walaupun penembak tepat  polis sudah bersedia  bertindak jika situasi mengancam.  
Jimmy Chua,  seorang penjenayah warga Singapura  yang merupakan dalang disebalik  drama tebusan tersebut berjaya ditangkap  dan dijatuhi hukuman gantung  sampai mati.  
Kejadian pada pagi 17 Oktober 1986 itu tidak  pernah  berlaku dalam sejarah penjara negara malah turut menggemparkan  seluruh  dunia hanya berakhir jam pukul 5.40 pagi pada 22hb Oktober 1986.    
Selain kes Jimmy Chua, penulis mengingati Penjara   Pudu kerana ketokohan dan kewibawaan Ibrahim sebagai Ketua Pengarah   Penjara yang banyak membawa perubahan kepada sistem penjara, penubuhan   Maktab Penjara serta Kompleks Penjara di Sungai Jerluk, Kajang.    
Sistem  intercom yang membolehkan banduan berbual  dengan pelawat di sebalik  dinding kaca diperkenalkan ketika zaman  beliau.  
Penulis mengenang Ibrahim  kerana keistimewaan  yang penulis perolehi daripadanya.  
Ianya,  sepucuk surat bertandatangan beliau  membenarkan penulis masuk ke  mana-mana penjara di negara ini untuk  mendapatkan kisah-kisah menarik  di sebalik tembok batu bertingkap besi  itu.  
Bermula di Penjara Pudu,  penulis berpeluang  seorang banduan di kenali Pak Mat yang masuk dan  keluar penjara 47 kali  sedangkan usianya ketika itu sekitar 40 an.   
Alasan Pak  Mat, beliau senang di penjara kerana  hidupnya lebih selesa kerana ada  tempat tinggal, makanan dan pakaian  selain duit poket kerana  kerja-kerja yang dikhususkan kepada banduan  seperti membuat kraftangan.  
 
 Justru itu, apabila selesai  menjalani hukuman dan  keluar penjara, Pak Mat akan melakukan jenayah  kecil supaya di tangkap  dan boleh masuk semula. Bagi Pak Mat, tiada  seiapa di luar tembok batu  itu yang mengambil berat terhadap bekas  banduan Malah, Pak Mat sudah  mesra dengan semua pegawai atau warden di  penjara tersebut.  
Sebenarnya banyak lagi cerita-cerita menarik di   sebalik tembok batu itu khususnya Penjara Pudu yang turut   menempatkan Blok D sebagai bilik akhir dan bilik gantung.   
Dari  tahun 1960 hingga  1993, seramai 180 pesalah telah menjalani hukuman  gantung sampai mati  disini.  
Penulis sempat di bawa meninjau blok bilik akhir   dan tempat hukuman gantung oleh Ibrahim.  
Mudah cakap, banyak berita  dan bahan-bahan  menarik di penjara jadi ‘scoop’ penulis berbanding  penerbitan lain.  
Bagaimanapun, selepas Ibrahim bersara pada 1988  dan  penulis berhijrah ke syarikat penerbitan lain, hubungan penulis  dengan  pegawai dari Kelantan itu serta pegawai-pegawai penjara yang lain   terputus.   
Walaupun Zaman Khan pernah  bertugas sebagai Ketua  Pengarah Penjara selepas itu, penulis sudah  berhenti menulis  berita-berita berkaitan penjara kecuali kisah trajis  bomoh Mona Fandey  yang didapati bersalah membunuh Adun Batu Talam Datuk  Mazlan Idris. 
 
 Kini kerana kedudukannya di  dalam kawasan  segitiga emas Bukit Bintang yang pesat membangun dan  kesesakan arus  lalulintas,bangunan penjara ini tidak lagi dapat  dipertahankan.   
Cadangan meroboh tembok  penjara Pudu bagi memberi  laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan  laluan bawah tanah di Jalan  Pudu tanda terkuburnya penjara yang  menyimpan seribu satu kenangan yang  nyata dan misteri itu.



