Latar belakang
Menerusi tulisan saya  sebelum ini bertajuk “Politik hendaklah selari dengan Islam” adalah  sarat dengan realiti politik Islam dan sebenarnya berlaku dalam masjid.  Maka, berani saya hujahkan bahawa salah satu ciri politik Islam ialah  wujudnya politik masjid. Ia cukup berbeza dengan politik sekular yang  tidak menerima amalan politik berlaku di gereja. Oleh sebab itu, tiada  sebab bagi umat Islam meniru-niru cara-cara politik sekular yang memakai  prinsip politik suku, agama suku. Maka, PAS sebagai parti Islam adalah  bersih dari saki-baki amalan politik sekular. Melainkan parti Umno yang  masih pekat-berdene (kejap melekat) dengan lendir-lendir  sekular-kebangsaan-pragmatik (SKP) warisan penjajah Inggeris!
Politik  masjid berlaku di Kelantan
Adakah masih kental fahaman Umno di  Kelantan, sedangkan telah 20 tahun rakyat Kelantan dibayangi dengan  politik Islam acuan PAS? Menjawab persoalan ini, memang ada sebahagian  kelompok Melayu yang berfahaman politik SKP terlekat pada puak Umno  Kelantan. Maka ia dilihat masih pekat melekat dengan lendir itu. Justeru  itu, kalangan kelompok itu masih berlaku isu penolakan politik masjid,  meskipun seketika lalu lendir SKP agak jumud dan beku. Persoalannya,  kerana apa baru sekarang muncul pula isu politik masjid di Kelantan?  Sehingga sanggup mengupah seorang yang mendakwa pengasas pondok  menghujahkan (Mingguan Malaysia, 16 Mei 2010) tiada wujud politik dalam  Islam (termasuk di masjid).
Sebenarnya, ia ada hubungannya dengan  kepentingan politik Umno Kelantan sendiri. Tidak lain, melainkan ‘katak  berbunyi (berkokok) bila nak hujan’ dan mungkin ada kaitannya dengan  peruntukan wang ehsan RM20 juta pihak kerajaan Pusat kepada Jabatan  Pembangunan Persekutuan atau Umno Kelantan! Kononnya mereka (pemimpin  Umno) akan berlaku adil untuk mengagihkan peruntukan itu tanpa sentimen  politik. Soalnya, adilkah wang itu disalur kepada pihak yang tidak sah?  Kerana pihak yang sah ialah Kerajaan Negeri Kelantan bukannya  Perhubungan Umno Kelantan. Jelas sekali, dalam bab wang ehsan mereka  tidak menghayati tuntutan dalam ceramah (khutbah) Jumaat, iaitu  ‘perintah Allah agar berlaku adil di dalam berbuat kebaikan’ sesama  Islam. Itulah balanya memisahkan politik dari masjid. Mereka (puak Umno)  sudah tidak lagi memakai perintah ceramah Jumaat dalam tindak-tanduk  politik mereka. Benarlah dakwaan umum, sesungguhnya mereka itu pengamal  politik suku agama suku!
Membangun Bersama Islam
Dalam  perkembangan politik tanah air, parti PAS pernah menyertai BN pada tahun  1974 sehinggalah PAS ditendang keluar tahun 1977. Hasil daripada itu,  PAS bengah dan maju ke depan membina acuan baru bertegas dengan politik  Islam. Berkatnya, PAS telah meraih semula keyakinan rakyat Kelantan  dengan memenangi pilihan raya 1990 dan kembali semula memerintah negeri.
Bertolak  dari tahun 1990 hingga sekarang, PAS di Kelantan telah meletakkan dasar  Membangun Bersama Islam sehingga berjaya mentadbir dan menguruskan  pembangunan negeri. Teras Membangun Bersama Islam adalah ubudiah,  masuliah dan itqan (UMI). Teras ubudiah adalah mendidik rakyat Kelantan  memahami peranannya sebagai hamba Allah yang diciptakan semata-mata  untuk memperhambakan diri kepadaNya.
Teras masuliah pula adalah  mengajar rakyat Kelantan komited dengan tanggungjawab (akauntabiliti)  yang dipikul dan melaksakan tanggungjawab itu kerana Allah SWT dan  meyakini setiap tanggungjawab itu akan dipersoalkan oleh Allah SWT di  akhirat kelak. Sementara teras itqan adalah menuntut semua rakyat  Kelantan diingatkan agar melakukan tugas secara berkualiti melalui  budaya ketekunan, komitmen dan kesungguhan serta fokus dalam bekerja,  tanpa penyelewangan atau sikap sambil lewa.
Kesemua teras UMI ini  telah dipacu dengan baik menerusi pelbagai program kerajaan Negeri  Kelantan. Salah satunya adalah menerusi masjid dan surau yang merupakan  medan ilmu lokal para guru agama dan pendakwah menyampaikan kefahaman  politik dan cara hidup Islam.
Kesan UMI
Kesan yang jelas  amalan UMI iailah berlaku keluhuran PAS mengamalkan pentadbiran berteras  agama (UMI) dibuktikan dengan tindakan kerajaan Negeri Kelantan menarik  akaun kerajaan dari bank riba kepada Bank Islam dan mewujud perhotelan  Islam yang tanpa alkohol, menutup semua premis judi yang dilesenkan oleh  pemimpin Umno, mempamerkan syiar agama dengan peraturan wanita menutup  aurat dan memberi hak kepada semua kaum termasuk Orang Asal. Berikutnya,  melaksanakan asas-asas perumahan Islamik mengandungi tiga bilik,  mengutamakan kebajikan warga emas bagi semua kaum melalui skim kifalah,  merakyatkan ekonomi negeri melalui skim Ladang Rakyat dan bantuan  pembangunan kepada usahawan wanita. Mengawal hiburan agar selari dengan  batasan agama dengan memperkenalkan enakmen kawalan hiburan, menyediakan  hiburan nasyid alternatif dan memajukan pembinaan budaya hiburan  Islamik sehingga melahirkan dikir barat dakwah, dikir hijrah dan dikir  halaqat.
Sebenarnya, kekuasaan politik atas nama politik Islam  telah membolehkan banyak program pembangunan Islam yang memberi kesan  kebaikan untuk semua kaum di Kelantan. Misalnya, dengan pembinaan Masjid  Keputeraan Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang bercirikan seni bina  masjid Cina di Beijing turut mendekatkan hubungan kaum di Kelantan.  Malah mengingatkan pula kepada kegemilangan betapa umat Islam di Cina  adalah umat yang lebih awal menerima seruan Islam berbanding orang  Melayu. Ia adalah untuk menobatkan kehebatan Islam.
Mendekatkan  Islam dengan DAP
Paling menarik di sebalik kesan politik Islam  dibawa oleh PAS di Kelantan, ia telah berjaya menghapuskan salah fahaman  dan Islamfobia DAP kepada Islam dan politik Islam. Meskipun, seketika  awal-awal mendekati DAP, PAS diserang dan Islam dihina oleh pemimpin  DAP. Sehingga ada kalangan pemimpin mereka yang menentang hangit model  Negara Islam, hukum hudud dan terlalu prejudis dengan keadilan  pentadbiran Islam di Kelantan.
Sekarang, salah faham dan  Islamfobia hampir tiada kedengaran lagi, malah tidak kurang pula  kalangan pemimpin dan wakil rakyat DAP sudah pandai berkalimah Arab,  menghafal al-Quran, menyebut kalimah al-Quran dan mengiktiraf kehebatan  sejarah Islam di dalam ceramah-ceramah mereka. Hinggakan Ketua Menteri  Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP (di negeri  majoriti pengundi Cina) telah berani mengisytiharkan model kepimpinan  Umar Abdul Aziz sebagai ikutan pentadbirannya. Sehingga Lim turut  melontarkan persoalan kepada pihak Umno yang tidak mahu menerima  realiti, bahawa pentadbiran Islam mempunyai kebaikan yang boleh ditiru  dan diamalkan oleh sesiapa sahaja.
Paling terbalik-kot pula,  Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am PAS  seorang tokoh Islam yang nazari (seorang yang teguh pendirian agama –  fundamental agama) sering dinanti-nantikan oleh masyarakat Cina dan  India agar dapat hadir di dalam majlis ceramah mereka. Malah setiap kali  kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan disambut dengan standing  ovation (sambutan berdiri dengan iringan tepukan hormat) oleh hadirin  kaum Cina dan India. Sedangkan kehadiran beliau bukan untuk dinner,  sebaliknya menyampaikan ucapan penyatuan rohani dengan selalu  mengingatkan kepada titik penyatuan manusia bermula dari satu keturunan,  yakni Nabi Adam AS lalu membaca ayat al-Quran (surah An-Nisa’3:1)  bermaksud, “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada tuhan kamu, yang  telah menciptakan kamu dari seorang manusia (bernama Adam). Dan  daripadanya Allah menciptakan isterinya (bernama Hawa’), Allah  memperkembang biakkan (keturunan dari jenis) laki-laki dan perempuan  yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah, yang dengan (mempergunakan)  namanya, kamu saling meminta satu sama lain. Dan (peliharalah) hubungan  persaudaraan dan kasih sayang (di antara sesama kamu). Sesungguhnya  Allah selalu memantau dan mengawasi (segala tindak tanduk dan aktiviti  hidup) kamu.” Apakah senario ini semua bermakna PAS telah menggadai  maruah dan meninggalkan pinsip Islam di tepi longkang?
Natijahnya,  penerimaan tersebut sudah tentu memberi untung kepada politik Islam,  tatkala sebahagian masyarakat Cina dan India serta Siam sudah berani  mendekati PAS melalui penubuhan Kelab Penyokong PAS. Sekarang kelab itu  (dilancarkan pada 23 Mei lalu) telah diiktiraf sebagai sayap parti dan  bertaraf Dewan Himpunan Penyokong PAS (selesa disebut Dewan Penyokong).  Ia menguatkan lagi sayap PAS kepada empat sayap.
Sesungguhnya,  amat seni politik Islam ini. Kebaikannya telah menarafkan peranan Dewan  Penyokong bersama-sama Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat  memikul tugas politik Islam. Maka, pendekatan PAS selama ini (bermula  dengan kepimpinan arwah Ustaz Datuk Fadhil Nor dan sejak dipakai tema  PAS untuk Semua), sebenarnya PAS telah sedia bertoleransi, bertegas dan  mesra kepada semua kaum adalah suatu pendekatan berpandukan kejayaan  Nabi Muhammad SAW tatkala mendikrikan Sulh Hudaibiah dan mengikat  perpaduan menerusi al-Dustur al-Madinah. Apakah pendekatan ini  melayakkan PAS menjadi boneka kepada DAP atau KeADILan?
Sesungguhnya,  PAS terus maju dengan misi politik-dakwah dan kental menghadapi segala  cabaran. PAS di Kelantan yang memerintah sejak dua dekad lalu terus  istiqamah menjadikan institusi masjid, rumah Allah sebagai pusat paling  sesuai menyampaikan mesej pembangunan politik-dakwah. Hasilnya, rakyat  Kelantan menerimanya tanpa prejudis lagi. Demikianlah senario politik  masjid di Kelantan.
Hanya Allah SWT maha mengetahui setiap apa  yang diciptakan-Nya dan Dia maha bijak merencana, dan segala pengetahuan  dan perencanaan-Nya adalah mengatasi pengetahuan dan perencanaan  manusia.
Oleh:
Wan Nik Wan Yussof
Setpol MB Kelantan



